kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Mega CSR Day PHB Manfaat Lebih 5,700 Penerima
Mazuki Abdullah @ Muhammad - Kredit: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB)
Lebih 5,700 menerima manfaat program kemasyarakatan yang dilaksanakan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) menerusi inisiatif Mega CSR Day di empat lokasi di Lembah Klang pada Sabtu lepas.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sehari itu melibatkan lebih 200 warga PHB turun padang menyumbang lebih 1,000 jam khidmat sukarelawan dalam program yang berteraskan empat tonggak utama, iaitu kesihatan, pendidikan, komuniti dan alam sekitar.
PHB dalam kenyataan memaklumkan di bawah tonggak pendidikan, sukarelawan PHB menyokong program Sekolah Dalam Hospital di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.
Ia juga melibatkan sumbangan papan interaktif pintar, sudut bacaan dan kit pembelajaran pendidikan, bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih menarik dan kondusif kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan di hospital itu.
“Sementara itu, bagi tonggak kesihatan, PHB bekerjasama dengan Pusat Darah Negara dan Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dalam menganjurkan program derma darah serta saringan kesihatan percuma termasuk diabetes dan tekanan darah tinggi di pusat beli-belah NU Empire.
“Sukarelawan PHB juga melaksanakan kerja baik pulih dan penambahbaikan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih bersih, selamat dan selesa untuk penghuninya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, sebagai komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar, sukarelawan PHB menyertai aktiviti pembersihan habitat di Zoo Negara yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan biodiversiti dan habitat hidupan liar selain meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Pengarah Urusan Kumpulan PHB Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata Mega CSR Day pencapaian penting syarikat sebagai inisiatif CSR berskala besar pertama dilaksanakan serentak di empat lokasi yang mencerminkan keyakinan PHB bahawa penciptaan nilai secara mampan tidak hanya tertumpu kepada operasi perniagaan.
Beliau berkata PHB kekal komited terhadap mandat untuk meningkatkan pemilikan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial utama menerusi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) serta komited untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar.