oldtbone
Legendary Member

- Messages
- 17,323
- Joined
- May 25, 2012
- Messages
- 17,323
- Reaction score
- 3,695
- Points
- 191
Keadaan kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang wanita merempuh kawasan Pasar Malam Kapit. - Foto Erika George
KAPIT: seorang daripada dua kanak-kanak perempuan yang parah selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Waja di Tapak Pasar Malam Kapit, di sini malam semalam dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kapit kira-kira jam 3 pagi tadi.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa,Damia Alyana Daniel Sham, 7, meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala, kira-kira selepas lapan jam bertarung nyawa menerima rawatan di hospital.
Manakala, adik bongsunya, Afia Ismahani Daniel Sham, 5, yang turut mengalami kecederaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun masih diletakkan di bawah pengawasan.
“Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam semalam, kedua-dua mangsa dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita berusia 28 tahun yang tidak memiliki lesen memandu. Difahamkan, kereta dipandu wanita berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tapak pasar malam.
“Hasil maklumat yang diperoleh, ketika kejadian, pemandu terbabit baru saja hendak keluar dari simpang jalan menuju ke jalan utama, namun tertekan pedal minyak yang disangkanya pedal brek,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurut Alexson, akibat dari kesilapan pemandu terbabit, kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tapak pasar malam berkenaan, termasuk dua beradik berkenaan yang ketika kejadian sedang berjalan kaki di kawasan itu.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pemandu kereta berkenaan dibawa ke Hospital Kapit untuk pemeriksaan sama ada beliau berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Sibu untuk siasatan lanjut.
“”Siasatan terperinci akan dijalankan pihak polis bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden rempuhan yang meragut nyawa itu," katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kapit bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian.
sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/08/592216/maut-selepas-8-jam-bertarung-nyawa
.