Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,764
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,764
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Malaysia Perlu Perkukuh Ekonomi Penjagaan Untuk Tingkat Penyertaan Wanita Dalam Tenaga Kerja - Nancy Shukri
fb Hajah Nancy Haji Shukri
Malaysia perlu memperkukuh ekonomi penjagaan untuk menyokong lebih ramai wanita menyertai atau kembali ke alam pekerjaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam ucapan pada Malaysia Sustainability Leadership Summit kali kelima di sini hari ini, beliau berkata 42.8 peratus daripada 4.89 juta wanita di luar tenaga buruh menyatakan menguruskan rumah tangga dan menjaga ahli keluarga sebagai sebab utama tidak menyertai tenaga kerja.
Beliau berkata sejak sekian lama tanggungjawab menjaga keluarga dianggap sebagai urusan keluarga semata-mata, yang kebanyakannya digalas oleh wanita tanpa pengiktirafan, latihan atau sokongan yang mencukupi.
“Hampir satu juta wanita di Malaysia merupakan penjaga utama keluarga dan satu-satunya pencari nafkah dalam isi rumah masing-masing. Ramai daripada mereka ialah ibu tunggal, manakala hanya sebahagian daripada mereka mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya
“Ini bukan soal bakat atau keupayaan. Sebaliknya, ia jurang struktur yang menghalang ekonomi kita daripada memanfaatkan sepenuhnya kemahiran dan potensi wanita,” katanya.
Nancy berkata isu itu turut dapat dilihat menerusi kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia yang mencatatkan 56.6 peratus pada 2025, jauh lebih rendah berbanding 83.3 peratus bagi lelaki.
Beliau berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menghapuskan kekangan yang menghalang wanita daripada menyertai pasaran buruh, khususnya berkaitan tanggungjawab penjagaan.
“Malaysia tidak dapat merealisasikan sepenuhnya potensi ekonominya selagi separuh daripada kumpulan bakat negara tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Justeru, penyertaan ekonomi wanita kekal sebagai peluang yang besar,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Nancy berkata kementerian sedang melaksanakan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Malaysia Care 2026–2030 sebagai hala tuju nasional untuk memprofesionalkan, mengawal selia dan memperluas ekosistem penjagaan yang mampan.