ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.
GUA MUSANG - Seorang penebang balak berasal dari Tawau, Sabah, maut dihempap sebatang balak ditebangnya di kawasan hutan pembalakan berhampiran Pos Pasik, dekat sini, pagi kelmarin.
Nirwan Sabir, 64, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala, bagaimanapun beberapa rakan mangsa yang berada ditempat kejadian ketika balak ditebang itu tumbang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa bersama beberapa rakan menjalankan kerja menebang balak di kawasan hutan berkenaan.
Menurutnya, sebaik sahaja balak ditebang tumbang, mangsa tidak sempat melarikan diri dan ditimpa balak tersebut.
"Rakan mangsa segera membantu mengeluarkan mangsa. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Dabong tetapi disahkan telah meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat,"katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang warga Indonesia, Hasan Takir, 48, meninggal dunia dalam perjalanan ke HGM apabila mengadu tidak sihat kepada seorang penduduk, Mohd Noor Sulaiman, 38, di kebun getahnya di Pos Blau. Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Mohd Noor ketika ditemui di bilik mayat HGM berkata, mangsa meminta bantuannya supaya dihantar ke HGM untuk menerima rawatan tetapi disebabkan tiada kenderaan, dia terpaksa menunggu mendapatkan kenderaan pacuan empat roda daripada penduduk tempatan.
"Saya datang dari Kuala Betis untuk ke kebun getah berhampiran kebun mangsa dengan motosikal dan saya bantunya dengan meminta bantuan seorang penduduk tempatan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
"Mangsa segera dibawa ke HGM tetapi disahkan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Pos Blau lagi. Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang," katanya.