TRIPOLI: Pertempuran sengit bagi mendapatkan kawalan ibu kota Libya di sini yang sudah menyebabkan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal, memburukkan lagi situasi kemanusiaan di negara itu, pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran.
“Selagi situasi berterusan, walaupun jika ia kekal seperti ini, kita dapat menjangka keadaan semakin teruk,” kata penyelaras kemanusiaan PBB untuk Libya, Maria do Valle Ribeiro.
Ketua Tentera Nasional Libya (LNA), Khalifa Haftar melancarkan tentangan ke atas ibu kota ini yang dikawal Kerajaan Persetujuan Nasional (GNA) diiktiraf antarabangsa sejak 4 April lalu.
“Apabila kita melihat serangan udara, serangan tanpa henti terhadap kawasan padat penduduk, agak sukar menjadi optimis,” kata do Valle Ribeiro, yang juga timbalan wakil PBB ke Libya lewat semalam.
Beliau bercakap mengenai serangan udara oleh LNA ke atas Tripoli kelmarin yang mengorbankan empat orang dan mencederakan 20 lain, menurut laporan GNA.
Pertempuran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 278 orang dan mencederakan lebih 1,300 lain, menurut angka dikeluarkan Rabu lalu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya, ia juga memaksa 41,000 penduduk lari dari kawasan pertempuran di sekitar ibu kota ini sementara ramai lagi terperangkap dan memerlukan bantuan kemanusiaan.
Antara yang terdedah adalah kira-kira 3,500 pendatang dan pelarian ditahan di pusat tahanan berhampiran zon tempur yang ‘berisiko’, kata pegawai PBB itu.
Katanya, 800 pendatang dianggap berdepan bahaya sudah dipindahkan selepas PBB dan kumpulan hak asasi berkata, lelaki bersenjata menyerang sebuah pusat tahanan di selatan ibu kota ini minggu lalu. -AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/afrika/2019/04/558579/pbb-beri-amaran-situasi-kemanusiaan-di-libya