BTC USD 61,620.1 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Manfaatkan bakat wanita secara optimum

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg

ANTARA skuad kadet sarjan polis wanita yang tamat latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia, di Kuching, Sarawak, pada 9 Mei lalu. BERNAMA​

BILANGAN graduan wanita yang ramai ternyata tidak seimbang dengan mereka yang bekerja. Bukti statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2010 mendedahkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) sekadar mencatatkan 46.1 peratus (%). Hanya setelah pada 2013, peratusan FLPR meningkat kepada 52.4%.

Realitinya, tahap pendidikan di Malaysia telah meningkat 50%. Berdasarkan nisbah pelajar wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) berbanding lelaki iaitu 60:40, logiknya, kadar FLPR negara seharusnya meningkat kepada angka lebih besar, iaitu sekurang-kurangnya 70%, dan tidak sekadar berpuas hati dengan sasaran 55% FLPR seperti ditetapkan kerajaan menjelang akhir 2015.

Dengan wanita mewakili 14.8 juta orang daripada keseluruhan 30.4 juta populasi rakyat Malaysia, kerajaan sewajarnya berani meletakkan sasaran FLPR jauh lebih tinggi agar menyaingi negara-negara maju. Sebagai contoh, kadar FLPR Sweden ialah 76.7%, Denmark (76.1%), Jerman (70.8%), United Kingdom (69.8%) dan Jepun (62.6%).

Perlu diketahui, Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (ADHR) menganggarkan bahawa sekiranya kadar FLPR meningkat ke 70%, Malaysia boleh menikmati peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara dua hingga empat peratus.

Disebabkan kadar FLPR yang masih rendah, Malaysia kehilangan pendapatan sebanyak RM13 bilion setahun! Peratusan rendah itu juga menyebabkan negara jauh ketinggalan berbanding negara-negara sedang membangun termasuk Thailand (70%), Brunei (61.2%) dan Singapura (60.2%). Malah kadar FLPR Laos pun mengatasi Malaysia dengan pencapaian 56.5%!

Jumlah kerugian itu agak besar, justeru penyelesaian harus tertumpu terhadap isu keciciran wanita Malaysia dari tenaga kerja sewaktu tahun-tahun peralihan semenjak pendidikan menengah/tinggi serta tempoh melahirkan dan menjaga anak; peralihan graduan ke dalam tenaga kerja; serta tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengekal dan menambah wanita dalam tenaga kerja di negara ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Madeline Berma berkata, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) diharap memfokuskan usaha-usaha melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, berpendapatan tinggi melalui perkhidmatan kreatif dan inovatif serta penyediaan peluang-peluang latihan kemahiran untuk wanita seiring keperluan pada masa depan.

“Dengan populasi yang hampir menyamai lelaki, wanita di negara ini juga adalah aset penting dan perlu dibangunkan secara optimum bagi membolehkan mereka menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara. Ini termasuklah dalam bidang-bidang mencabar berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) serta kemahiran dan teknikal yang selama ini didominasi lelaki,” katanya.

Dr. Madeline yang juga Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM berkata, wanita pada masa depan tidak harus ‘terikat’ lagi kaki untuk melangkah lebih jauh sebaliknya mereka mampu untuk lebih berdaya saing dan serba boleh bagi menghadapi cabaran globalisasi, justeru usaha mengenal pasti potensi dan bakat harus dilakukan dari peringkat awal.

“Harus ada mekanisme terbaik untuk menarik lebih ramai pelajar wanita menceburi bidang profesional dan teknikal. Ini perlu dilakukan di sekolah menengah, dan sebagai langkah agresif, syarat kemasukan ke IPT pada masa depan menetapkan kuota pelajar dalam bidang Sains Sosial. Senario sekarang menunjukkan graduan wanita Sains Sosial banyak menganggur kerana pasaran kerja dalam bidang berkaitan terhad,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, lebih 50% wanita meninggalkan sektor pekerjaan atas alasan keluarga, dan kes dera anak melibatkan pengasuh dan pembantu rumah yang semakin menjadi-jadi menyumbang faktor tersebut. Faktor lain dikenal pasti adalah disebabkan majikan yang tidak memahami kepentingan sumbangan wanita kepada perkembangan organisasi, keuntungan syarikat, pembangunan modal insan, kestabilan ekonomi dan sosial negara.

Antara cabaran dan halangan dihadapi wanita Malaysia bagi menyertai pekerjaan ialah kekurangan sokongan untuk penjagaan kanak-kanak, dan kekurangan aturan kerja yang fleksibel. Selain itu, kesukaran untuk memasuki semula pasaran kerja, kekurangan wanita dalam jawatan membuat keputusan dan kelemahan perlindungan berkanun dan keperluan mengubah minda di mana wanita dilihat sebagai suri rumah.

“Penyusutan dalam tenaga kerja wanita jika tidak ditangani akan memberi implikasi yang besar terhadap pembangunan ekonomi negara, terutama pada masa kritikal ini di mana modal insan adalah pemangkin yang mampu mempercepatkan transformasi Malaysia ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Menurutnya, majikan di sektor awam dan swasta sepatutnya mencontohi kebanyakan negara maju yang mengamalkan peraturan kerja fleksibel, mekanisme berstruktur yang membenarkan pekerja berhenti sementara dan memasuki semula kerja (bagi memberi tumpuan kepada keluarga terutama ketika anak-anak masih kecil serta menyediakan latihan tertingkat yang tersesuai (enhanced customized training) bagi membantu wanita memasuki semula tenaga kerja.

Memandangkan seorang wanita memikul pelbagai peranan iaitu pekerja, isteri, ibu dan anak, maka perubahan kepada peraturan-peraturan berkaitan pekerjaan sepatutnya dijadikan satu kemestian, dan sekiranya terpaksa, kerajaan boleh mempertimbang untuk mengenakan syarat tegas termasuk memandatorikan sebarang pelaksanaan bagi menjayakan RMK-11 khususnya dalam meningkatkan FLPR di negara ini.

“Ini termasuklah mewajibkan semua sektor awam dan swasta menyediakan kemudahan berkualiti dan mampu dibayar kakitangan mereka menggunakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat masing-masing. Selain itu, ‘mandatori’ juga boleh dipertimbangkan untuk mewajibkan setiap pemaju perumahan baharu menyediakan pusat sehenti penjagaan kanak-kanak dan warga emas di lokasi berdekatan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya Malaysia mahu menjadi negara maju, sebarang dasar termasuk RMK-11 yang dilaksanakan kerajaan wajar mengutamakan kepentingan wanita kerana golongan itu bukan sahaja melahirkan generasi pewaris masa depan, bahkan mampu menjadi antara aset penting yang turut sama menggerakkan kemajuan negara.
 
Back
Top
Log in Register