Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,764
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,764
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
MBDK Perhebat Penguatkuasaan Terhadap Premis, Penjaja Warga Asing
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merekodkan 702 daripada keseluruhan 1,280 tindakan sitaan melibatkan warga asing, dengan golongan itu mencatat jumlah tertinggi dalam kategori sitaan penjaja, sepanjang tahun lepas.
MBDK memaklumkan daripada 702 kes itu, sebanyak 507 kes melibatkan sitaan premis milik atau dikendalikan warga asing, manakala 195 lagi membabitkan sitaan penjaja warga asing.
“Tindakan sitaan itu dilaksanakan atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, menyebabkan halangan di tempat awam, mendirikan premis atau struktur tanpa kebenaran serta menyalahgunakan lesen atau melanggar syarat lesen yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagi kesalahan berkaitan penyalahgunaan lesen atau pelanggaran syarat lesen, Jabatan Pelesenan akan mengeluarkan notis niat membatalkan lesen kepada pemilik terlibat dan pemilik lesen kemudian diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” menurut MBDK kepada Bernama.
MBDK menjelaskan statistik tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap premis dan penjaja warga asing bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang serta syarat pelesenan yang ditetapkan di kawasan pentadbirannya.
Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.
Anwar berkata kerajaan menyedari ancaman ditimbulkan segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat atau pelancong, namun menjalankan aktiviti perniagaan termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Rosli Sulaiman berkata tindakan tegas perlu diambil oleh PBT terhadap warga asing yang didakwa menyalahgunakan visa pelancong atau pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.
Beliau mendakwa kehadiran peniaga asing dari pelbagai negara antaranya Pakistan, Bangladesh, China, India dan Indonesia semakin menguasai beberapa lokasi tumpuan perniagaan termasuk di Pasar Pudu dan Pasar Selayang.