Mewajibkan zakat pendapatan merupakan satu tindakan penting dalam memelihara maslahat umat Islam dan ia bukanlah idea mana-mana pihak yang tamak mahu memandai-mandai atas kepentingan duniawi. Malah, kewajipan zakat pendapatan ini dibincangkan dengan sangat kritis oleh para fuqaha di seluruh dunia. Mereka bukan mahu memenuhkan periuk nasi masing-masing, sebaliknya sangat prihatin dengan nasib golongan asnaf zakat yang merintih di seluruh dunia. Tidak perlulah kita berasa risau jika gaji yang diterima tidak mencukupi untuk keperluan bulanan (apatah lagi jika perlu dikorek pula simpanan yang ada). Sistem zakat tidak menzalimi umat Islam. Malah bertujuan untuk membantu umat Islam. Semakin lama saya mendalami hukum zakat, makin saya kagum dengan kebijaksanaan Allah s.w.t. Apa tidaknya, zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang hartanya melebihi keperluan. Sebaliknya, jika apa yang ada tidak mencukupi, kita pula dibenarkan untuk memohon zakat. Jika harta kita berlebih2an maka kita diwajibkan memberi lalu kita bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang luas dan kita tidak perlu meminta-minta. Tetapi jika kita perlu mengharap bantuan, kita juga akan bersyukur kerana ada tempat untuk kita memohon bantuan.