'Promosi' galakkan remaja merempit, berlaku liar
petikan dari Forum Utusan malaysia..
SAYA remaja berumur 18 tahun terpanggil untuk menyuarakan pendapat tentang isu mat rempit yang kian berleluasa sekarang. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa kerana berjaya menangkap lebih kurang 200 mat rempit pada satu operasi baru-baru ini.
Bagaimanapun, tindakan menyaman mat rempit ini boleh dikatakan tidak berkesan kerana mereka boleh sahaja membayar saman tersebut.
Kalau dikatakan mat rempit tersebut tidak mempunyai duit atau berada dalam keluarga miskin, dari mana mereka dapat memiliki motosikal. Jika motosikal itu milik ibu bapa mereka, saya pelik bagaimana ibu bapa mereka boleh lepas tangan begitu sahaja.
Isu mat rempit sebenarnya telah berlanjutan sejak sekian lama tetapi masalah tersebut dianggap terpencil. Setelah beberapa lama, masalah ini berkembang dengan pesat sehingga menjadi masalah negara.
Masalah yang dihadapi sekarang ialah berlaku lambakan 'promosi' terhadap kegiatan mat rempit. Sebagai remaja, kami memang senang terpengaruh dengan apa jua jenis keseronokan, tidak kira betapa *****nya keseronokan tersebut.
Isu 'promosi' ini boleh dilihat di mana-mana sahaja, sebagai contoh dalam industri filem kita. paling terbaru ialah filem arahan Syamsul Yusof, Bohsia: Jangan pilih jalan hitam.
Selain itu, filem Remp-it pun sama, memaparkan isu moral yang sepatutnya tidak wajar untuk dibuat filem. Jika dikatakan filem ini dihasilkan untuk mendedahkan masalah sosial kepada umum, kami memang sudah tahu tentang hal ini dalam surat khabar, majalah, berita di televisyen. Tidak perlu untuk membuat filem untuk mengetengahkan masalah ini.
Selain isu 'promosi' dalam industri filem kita, terdapat juga isu 'promosi' didalangi belia lepasan sekolah. Golongan remaja ini sudah pasti mempunyai rakan-rakan yang lebih muda dan sekali gus tindakan mereka merempit menyebabkan rakan-rakan mereka yang masih di bangku sekolah terangsang untuk mengikut jejak senior mereka.
Saya berasa pelik dan jelik melihat rakan-rakan sebaya dan lebih tua diberi kebebasan untuk membuat apa sahaja oleh keluarga. Saya bukan cemburu dengan mereka. Tetapi di mana sikap tanggungjawab, bertimbang rasa dan hormat menghormati mereka?
Semasa saya memandu baru-baru ini, sebuah motosikal meluru masuk simpang tiga tanpa memberi isyarat langsung. Apabila saya membunyikan hon, remaja itu dengan selamba memberi isyarat jari tengah kepada kami.
Terdapat juga isu 'promosi' yang dilakukan oleh ibu bapa tanpa disedari. Isu tersebut ialah pemberian motosikal kepada remaja bersekolah. Mengapa mereka patut diberikan motosikal?
Jika diberikan motosikal sekalipun, gunakan untuk pergi ke sekolah sahaja, tidak perlu memberi kebebasan kepada mereka untuk keluar bersiar-siar bersama motosikal tersebut.
Sebenarnya kegiatan mat rempit ini berkaitan dengan perlumbaan haram sahaja pada waktu dahulu. Tetapi oleh kerana gejala sosial yang semakin berleluasa, isu mat rempit dan gejala sosial seolah-olah telah disamakan. Boleh dikatakan semua gejala sosial bermula dari kegiatan merempit ini.
Saya berpendapat jika remaja diberi kemudahan dan kesenangan seperti motosikal yang dihadiahkan oleh ibu bapa, mereka dengan senangnya boleh terjebak dengan masalah gejala sosial.
Mula-mula berlumba, kemudian mengambil dadah atau arak untuk berkhayal sewaktu berlumba.
Oleh itu, pihak berkuasa tidak perlu bertimbang rasa dan kasihan kepada golongan remaja mat rempit. Mereka berakal, sudah mengetahui perbezaan antara jahat dan baik.
SEMUA HARUS BERTANGGUNG JAWAB...PEMERINTAH, MAK BAPAK...BILA PENDIDIKAN AGAMA DIPINGGIRKAN, NI LA JADINYA...~X(