hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,548
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,548
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
Lima beranak tidur dengan sampah
Kluang: Suami dipenjarakan sejak tujuh tahun lalu, manakala abang kandung bersama anak lelakinya pula terjebak dengan najis dadah.
Keadaan itu dipercayai menjadi punca wanita berusia 37 tahun berdepan tekanan hidup hingga sanggup tinggal dengan timbunan sampah-sarap bersama empat anaknya.
Tinjauan Harian Metro di rumah sewa yang terletak Kampung Padang Tembak, di sini, mendapati kediaman berkenaan tidak mempunyai kemudahan elektrik sejak 2016.
Keadaan rumah yang disewa pada kadar RM150 sebulan itu meloyakan apabila timbunan sampah-sarap memenuhi segenap rumah dari ruang tamu sehingga ke dapur.
Wanita berkenaan berkata, dia bekerja sebagai pembuat colok dengan upah sekitar RM65 sehari sejak empat tahun lalu.
"Saya sebolehnya mahu keluar dari rumah ini kerana anak-anak takut dengan pak ciknya, namun berdepan isu kewangan selain sudah tinggal di sini sejak arwah mak ayah masih ada.
"Dia pernah mengamuk dan menyelongkar bilik mencari wang, tetapi bila tak jumpa, dia jual apa sahaja barang yang ada," katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, mereka lima beranak tidur di ruang tamu tanpa beralaskan tilam sejak sekian lama kerana tiada pilihan.
"Saya balik kerja pun dah penat sangat, kadang-kadang saya beli lauk dan minta anak memasak nasi.
"Bulan puasa ini, kami rajin ke rumah saudara untuk berbuka di sana dan sekitar 10 malam baru kami tiba di rumah semula," katanya.
Katanya, suaminya dipenjarakan sejak tujuh tahun lalu akibat kesalahan dadah dan sejak itu dia perlu menanggung keluarganya.
"Saya ada dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Paling tua perempuan berusia 13 tahun ialah orang kurang upaya (OKU) intelektual dan yang paling kecil lelaki berusia tujuh tahun.
"Alhamdulillah, anak-anak semua sihat dan saya hantar mereka ke sekolah sebelum ke tempat kerja dengan motosikal," katanya.
Katanya, dia cuba memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mahir dengan proses dokumentasi.
"Saya diminta mengisi maklumat seperti nombor akaun bank dan bil air dan api, tetapi rumah saya sudah lama tiada elektrik dan air pun ambil dari paip lain," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum mengenai perkara terbabit dan akan turun padang menyantuni keluarga berkenaan.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan keadaan keluarga berkenaan di media sosial dan mengundang reaksi pelbagai masyarakat.