BTC USD 85,501.8 Gold USD 4,318.24
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Mancing Udang Galah dengan "Kawan-kawan"

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23
Udang galah punya pasal, lepas ini kami tak akan memancing lagi sampai senja!




Dahulu, saya bukanlah kaki pancing. Setelah berkahwin, saya sering mengikut suami pergi memancing, akhirnya, saya seronok pula. Sekarang saya dah ada beberapa joran sendiri.

Anak-anak saya pun minat memancing. Pantang ada cuti panjang sedikit, mulalah kami sekeluarga pergi memancing. Kalau tak di sungai, kami memancing di laut.

Banyak kisah pelik yang pernah kami alami ketika memancing. Salah satu yang paling tidak boleh saya lupakan ketika mengikut suami bersama kawan-kawannya memancing di Batu 18, Jalan Mersing, Johor beberapa tahun lalu.

Kawasan itu memang menjadi syurga kaki pancing untuk mengail udang galah. Tanyalah kaki pancing di daerah Kota Tinggi, Kluang, Mersing atau kawasan sekitarnya tentang Batu 18 ini, tentu mereka akan kata udang galah sungai tersebut adalah antara yang terbaik.



Hasil pancingan kami hari itu kira lumayan juga. Dua peti Coleman bersaiz besar yang kami bawa, penuh dengan udang galah dan beberapa ekor ikan. Saya mengajak suami balik ke pangkalan, iaitu tempat kami menyewa bot, kerana tangkapan dah banyak. Lagi pun hari dah nak senja.

Suami setuju dan mengajak tiga lagi rakannya pulang. Namun, tiga rakannya yang berada di tebing kata, sekejap lagi kerana udang galah tengah banyak.

Laa… nak banyak macam mana lagi, dua Coleman dan nak penuh, pun masih tak cukup lagi ke, rungut saya kepada suami. Suami hanya mengangkat bahu tanda dia pun tak faham apa yang dimahukan lagi oleh kawan-kawannya itu.

Dua tiga minit kemudian, suami bertanya kepada saya, siapa yang duduk memancing di sebelah sana berhampiran pokok buluh. Saya katakan kepada suami, yang itu adalah kawan-kawannya yang belum mahu pulang.

Mendengarkan jawapan itu, suami saya terkejut. “Kawan-kawan saya?” soalnya.

“Iyalah… kawan-kawan abang. Suruhlah dia orang balik, bang. Dah nak maghrib dah ni,” rayu saya.

Suami saya terpinga-pinga. “Eh, nanti… nanti! Kawan-kawan saya tu di sebelah sana! Macam mana tiba-tiba boleh ada kat pokok buluh tu?”

Jarak di antara kami dan pokok buluh adalah kira-kira 100 meter. Jadi, kelibat mereka pun hanya samar-samar sahaja. Ini ditambah lagi dengan cuaca senja dan keadaan sekeliling sungai yang dinaungi pohon-pohon hutan.

Melihat daripada pakaian mereka, saya yakin mereka itu kawan-kawan suami saya. Tapi, bila suami mempersoalkannya, saya mula rasa takut dan seram sejuk. Makin saya perhatikan `kawan-kawan’ suami saya itu, semakin saya risau. Biarpun mereka tidak memandang ke arah kami, tetapi saya tahu, ada benda yang tak kena dengan mereka.

Saya genggam kedua-dua tangan. Sejuk. Saya perhatikan liang-liang roma di lengan tiba-tiba saja menimbul. Roma di tengkuk pun begitu. Kata orang tua, kalau bulu roma di tengkuk tidak semena-mena saja berdiri, itu tandanya ada `sesuatu’ berhampiran kita. Betulkah begitu?

Sambil meraup-raup bulu roma di lengan dan tengkuk, saya membebel kepada suami. “Itulah abang tadi saya ajak abang balik, abang buat lambat-lambat je. Sekarang macam mana ni, bang?”

“Macam mana apa lagi, diam sajalah,” balas suami separuh berbisik.

Suami saya terus memerhatikan ‘kawan-kawannya’ itu. Dia amati seorang demi seorang. Memang serupa saja dengan kawan-kawannya. Pakaian mereka, susuk tubuh, cara duduk, cara melempar joran dan segala-galanya, semuanya sama.

“Abang pun pelik… kan kawan-kawan abang memancing di sebelah sana, takkan boleh secepat kilat dan ada di sini. Lagi pun, kalau dia orang berjalan nak ke pokok buluh tu, tentu dia orang akan lalu depan kita dulu. Ini tak… alih-alih dah ada kat sana.

“Satu lagi, biasanya kalau duduk tak jauh sangat, dia orang mesti akan panggil abang. Ini tak, diam aja macam tak kenal. Pelik juga,” bisik suami saya lagi sambil matanya tidak berkelip memerhatikan ‘kawan-kawannya’ itu.

Saya pegang tangannya. “Bang, jomlah kita balik. Saya rasa tak sedap hatilah. Dah senja ni,” kata saya, perlahan.

Biar pun perlahan, saya dapat dengar suara saya tergagap-gagap. Memang saya betul-betul dalam ketakutan. Suasana senja yang remang-remang itu menambahkan lagi ketakutan saya. Kerana, kata orang, pada waktu-waktu beginilah ‘benda-benda’ itu berkeliaran.

“Nanti kejap, abang nak perhati betul-betul. Abang pun rasa macam tu, tapi mana tau abang silap. Tak apa lah, kalau dia orang tu bukan `kawan-kawan’ abang, kita balik. Biar abang perhati dalam seminit dua lagi,” jawab suami saya.

Sedang kami bercakap-cakap itu, tiba-tiba kami lihat ketiga-tiga orang ‘kawan’ suami saya itu memandang ke arah kami. Saling tak tumpah, rupa mereka memang seperti kawan-kawannya.

Kami melihat saja wajah mereka, dan kemudian pandangan mata kami saling bertentangan. Ketika pandangan mata kami bertembung, saya terus rasa macam nak pitam. Takut. Saya terus menoleh ke arah lain. Saya bimbang, kalau saya balas pandangan mereka yang tajam itu, nanti terjadi pula sesuatu yang tak elok kepada saya.

Mana tahu, dalam pandangan mata mereka itu ada sesuatu yang boleh menyusup masuk ke dalam tubuh saya, lalu saya dirasuk. Atau saya hilang ingatan dan meracau-racau, lalu saya berlari ke arah mereka dan dibawa masuk ke dalam alam mereka. Hal itu tidak mustahil boleh berlaku.

Saya yang ketakutan mengajak suami supaya segera beredar dari tempat tersebut. Suami saya bersetuju. Sepantas itu juga kami masuk ke dalam bot gentian kaca yang kami sewa daripada penyewa di situ. Suami menghidupkan enjin, lalu beredar dari tempat itu.

Tanpa menoleh ke arah ‘tiga orang kawan’ suami, kami bergegas menuju ke arah hilir tempat kenderaan kami diletakkan. Selain meninggalkan tiga orang kawan suami yang masih belum mahu pulang tadi, kami juga meninggalkan joran-joran serta dua tong Coleman yang sarat berisi udang galah. Biarlah benda-benda tu tinggal tak apa, janji kami selamat.

Akhirnya bot sampai di kawasan kenderaan kami diletakkan. Setelah bersolat Maghrib, saya dan suami pergi semula ke tempat tadi untuk mengambil tiga sahabatnya yang kami tinggalkan. Kami menyusuri semula laluan sungai tadi hingga melepasi rimbunan pohon buluh tempat ‘tiga kawan’ suami itu. Namun, tiga kawan suami tak juga kami temui.

Suami saya ambil keputusan untuk berpatah balik. Kali ini dia memperlahankan botnya. Dari jauh kami nampak tiga cahaya lampu suluh. Kami pun membalas suluhan lampu tersebut. Itu mungkin kawan suami yang kami cari.



Memang betul! Memang cahaya lampu suluh itu daripada mereka. Kami merapati mereka di tebing. Muka masing-masing masam. Saya juga perasan yang muka mereka semacam ketakutan.

“Kenapa kau tinggalkan kami, Jid? Apa kau buat kami macam ni?”

Suami saya tidak terus menjawab pertanyaan seorang daripada rakannya itu.

“Sabar… sabar, panjang ceritanya. Nanti aku cerita,” balas suami saya dengan suara tenang. Beberapa kali juga dia meminta maaf dan mengatakan, dia bukannya sengaja hendak meninggalkan mereka.

Saya hanya menunggu di dalam bot. Suami saya pula keluar dari bot untuk membantu kawan-kawannya memunggah dua buah tong Coleman dan batang-batang joran ke dalam bot. Setelah perkakasan memancing dimuatkan ke dalam bot, barulah suami menceritakan hal yang kami alami.

Mendengarkan cerita suami dan saya yang mencelah sesekali, semua kawannya hairan dan terkejut. Rupa-rupanya kawan-kawan suami saya itu pula ada kisah lain.

Mereka kata, setelah kami meninggalkan mereka, tak berapa lama kemudian kami datang semula. Mereka pun menunggu kami. Apabila bot berenjin sangkut menghampiri mereka, rupa-rupanya tiada siapa yang berada di dalam bot tersebut. Tiada siapa yang memandunya, namun deruan enjinnya tetap ada.

Lebih mengejutkan mereka, bot itu pun sebenarnya tidak berhenti. Ia terus sahaja menuju ke hulu sungai. Memang pelik sungguh! Menurut tiga orang rakan suami saya itu, mereka hanya memandang sesama sendiri.

Lama juga mereka menunggu kami sampai. Apabila terdengar bunyi enjin bot, mereka menyuluh ke arah kami. Jika tiada balasan daripada kami, mereka bercadang tidak akan menyuluh kami lagi. Manalah tahu kalau yang mereka suluh itu bukan kami. Jadi, apabila kami membalas suluhan mereka, barulah mereka yakin kami yang sampai.

Malam itu, kami berkemas dan terus balik ke rumah kami di Nilai. Cadangan awal sebenarnya kami ingin bermalam di tepi sungai tersebut. Esok paginya baru bertolak ke Nilai. Namun disebabkan dua peristiwa pelik yang dialami, kami membatalkan rancangan awal tersebut. Ini semua kerana udang galah!

Walaupun peristiwa tersebut agak menakutkan, sesekali ada juga kami memancing di sungai tersebut. Tetapi tidak seperti sebelumnya. Setiap kali memancing di situ, kami hanya balik hari. Tidak bermalam di situ.

Sekarang ini, apa yang paling kami jaga adalah waktu. Kami tidak akan memancing sehingga waktu senja. Paling lama pun hanya sampai ke pukul 6.30 petang saja. Tak berani hingga masuk waktu Maghrib. Takut pisang berbuah dua kali.

*Pengalaman – Norzalika Hj. Sakir, Nilai, Negeri Sembil


::::::::::::::::::sumber: utusantv



 
Back
Top
Log in Register