Lelaki dihukum penjara 3 bulan kerana bakar rumah kucing di kolong blok Bukit Batok
Koh Teng Boo membakar rumah-rumah kucing kerana berpendapat ia tidak bersih. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
SINGAPURA: Seorang pesara berusia 68 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan pada Selasa (4 Ogos) kerana membakar rumah-rumah kucing, yang diperbuat daripada kadbod, yang diletakkan di kolong blok dan sebuah astaka (pavilion) berhampiran rumahnya di Bukit Batok.
Koh Teng Boo, seorang rakyat Singapura, mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api.
IKLAN
Mahkamah diberitahu bahawa Koh tinggal di sebuah blok di Bukit Batok East Avenue 4.
Pada September 2025, dia menyedari beberapa struktur kadbod yang dijadikan tempat perlindungan kucing diletakkan di sekitar astaka bersebelahan Blok 261 dan kolong Blok 263 Bukit Batok East Avenue 4.
Rumah-rumah kucing itu dilengkapi makanan dan air bagi menyediakan makanan serta tempat perlindungan untuk kucing terbiar.
Koh mendapati ini turut menyebabkan burung untuk hinggap di rumah-rumah kucing tersebut dan berpendapat struktur berkenaan berpotensi menarik haiwan perosak.
Dia kemudian menyampaikan maklum balas mengenai perkara itu kepada Anggota Parlimen (AP) kawasannya.
IKLAN
BAKAR RUMAH KUCING
Pada Oktober 2025, Koh mengambil tiga rumah kucing di sekitar bloknya, memasukkannya ke dalam tong pembakar colok sebelum membakarnya.
Dia berbuat demikian kerana beranggapan tiada tindakan yang diambil terhadap rumah-rumah kucing itu meskipun sudah mengemukakan aduan kepada AP.
Dua hari kemudian, Koh mendapati lebih banyak rumah kucing diletakkan di kawasan tersebut.
Dia sekali lagi menemui AP di kawasannya pada 17 November 2025 untuk membangkitkan kebimbangan yang sama.
IKLAN
Koh menegaskan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan kucing tetapi bimbang mengenai soal kebersihan. Dia turut mendakwa para penduduk membuang sampah ke dalam rumah-rumah kucing tersebut.
Dua hari kemudian, Koh sedang dalam perjalanan pulang pada awal pagi selepas mengambil minuman beralkohol apabila ternampak sebuah rumah kucing di kolong Blok 263.
Dia mengeluarkan pemetik api lalu membakar struktur tersebut meskipun mengetahui tindakannya boleh menyebabkan kerosakan di kawasan itu.
Koh kemudian meninggalkan tempat kejadian sedang api masih menyala tanpa pengawasan.
Siasatan tidak dapat menentukan bila atau bagaimana api tersebut akhirnya dipadamkan.
IKLAN
Sekitar 5.30 pagi pada 20 November 2025, Koh pergi ke astaka bersebelahan Blok 261 dengan niat untuk membakar lebih banyak rumah kucing.
Menurut pihak pendakwa, dia berasa marah kerana tiada tindakan yang dapat dilihat diambil meskipun sudah membuat aduan.
Koh sekali lagi membakar sebuah rumah kucing dan meninggalkannya tanpa pengawasan.
Orang awam yang melihat kebakaran itu memadamkan api tidak lama kemudian.
BAYAR GANTI RUGI S$913
Majlis Bandaran Jurong-Clementi-Bukit Batok membelanjakan sekitar S$913 untuk membaiki kerosakan pada lantai dan dinding di sekitar dua rumah kucing yang dibakar.
Satu aduan polis turut dibuat pada 20 November 2025.
Perbuatan Koh dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sebelum polis mengenal pasti dan memberkasnya.
Koh membayar sepenuhnya kos kerosakan kepada majlis bandaran pada Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Stephen Yeo memohon hukuman penjara antara empat dengan empat setengah bulan.
Beliau berkata kerosakan yang berlaku tidak besar dan Koh sudah membayar sepenuhnya kos kerosakan.
Namun, terdapat potensi bahaya kerana Koh melakukan perbuatan itu pada awal pagi dan meninggalkan api tanpa pengawasan.
Koh, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah menerusi seorang jurubahasa Mandarin bahawa dia cuba mendapatkan bantuan guaman tetapi tidak layak disebabkan pendapatan isi rumahnya.
Dalam rayuannya, Koh mengakui tindakannya membakar rumah-rumah kucing itu salah dan berbahaya serta menyatakan kekesalannya.
Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh mengingatkan Koh supaya tidak bertindak sendiri dalam menangani sesuatu perkara.
Hakim Soh berkata meskipun hukuman yang dimohon pihak pendakwa adalah adil dan munasabah, mahkamah mengambil kira usia dan keadaan kesihatan Koh serta hakikat bahawa dia sudah membayar ganti rugi sepenuhnya.
Atas kesalahan melakukan perbuatan khianat dengan api, Koh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Oleh sebab tuduhan itu melibatkan beberapa kejadian, Koh boleh dikenakan hukuman sehingga seganda lebih tinggi.
Lelaki dihukum penjara 3 bulan kerana bakar kadbod tempat berteduh kucing di kolong blok Bukit Batok
SINGAPURA: Seorang pesara berusia 68 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan pada Selasa (4 Ogos) kerana membakar beberapa kadbod tempat berteduh kucing, yang diperbuat daripada kadbod, yang diletakkan di kolong blok dan sebuah astaka (pavilion) berhampiran rumahnya di Bukit Batok. Koh Teng...