combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,177
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,177
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik, daripada tempat ke-57 pada 2024 ke tempat ke-54 tahun lepas, yang mencerminkan kemajuan berterusan dalam tadbir urus dan usaha membanteras rasuah.
Berdasarkan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Brunei, mengekalkan kedudukan relatifnya di Asia Tenggara sambil mengatasi beberapa negara serantau.
Skor Malaysia tahun lepas juga meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024, menunjukkan trend menaik yang sederhana tetapi menggalakkan.
TI, sebuah gabungan global menentang rasuah memaklumkan CPI 2025 adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 182 negara pada skala daripada sifar (dianggap paling rasuah) ke 100 (paling bersih).
Secara global, Denmark, Finland dan Singapura menerajui indeks tersebut yang mencerminkan tadbir urus kukuh dan integriti institusi yang konsisten tinggi manakala Sudan Selatan, Somalia dan Venezuela kekal antara negara di kedudukan tercorot, menunjukkan hubungan rapat antara rasuah, konflik dan kelemahan institusi.
Sementara itu, TI Malaysia (TI-M) dalam kenyataan memaklumkan peningkatan kedudukan negara dalam indeks itu menandakan usaha berterusan membanteras rasuah dengan tindakan penguatkuasaan dan komitmen tadbir urus diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun menekankan yang perkembangan itu perlu dilihat sebagai langkah ke hadapan, berbanding satu titik perubahan.
“Cabaran kini adalah untuk mengekalkan dan mempercepat pembaharuan dari tahun ke tahun sekiranya Malaysia mahu mencapai matlamat yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu berada dalam di kelompok 25 terbaik dalam CPI menjelang 2033,” katanya.
Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor itu ialah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan kepada Akta Audit 1957 untuk memperluas pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pengenalan ketelusan pemunyaan benefisial melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024.
Faktor lain yang turut disenaraikan TI-M termasuk tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pegawai kanan kerajaan dan elit politik serta penggubalan undang-undang baharu seperti Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2025.
Malaysia Perbaiki Kedudukan Ke-54 Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025
Transparency International, TI-M, CPI, kedudukan,