BTC USD 82,621.0 Gold USD 4,194.30
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Menghayati falsafah Ramadan

balqis07

CG Top Poster Club
gem
Messages
30,953
Paid Membership
Joined
Jan 27, 2010
Messages
30,953
Reaction score
294
Points
136
image.jpg


ALHAMDULILLAH umat Islam seluruh dunia sudah pun memulakan berpuasa pada Ramadan yang mulia ini. Bulan pesta ibadah ini dipenuhi dengan ibadah khusus seperti solat tarawih membaca al-Quran dan sebagainya, begitu juga ibadah umum yang lain seperti bersedekah dan meraikan anak-anak yatim.

Namun saban tahun apabila Ramadan menghampiri, khususnya bagi umat Islam di Malaysia beberapa persoalan yang sama seolah-olah menghantui kita. Perbezaan tarikh permulaan puasa dan raya ditimbulkan apabila tarikh tersebut dibandingkan dengan tarikh permulaan puasa umat Islam di negara lain. Begitu juga bilangan rakaat sembahyang tarawih juga menjadi bualan apakah pilihan lapan rakaat ataupun dua puluh rakaat yang bakal dikerjakan.

Seperkara lagi yang sering mendapat liputan ialah acara berbuka puasa yang rata-ratanya seolah-olah menjadi pembaziran dengan kuantiti makanan yang terlalu banyak serta harga yang berlipat kali ganda dikenakan pengusaha makanan khususnya di hotel-hotel.

Berbalik kepada perbezaan hari memulakan puasa dan hari raya ini saya berpendapat setiap pemerintah mempunyai ‘syaukah’ (kekuasaannya) sendiri di dalam menentukan permulaan tarikh penting ini. Tidaklah perlu diperbesarkan jika terdapat perbezaan sehari dua ini kerana keputusan dibuat berdasarkan ijtihad pemerintah masing-masing. Cara pengiraan sama ada melalui melihat anak bulan (rukyah) ataupun kiraan falak (hisab) juga mempunyai sandaran nas masing-masing. Apa yang peliknya perbezaan yang lebih besar dalam kalangan penganut agama lain dilihat sebagai norma biasa tetapi tidak bagi orang Islam. Umpamanya golongan Kristian Ortodoks di Rusia meraikan perayaan Krismas bukan pada 25 Disember sebagaimana lazim bagi orang Kristian lain tetapi pada 7 Januari setiap tahun. Tiada pun pertikaian besar mengenai perbezaan hampir dua minggu ini.

Saya fikir sebahagian umat Islam berpandangan dari konteks yang begitu tertutup sehinggakan setiap perbezaan hanya dilihat dari lensa yang negatif sahaja. Dalam konteks yang lebih besar sebenarnya ia menggambarkan Islam adalah lebih fleksibel anjal dan boleh disesuaikan dengan waktu dan keadaan selagi asasnya adalah sama.

Berkaitan dengan jumlah rakaat sembahyang tarawih pula, masing-masing mempunyai pandangan masing-masing dan mendakwa mempunyai nas yang perlu diikuti. Mudahnya bagi sesiapa yang ingin melakukan solat tarawih lapan rakaat mereka tidak harus dihalang begitu juga yang mahu melakukan sebanyak 20 rakaat. Namun apa yang penting adalah tiada paksaan dilakukan untuk mengerjakan solat lapan atau 20 rakaat. Yang lebih penting bagi saya ialah mencari jalan untuk mengajak mereka yang tidak mahu menunaikan solat tarawih melakukannya. Perbezaan jumlah jemaah adalah amat ketara jika dibandingkan pada awal Ramadan dengan di penghujungnya. Sepatutnya pada akhir Ramadanlah umat Islam berpusu-pusu memenuhi surau dan masjid kerana kelebihan 10 malam terakhir Ramadan memang diketahui umum.

Dalam situasi yang lain, majlis-majlis berbuka puasa sering kali diadakan sepanjang Ramadan. Menyajikan orang berpuasa berbuka puasa diganjari dengan pahala seperti puasa orang yang berbuka tersebut tanpa mengambil sedikit pun pahala puasa orang berpuasa tersebut. Mungkin inilah sebabnya ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis berbuka puasa. Namun dari aspek pembaziran makanan adalah amat ketara. Makanan yang begitu banyak disediakan tidaklah selari dengan falsafah puasa itu sendiri iaitu merasai denyut nadi penderitaan fakir dan miskin. Malah selepas berbuka pula umat Islam dituntut untuk melakukan solat tarawih membaca al-Quran dan sebagainya. Jika semasa berbuka puasa sudah terlalu kekenyangan bagaimana pula mahu melakukan ibadah lain.

Industri makanan meraih keuntungan yang besar mengadakan bufet Ramadan. Namun apa yang penting ia perlu sejajar dengan falsafah Ramadan itu sendiri. Bermewah-mewah dalam pemakanan bukan sahaja tidak selari dengan falsafah Ramadan, tetapi juga tidak selaras dengan piawaian kesihatan itu sendiri. Islam tidak menganjurkan sesuatu yang boleh mendatangkan ketidakbaikan kepada kesihatan.

Kesimpulannya, marilah mengubah minda agar tahun ini menjadi Ramadan yang terbaik buat kita semua. Tahun hadapan belum tentu lagi kita akan bertemu Ramadan akan datang. Janganlah dibiarkan Ramadan yang datang ini berlalu begitu sahaja tanpa diambil manfaatnya semaksimum mungkin.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
 
Back
Top
Log in Register