KUALA LUMPUR: Seramai 41 ahli perniagaan mendakwa mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya sebuah syarikat pembekal mesin runcit automatik yang kononnya menawarkan peluang perniagaan air osmosis dan kios kad prabayar di sekitar ibu kota.
Bagi meyakinkan mangsa, syarikat terbabit turut 'menjual' nama pelbagai agensi perniagaan terkemuka negara selain mempamerkan logo Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Mangsa yang bersetuju menandatangani kontrak dikatakan tidak perlu membayar penuh harga mesin dan hanya diminta melabur 30 peratus atau tidak lebih daripada RM50,000 bagi melayakkan mereka mendapatkan mesin automatik berkenaan.
Selepas mangsa melakukan pembayaran, syarikat terbabit bagaimanapun, enggan menghantar mesin terbabit ke tempat sepatutnya selain tidak memberi perkhidmatan seperti dijanjikan.
Mangsa ke pejabat syarikat itu untuk meminta semula wang deposit pelaburan yang sudah dibayar kepada pihak terbabit tetapi diarah mencari 10 rakan kongsi niaga atau membayar penuh baki 70 peratus daripada harga mesin automatik terbabit sekiranya ingin memiliki semula wang pelaburan sebelumnya.
Selain itu, mangsa dimaklumkan hanya akan menerima wang terbabit selepas semua sembilan individu berkenaan berjaya membayar penuh harga mesin automatik itu.
Mangsa, Jonathan Toh, 35, mendakwa kerugian RM90,000 selepas terpedaya dengan penjelasan syarikat itu yang kononnya menjanjikan peluang cerah, katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong. Ketua Penasihatnya, Datuk Tham Book dan Ketua Seksyen Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, P Jeevananth.
p/s::berita ni ada kena-mengena dgn thread ni ke???.....:-? :-? :-?