balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Sabri (kanan) bertanyakan sesuatu mengenain penggiling tradisional yangn dijual Choi Eng di kedainya. Gambar kecil: Leong Soon menunjukkan kemahiran menulis jawi.
KUALA SELANGOR - Hidup bercampur dengan masyarakat Melayu dan India, membuatkan pasangan suami isteri yang mengusahakan perniagaan batu nisan di Pekan Lama Kuala Selangor di sini, mahir menulis jawi.
Bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, Kuah Leong Soon, 65, dan isterinya, Lim Choi Eng, 63, masih gigih mengusahakan perniagaan yang rata-ratanya dikunjungi penduduk Melayu.
Menurut Leong Soon, minat menulis tulisan jawi mendorongnya belajar dengan seorang ustaz yang baik hati, sudi mengajarnya untuk mengeja nama pelanggan yang menempah batu nisan.
“Lagipun belajar tulis jawi ni seronok bukan sebab uncle ramai pelanggan Melayu tapi dapat belajar benda baru…mula-mula tu ingatkan susah tapi rupa-rupanya senang saja.
“Ustaz itulah yang jadi cikgu dan selalu jadi rujukan kalau ada huruf jawi yang keliru...tapi uncle berani cakaplah belajar jawi ini cukup senang sebab hanya perlu tahu huruf jawi yang nak digunakan.
“Bila pelanggan nak order, uncle siap-siap tulis jawi. Memang ada yang terkejut tapi mereka suka bila uncle pandai tulis. Lagi senanglah kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Leong Soon berkata, dia sudah mengusahakan perniagaan batu nisan, batu lesung dan peralatan berasaskan baru granit lain di pekan lama itu sejak berumur 18 tahun lagi.
“Dulu nak cari kerja tak macam sekarang...bila bapa suruh ikut jual batu nisan, uncle hanya akur saja sebab masa itu tak fikir nak kerja tempat lain dan tak ada siapa lagi mahu teruskan perniagaan keluarga.
“Bila mula-mula nak mulakan kerja memang kekok tapi lama-lama sudah pandai...adik uncle pun sama buat perniagaan sambil bantu-bantu sebab sekarang uncle hanya guna sebelah kanan saja selepas badan lumpuh separuh.
“Walaupun lumpuh separuh tapi uncle tetap gigih penuhi order...sebab tangan kanan masih boleh buat kerja...lagi pun prinsip uncle sekeluarga kerja untuk cari makan, bukan untuk kaya raya,” katanya.
Melayu banyak bagus
Bagi Choi Eng, 63, dia selesa hidup di kawasan itu, bercampur dengan masyarakat Melayu dan Cina meskipun berbeza bahasa dan agama.
“Kami dah lama duduk Malaysia dan seronoklah sebab boleh hidup aman…lagipun kami ramai kawan Melayu yang datang order batu nisan. Kadang-kadang ada kawan India.
“Jarang kawan Cina tempah sini sebab kos mahal. Bila suami tak larat, adik bantu. Ramai juga kawan-kawan datang kedai jenguk suami. Kami seronok bila ada kawan tak kira Melayu atau India datang.
“Kalau Tahun Baharu Cina pun mereka datang, kami bagi angpau dan buah limau kasi ong…ada rezeki kita kongsi. Kalau Hari Raya, saya pun seronok bila dapat kuih raya,” katanya.
Macam kakak sendiri
Bekas penyewa, Rozalela Osman, 41, sudah menganggap Choi Eng sebagai kakaknya sendiri ketika menyewa tingkat atas kedai di Pekan Lama Kuala Selangor itu sejak lima tahun lalu.
“Dulu hidup berjiran memang seronok duduk sini…saya sudah anggap macam kakak sendiri sebab dia pun ramah dan baik dengan kami. Malah bila raya pun kami bagi kuih raya.
“Kalau raya Cina pun, dia bagi angpau kat anak-anak. Memang seronok hidup berjiran meskipun bukan Melayu. Bila dah tak sewa dan pindah tempat lain pun hubungan kami masih baik.
“Memang sudah jadi kawan baik dan kalau lalu pekan lama, mesti singgah jumpa dia,” katanya yang berkesempatan mengunjungi kedai itu menanyakan khabar Choi Eng bersama anak bongsunya.
Seorang lagi penduduk yang juga Ketua MIC Dun Permatang, P Kupan, 74, turut mengunjungi sahabatnya, Leong Soon, yang masih gigih berniaga meskipun diserang strok dan lumpuh sebelah tangan.
“Uncle memang selalu datang sini jenguk kawan…dia pun tak sihat. Kalau lapang, uncle selalu datang kedai Leong Soon dan bual-bual kosong. Biasalah kawan lama mesti kena jaga.
“Memang uncle ramai kawan Melayu dan Cina sebab sudah campur sejak kecil…lagipun dulu sekolah pun sama-sama. Kami kawan pun sampai tua,” katanya berseloroh.
Kupan menyuarakan kebanggaan hidup di negara ini kerana masyarakat majmuk boleh hidup aman dan mampu bersekolah, bekerja dan berniaga tanpa halangan berbanding negara lain.
“Uncle sudah berjalan banyak negara macam Amerika, Thailand, Singapura dan banyak lagi tapi Malaysialah paling bagus. Duit senang cari kalau rajin dan kawan-kawan pun baik…selalu tolong,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Sabri Abdul Rahman, 57, sanggup datang jauh dari Damansara Damai untuk membeli penggiling batu granit tradisional yang dijual di kedai itu.
“Bukan senang nak cari penggiling tradisional ni sebab sekarang dah tak banyak jual. Nipun pakcik baca dalam surat khabar dan nampak penggiling tradisional ni jual kat Kuala Selangor.
“Penggiling tradisional ni kalau beli mahal pun boleh pakai lama…lagipun kalau giling rempah pakai ni memang sedap. Nasib baiklah peniaga Cina Kuala Selangor masih jual lagi,” katanya yang turut dikenali dengan panggilan Pak Tam Char Kue Tiew.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/leong-soon-jual-batu-nisan-tulis-jawi-1.502557