combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,389
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,389
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPDN Labuan Kompaun Dua Premis Gagal Pamer Tanda Harga
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenakan kompaun terhadap dua premis perniagaan di sini kerana gagal mempamerkan tanda harga barangan jualan.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata kompaun pertama dikenakan terhadap sebuah restoran yang tidak memaparkan tanda harga bagi makanan yang dimasak untuk pelanggan.
“Keadaan ini menyukarkan pelanggan untuk mengetahui harga makanan yang dipilih sebelum membuat pembelian,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam pemeriksaan berasingan, KPDN turut mengenakan kompaun terhadap sebuah pasar raya kerana gagal mempamerkan tanda harga bagi produk pencucian.
Junaidah berkata kedua-dua kompaun itu dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, yang dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Beliau berkata peniaga tidak sepatutnya memandang ringan keperluan meletakkan tanda harga dan perlu memastikan harga barangan atau perkhidmatan ditawarkan dipamerkan dengan jelas, tepat serta tidak mengelirukan.
“Harga tidak seharusnya menjadi perkara yang perlu diteka oleh pengguna. Sama ada makanan dihidangkan di restoran atau barangan yang dipamerkan di rak pasar raya, pengguna berhak mengetahui harga sebelum membuat keputusan untuk membeli,” katanya.
Junaidah berkata tanda harga barangan yang dipamerkan dengan jelas memudahkan pengguna membuat perbandingan harga selain dapat mengurangkan pertikaian semasa membuat pembayaran.
Beliau berkata KDPN Labuan akan terus melaksanakan pemeriksaan dan program advokasi bagi memastikan kepatuhan dan ketelusan peniaga dalam urus niaga demi melindungi kepentingan pengguna.