BTC USD 80,511.9 Gold USD 4,152.21
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Konsep Kelahiran Semula Dalam Buddhisme

TengkuHaadi

Active+ Member
Messages
4,628
Joined
Mar 24, 2008
Messages
4,628
Reaction score
593
Points
81
Ajaran Buddha MENOLAK Re-incarnation, tetapi Rebirth.


► Konsep Pusingan Hidup Dalam Agama Buddha

Sekarang ini majoriti kaum Buddhis mempunyai pemahaman yang khilaf tentang konsep Vatta Samsara atau pusingan "hidup-mati" dalam agama Buddha. Keadaan ini berpunca daripada pengaruh kepercayaan Brahmana yang menguasai agama Buddha sejak sekian lama tanpa disedari kaum Buddhis. Dalam kitab Tipitaka terdapat begitu banyak ajaran Brahmana. Ajaran Brahmana yang paling penting yang meresapi agama Buddha ialah konsep Citta atau Vinyan manusia yang menjadi Atta dan kekal abadi. (Vinyan ini tidak mati atau tidak padam sama sekali). Vinyan ini mampu keluar dari tubuh badan manusia selepas mati dan akan dilahirkan semula di dalam tubuh badan yang baru yang kita panggil Vatta Samsara atau pusingan hidup (kitaran hidup). (Thai: vian vai tai-kerd).

Misalnya, jikalau siapa yang mempunyai tahap Samadhi yang tinggi, apabila mati akan dilahirkan di dunia Brahma (Phrom). Jikalau buat baik apabila mati akan dilahirkan sebagai Dewa (Devata) di syurga. Jikalau buat baik dan jahat bercampur-campur, apabila mati akan dilahirkan semula sebagai manusia di dunia ini. Jikalau buat jahat tidak banyak, apabila mati akan dilahirkan sebagai haiwan di dunia. Jikalau buat jahat banyak apabila mati akan dilahirkan sebagai Asura atau hantu. Jikalau buat jahat banyak lagi apabila mati akan dilahirkan sebagai Peta (Pret). Jikalau buat jahat terlalu banyak apabila mati akan dilahirkan sebagai makhluk neraka. Ini adalah konsep Karma mengikut ajaran Brahmana yang mengajar bahawa apabila kita melakukan Karma dalam kehidupan sekarang, maka kita akan menerima hasilnya (balasannya) dalam kehidupan akan datang. Konsep Karma inilah yang menjadi pegangan majoriti kaum Buddhis sekarang.

Kaum Buddhis percaya lagi bahawa indvidu yang mengamalkan Sila, Samadhi dan Panya mengikut konsep Ariya Magga hingga sempurna akan mencapai Nirvana - di mana Nirvana ini kebanyakan kaum Buddhis percaya sebagai suatu kematian yang mana Citta atau Vinyan akan padam terus dan tidak perlu kembali kepada konsep pusingan hidup lagi (bebas daripada Vatta Samsara).

Namun, terdapat juga yang percaya bahawa selepas mati Citta atau Vinyan akan tinggal di suatu tempat yang mana tempatr tersebut hanya ada kebahagiaan (tiada kedukaan sama sekali) dan hidup abadi di situ selama-lamanya. Ini juga pengaruh Brahmana yang mempercayai bahawa Citta atau Vinyan manusia adalah Atta. Kepercayaan inilah yang mencambahkan kepercayaan berkenaan Devata, Puteri Kayangan, Indra (Phra In), Brahma (Phra Phrom), Phaya Yom, hantu, Pret, makhluk neraka, neraka bawah tanah, syurga atas langit dan sebagainya termasuk kehidupan dahulu, kehidupan akan datang dan Karma daripada kehidupan lampau atau pusingan hidup yang melibatkan tubuh badan. Kesemua kepercayaan ini terdapat dalam pendidikan Dhamma tahap moraliti (Sila-Dhamma) yang diajarkan secara meluas di sekolah atau kelas Dhamma sekarang ini.

Manakala ajaran tahap tinggi (Paramattha Dhamma) yang sejati dalam agama Buddha akan mengajar perkara yang bertentangan dengan ajaran Brahmana. Agama Buddha akan mengajar bahawa Citta atau Vinyan kita adalah Anatta - bukan "Atman atau diri" yang kekal abadi seperti ajaran Brahmana. Sebaliknya, Citta atau Vinyan hanya "diri" sementara sahaja yang terbentuk daripada penggabungan elemen-elemen, bukan "diri" yang kekal abadi. Tubuh badan terbentuk daripada penggabungan elemen tanah, air, api dan angin atau udara. Manakala Vinyan (pengetahuan melalui mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati) lahir daripada anggota tubuh badan yang masih hidup. Citta atau minda yang mempunyai fungsi berfikir dan menerima perasaan lahir daripada aktiviti Vinyan dan otak. Citta berfungsi untuk mengetahui, merasa, mengingat, mengadun dan berfikir. Oleh itu, tanpa elemen tanah, air, api dan angin, tubuh pun akan mati. Tanpa tubuh badan yang hidup, Vinyan pun tidak akan lahir. Vinyan tidak boleh lahir dalam tubuh badan yang telah mati. Tanpa Vinyan, maka Citta atau minda juga tidak akan lahir. Semuanya mesti ada Vinyan iaitu pengetahuan melalui indera 6. Apabila mata melihat objek, maka lahirlah Vinyan mata (pengetahuan melalui mata atau dipanggil Cakkhu Vinyan). Daripada Cakkhu Vinyan akan lahir pelbagai perasaan, fikiran dan mencetuskan perbuatan; semuanya melalui aktiviti minda - suka, duka, benci, sayang, bertindak begitu, bertindak begini, berbuat baik, berbuat jahat dan sebagainya. Begitu juga apabila telinga mendengar suara, hidung menghidu bau, lidah merasa masin atau manis, tubuh menyentuh objek. Semuanya melahirkan Vinyan yang membawa kepada perasaan, pemikiran, percakapan dan perbuatan.

Penjelasan di atas berkaitan kelahiran tubuh badan, Vinyan dan Citta manusia (fizikal dan mental) mengikut hukum alam (hukum tertinggi) yang dipanggil hukum Itappaccayata. Hukum inilah yang mengawal pembentukan segala benda. "Segala benda lahir (wujud) mesti ada sebab-sebab atau elemen-elemen (hetu-paccaya) yang bergabung mewujudkannya." Maksudnya segala benda wujud daripada hasil gabungan pelbagai elemen. Bulan, matahari, bumi, gunung, pokok, manusia, kereta dan sebagainya terbentuk daripada gabungan pelbagai elemen. Elemen asas ialah tanah, air, angin dan api.

Oleh sebab tiada Vinyan yang mampu keluar dari tubuh badan yang telah mati, maka sesungguhnya konsep pusingan hidup mengikut Brahmana adalah sesuatu yang mustahil.

Buddha juga ada mengajar tentang Karma dan konsep pusingan hidup tetapi bukan ajaran yang paling penting. Ajaran yang paling penting ialah Ariya Sacca 4. Agama Buddha juga ada mengajar tentang devata, Puteri Kayangan, neraka, syurga dan sebagainya tetapi berbeza dengan apa yang diajarkan dalam Brahmana. Brahmana mengajar benda yang berada di luar tubuh kita, ganjil, tidak dapat dibuktikan, tidak mampu dilihat dan tidak dapat disentuh.

Sedangkan agama Buddha adalah sains yang mana benda yang diajarkan boleh dibuktikan, boleh disentuh, dilihat, wujud dalam mental dan fizikal kita dalam kehidupan sekarang. Cuma sedikit kesukaran untuk memahaminya, tetapi bukan sesuatu yang di luar kemampuan fikiran kita.

Misalnya, apabila kita mempunyai Brahma Vihara 4 (Metta, Karuna, Mudita, Upekkha) atau mempunyai tahap Samadhi yang tinggi, Citta atau minda kita akan tenteram dan bahagia, maka ketika itu kita diumpamakan seperti Brahma (Phra Phrom) di Brahma-loka. Kita diumpakan sedang dilahirkan sebagai Phra Phrom kerana sifat-sifat kita yang mulia seperti Phra Phrom. (Phra Phrom juga merujuk kepada orang baik yang dihormati masyarakat. Ibu bapa juga dipanggil Phra Phrom kepada anak-anak).

Apabila kita malu dan takut (Hiri-Ottapa) kepada kejahatan, hati kita pun tenang dan bahagia, maka kita diumpamakan seperti dewa atau devata di syurga. Apabila kita berpuas hati dan gembira dengan perbuatan baik yang kita lakukan, kita diumpamakan sedang lahir sebagai orang di dunia (orang yang berhati mulia dipanggil manusia). Sewaktu kita berada dalam kejahilan yang melampau, membuat sesuatu yang ***** dan tidak berperikemanusiaan, maka kita diumpamakan sedang dilahirkan sebagai haiwan.

Sewaktu hati kita dilanda kemahuan yang keras, tamak haloba, maka kita diumpamakan sedang dilahirkan sebagai Peta (Pret). Pret ialah makhluk yang sentiasa dalam kelaparan. Apabila kita melakukan kejahatan yang menyebabkan kita ketakutan (takut ditangkap) hingga terpaksa melarikan diri, hidup bersembunyi-sembunyi, maka kita diumpamakan sebagai Asura atau hantu. Asura dan hantu suka tinggal di tempat terpencil dan tersorok.

Apabila kita sedang marah, maka kita diumpamakan sedang lahir jadi Yak atau gergasi (individu yang ditakuti kerana kejahatan atau kebengisannya). Sewaktu kita dalam kesusahan, kedukaan dan kepanasan hati, maka kita diumpamakan sedang lahir sebagai makhluk neraka yang berada di dalam neraka.

Daripada penjelasan di atas, kita dapat tahu bahawa manusia "dilahirkan" sebagai Phra Phrom, devata, haiwan, hantu, pret dan sebagainya melalui mental. Manusia yang mempunyai minda (moraliti) yang tinggi dan mulia "dilahirkan" di alam yang mulia seperti alam Phrom dan devata. Manusia yang mempunyai tahap minda (moraliti) yang rendah akan "dilahirkan" di alam yang teruk seperti alam haiwan atau neraka. Kelahiran ini hanya perumpamaan bagi merujuk kepada tahap minda seseorang.

Jelaslah bahawa konsep pusingan hidup (Vatta Samsara) dalam agama Buddha merujuk kepada "perubahan minda" kita dari semasa ke semasa akibat kuasa Kilesa yang menguasai diri. Perubahan minda ini berlaku berkali-kali, berpuluh-puluh kali atau beratus-ratus kali dalam sehari. Sebenarnya minda kita mengalami proses "lahir - mati" setiap detik tanpa kita sedari. Dalam sehari kita mengalami pelbagai perasaan - suka, duka, gembira, marah, benci, sayang dan sebagainya. Mungkin sebelah pagi gembira lahir. Sebelah tengah hari gembira mati (padam), lahir pula sedih. Sedih mati, mungkin lahir perasaan lain lagi. Ini baru perasaan, belum lagi diambil kira perbuatan yang juga pelbagai.

Proses "lahir - mati" dalam agama Buddha digambarkan hampir serupa dengan kepercayaan Brahmana tetapi hanya melibatkan aktiviti minda sahaja. Semuanya berpunca daripada Kilesa. Kilesa mempengaruhi minda hingga melahirkan perbuatan melalui tubuh, mulut dan hati (Kaya Kamma 3, Vaci Kamma 4 dan Mano Kamma 3). Setiap perbuatan dipanggil Karma. Apabila ada Karma akan ada hasil atau balasan Karma. Berbuat baik akan mendapat hasil yang baik. Berbuat jahat mendapat hasil yang jahat. Hasil yang baik melahirkan kegembiraan dan kebahagiaan. Hasil yang jahat melahirkan kesusahan dan kesengsaraan. Kegembiraan adalah syurga. Kesusahan adalah neraka.

Ada ketika minda atau hati kita lapang daripada Kilesa (keadaan begini lahir secara semulajadi apabila minda dibakar oleh Kilesa hingga lemah longlai, atau lahir daripada Samadhi yang telah memadamkan Kilesa buat sementara waktu, atau lahir daripada kesuburan Panja hingga memahami keadaan sebenar bahawa "sebenarnya tiada diri aku yang kekal" boleh menyebabkan minda bebas daripada Kilesa, sementara waktu atau selamanya), maka minda kita pun akan bersih (suci), lapang, tenang, nyaman, segar, dan hening. Keadaan yang bebas daripada gangguan Kilesa ini dikenali sebagai Nirvana.

Kesimpulannya konsep Vatta Samsara atau pusingan hidup dalam agama Buddha merujuk kepada perubahan minda akibat daripada pengaruh Kilesa yang berlaku dari semasa ke semasa. Apabila minda kita berubah, sikap dan perlakuan kita juga ikut berubah. Dalam sehari kita mungkin akan jadi Phra Phrom, Devata, hantu, Pret dan sebagainya bergantung pada kuasa Kilesa.

Jadi, kita ada kuasa memilih untuk jadi Phra Phrom, Devata, hantu, Yak, Asura, haiwan atau Peta? Kita juga ada kuasa memilih untuk tinggal di dunia, syurga atau neraka. Jikalau kita mampu mengawal Kilesa, kita boleh jadi Phra Phrom. Jikalau kita gagal mengawal Kilesa, kita mungkin akan jadi hantu, Yak, Asura atau Peta. Jikalau kita berjaya menghapuskan Kilesa, kita akan jadi Arahant. Pilihan di tangan kita!



► Sampavesi Dan Kelahiran Semula

Anda percaya bahawa selepas mati, anda akan dilahirkan semula dalam kehidupan baru? Ini bermakna anda mempunyai peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan dalam kehidupan sekarang? Sekiranya anda tidak percaya, tamatkan pembacaan di sini. Anda tidak perlu membuang masa dengan apa yang anda tidak percaya. Sebaliknya, jika anda percaya, boleh baca sehingga habis.

Sampavesi (สัมภเวสี) satu istilah yang mungkin baru bagi seseorang. Namun, tidak bagi saya. Sejak lama dahulu saya selalu dijinakkan dengan istilah ini. Akan tetapi pemahaman tentang maksudnya yang sebenar masih kabur sehinggalah saya dewasa.

Sampavesi merupakan sesuatu yang amat menarik dalam agama Buddha. Sampavesi merupakan bukti kukuh yang menunjukkan bahawa manusia mati akan hidup semula dalam kelahiran baru. Namun, terdapat kaum Buddhis yang tidak berapa faham dengan Sampavesi yang sebenar. Malahan bagi yang memahami, pemahaman mereka pula berbeza-beza mengikut alairan atau mazhab. Walau apapun, perkara ini sangat mustahak dikaji dan difahami kerana ia melibatkan semua orang.

Saya dan anda tidak akan terlepas daripada Sampavesi.

Sampavesi merujuk kepada makhluk dunia yang masih mencari tempat lahir (bhava) iaitu masih tertakluk dengan hukum Vatta Samsara (pusingan hidup). Selagi belum mencapai Arahant, semua orang tetap jadi Sampavesi.

Namun, sesetengah kaum Buddhis tersalah faham. Mereka menganggap Sampavesi merujuk kepada makhluk dunia yang sedang mencari-cari tempat lahir; iaitu belum dapat tempat lahir yang baru selepas mati dari kehidupan sekarang.

Pemahaman begini amat ketara di kalangan Mahayana. Mahayana percaya bahawa orang yang telah mati akan berada di ruang "di antara tempat lahir" (antara Bhava) selama 7 hari, 15 hari, atau1 bulan bagi menunggu kelahiran semula (Patisandhi/Patisonthi) dalam mana-mana satu daripada 4 jenis kelahiran. Makhluk yang berada di ruang "di antara tempat lahir" ini ialah Sampavesi kerana masih menunggu kelahiran baru. Kepercayaan begini pun ada di kalangan kaum Buddhis Theravada kerana terpengaruh dengan Mahayana.

Namun, mengikut Theravada, makhluk yang berada di ruang "di antara tempat lahir" tidak ada. Ini kerana selepas mati, Citta (menggunakan istilah Citta agar mudah difahami tetapi sebenarnya ialah Karma) terus dilahirkan semula. Citta/Vinyan (sebenarnya Karma) yang bermundar-mandir tanpa tubuh atau tiada tempat lahir sama sekali tidak ada. Citta mesti ada tubuh sebagai tempat tinggal.

Dalam Pali ada menyebut yang bermaksud: "Citta ada gua iaitu tubuh sebagai tempat tinggal." Umpama api yang mesti ada "elemen" lain baru akan menyala. Arang, kayu api, kertas, petrol dan sebagainya merupakan umpan api. Tanpa umpan, api tidak menyala. Jiakalau ada umpan, barulah kita dapat melihat api. Api tidak akan menyala tanpa "elemen" yang dipanggil umpan tersebut.

Sekiranya si mati terpaksa pergi menunggu di ruang di antara tempat lahir (antara bhava), maka tempat lahir (bhava) akan bertambah lagi satu. Daripada 31 bhava-bhumi yang asal kepada 32. Hakikatnya tidak begitu. Buddha cuma memberitahu ada 31 bhava-bhumi sahaja iaitu Apaya (abai) 4, Syurga Kama-Vacara 6, Rupa-Brahma(Rup-Phrom) 16, Arupa-Brahma (Arup-Phrom) 4, dan Dunia manusia 1.

Orang mati yang masih ada Kilesa akan dilahirkan di mana-mana bhava dengan segera sebagaimana yang terdapat dalam Pali "Suttap Buddho Viya, seperti tidur kemudian terjaga". Tidak perlu menunggu tempat lahir yang baru. Lahir di mana, di tempat mana, terpulang pada kekuatan Karma kerana Karma yang akan membawa kepada kelahiran baru.

Maka, seseorang yang melihat saudara maranya yang telah mati "muncul" semula dalam bentuk manusia, ini bermakna saudara mara tersebut telah dilahirkan di bhava yang baru, tetapi dalam kehidupan Oppatika, mungkin dilahirkan sebagai Petta, Asura atau Devata. Golongan ini merupakan Athitsamanakai yang tubuhnya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kita hanya boleh melihat sekiranya mereka sengaja "mewujudkan" diri agar kita dapat melihatnya. Ini pun dengan tujuan tertentu, mungkin untuk membawa perkhabaran kepada kita agar kita tahu bahawa mereka sudah dilahirkan.

(Dalam kisah Raja Bimbisara, saudara mara Baginda yang telah mati "muncul" kerana mahu minta "suan bun" (pahala). Kisah inilah yang menjadi titik tolak kepada upacara tambun bulan 10 (Saipret) yang diamalkan masyarakat Siam.)

Setiap kelahiran tidak menentu masanya, mungkin sementara, mungkin kekal lama. Ada orang yang hanya dilahirkan selama 7 hari sebagai manusia, kemudian mati dan dilahirkan ke alam lain. Begitu juga bagi yang dilahirkan di neraka mahupun syurga. Karma setiap orang tidak sama. Karma menentukan kelahiran semula seseorang selepas kematiannya.

Dalam agama Buddha, orang mati tidak perlu menunggu "hari penghakiman" sebelum diputuskan akan ke alam mana (syurga atau neraka) kerana Karma bergerak tanpa henti sepanjang masa. Setiap pergerakannya ada hasil dan balasan. Pergerakan Karma dipanggil Vatta Samsara. Oleh itu, manusia sebenarnya "tidak pernah mati" tetapi bertukar bentuk dan tempat tinggal.

Contohnya, individu yang banyak berbuat baik apabila mati akan dilahirkan di syurga. Setelah Karma baiknya habis, dan dia (Devata) tidak berbuat baik selama di syurga, sebaliknya berbuat jahat, selepas mati akan dilahirkan ke alam manusia lagi. Selama di alam manusia, dia berbuat jahat, dia akan dilahirkan di neraka. Begitulah "pusingan kehidupan" yang tidak pernah berhenti selagi tidak Arahant.



► Vatta Samsara: Tiada Pangkal, Tiada Hujung

Sewaktu Buddha berada di Chetawan Maha Vihara, seorang Brahmana masuk menghadap dan bertanya tentang berapa kappa masa yang telah berlalu.

Buddha memberitahu:

"Oh, Brahmana, kita memberi perumpamaan begini. Sungai Gangga bermula dari mana dan berakhir di lautan mana, biji-biji pasir di sepanjang (dasar) sungai itu bukan sesuatu yang mudah untuk dikira jumlahnya. Kappa (jumlah masa) yang telah berlalu lebih banyak daripada biji-biji pasir di dasar sungai Gangga. Oleh itu, bukan perkara mudah untuk mengira berapa kappa yang telah berlalu - seratus kappa, seribu kappa atau 100 ribu kappa?

"Kenapa begini?

Kerana Vatta Samsara (pusingan hidup makhluk) tidak dapat ditentukan di mana permulaan dan di mana pengakhirannya. Selagi Avijja menjadi penghalang kepada makhluk dan makhluk dicengkam oleh Tanha, selagi itulah makhluk akan terus mengembara (dari satu kehidupan ke satu kehidupan) di mana permulaan dan pengakhiranya tidak ada kepastian. Makhluk yang mengembara dalam Vatta Samsara telah merasai kesengsaraan, kepanasan, kemusnahan dan kehilangan serta menambahkan tanah perkuburan sepanjang masa."

Brahmana sangat sukacita mendengar penjelasan Buddha lalu mengisytiharkan dirinya sebagai penganut agama Buddha sepanjang hayat.

Gangga Sutta

คงคาสูตร

(สังยุตนิกาย นิทานวรรค ข้อ ๔๓๕ หน้า ๒๑๗ บาลีฉบับสยามรัฐ)
-------------------------------------------------------------------
1 Yojana = 16 kilometer


1 Kappa = Sejak dunia wujud hingga dunia berakhir 1 kali.


Perumpamaan begini. Terdapat sebuah kotak lebar 100 Yojana, panjang 100 Yojana dan tinggi 100 Yojana. Dalam setiap 100 tahun dimasukkan 1 biji benih sawi dalam kotak tersebut. Buat begitu sehingga benih sawi penuh kotak. Itulah jangka masa 1 Kappa.



___________________________________________

"Oh, mereka yang nampak bahaya dalam Vatta Samsara sekalian! Vatta Samsara tidak mungkin dapat ditentukan permulaan dan pengakhirannya. Selagi Avijja menjadi penghalang kepada makhluk dan makhluk bergelumang dengan Tanha, selagi itulah mereka terpaksa mengembara berulang-alik sehingga tidak dapat ditentukan di mana pengakhiran dan di mana permulaannya.

"Oh, mereka yang nampak bahaya dalam Vatta Samsara sekalian! Umpama seorang lelaki memotong rumput, kayu, ranting kayu, daun kayu (di muka bumi), dikumpulkan, kemudian diikat dan setiap ikat sebesar 4 jari. Semuanya diletakkan di satu tempat dan dijadikan perbandingan.

"Ikat ini bonda kita. Ikat ini bonda kepada bonda kita. Ikat ini bonda kepada bonda, kepada bonda kita. Buatlah perbandingan seterus. Akhirnya ikatan rumput, kayu, ranting kayu dan daun-daun habis. Tetapi bonda kepada bonda kita (salasilah bonda kita) belum habis."

Kenapa begini?

Kerana Vatta Samsara ini tiada dapat ditentukan di mana permulaan dan pengakhirannya. Selagi Avijja menjadi penghalang kepada makhluk dan makhluk bergelumang dengan Tanha, selagi itulah mereka terpaksa mengembara tanpa kesudahan sehingga tidak dapat ditentukan pengakhiran dan permulaannya. Dengan ini, mencukupilah untuk kita semua berasa bosan dan jemu dengan Vatta Samsara dan berusaha meninggalkannya.

พระสูตรเกี่ยวกับความยาวของวัฏสงสาร
จาก "ภูมิวิลาสินี" หน้า ๔๕๓ - ๔๕๖
โดย พระธรรมธีรราชมหามุนี
(วิลาศ ญาณวโร ป.ธ.๙)
-----------------------------------------------------------------


Dalam Sutta lain diberikan perumpamaan antara air mata manusia dengan air laut. Dikatakan bahawa air mata manusia yang mengalir keluar akibat kesengsaraan, kedukaan dan kehilangan (benda yang dikasihi) yang berulang-kali lebih banyak daripada air dari 4 lautan - utara, timur, selatan dan barat. Betapa lamanya kewujudan manusia di Vatta Samsara sehingga air matanya lebih banyak daripada air 4 lautan. Kerana terlalu lama hingga tidak dapat mengira jumlah tahunnya, maka pengakhiran dan permulaan kehidupan juga tidak dapat ditentukan. Selagi manusia dibelenggu Avijja dan Tanha, pusingan kehidupan tidak akan berhenti, oleh itu tidak dapat dipastikan di mana pengakhirannya. Oleh sebab Vatta samsara berbetuk pusingan, apabila pengakhirannya tidak dapat dipastikan, maka permulaannya juga tidak dapat dipastikan.

Umpama sebuah kipas yang sedang berpusing. Siapakah dapat memastikan di mana daun kipas mula berpusing dan di mana akan berhenti, kecuali kipas itu telah berhenti berpusing.


(สังยุตนิกาย นิทานวรรค อัสสุสูตร ข้อ ๔๒๕ หน้า ๒๑๓ บาลีฉบับสยามรัฐ)

-----------------------------------------------------------


Pemahaman tentang Vatta Samsara dan jangka hayatnya sangat penting - permulaan dan pengakhirannya sangat penting. Pemahaman ini dapat membantu mereka yang suka bertanya di mana dan bagaimana dunia bermula dan di mana dan bagaimana dunia akan berakhir? Pertanyaan ini sebenarnya datang daripada pengajian agama dari sudut falsafah yang fokus kepada "ramalan" dan "tekaan" semata-mata. Orang yang mengamalkan Dhamma sebenar jarang mengemukan soalan begini kerana mereka sedar jawapan kepada soalan ini tidak membantu membebaskan diri dan minda daripada kesengsaraan. Lagipun, setelah minda mencapai tahap tertentu, perkara ini akan terjawab dengan sendiri.

Seperkara lagi, soalan begini pengaruh daripada agama lain yang menyatakan dengan jelas masa dunia bermula, proses membina dunia dan bagaimana dunia akan berakhir. Kepercayaan begini sebenarnya wujud sejak sebelum zaman Buddha lagi. Golongan Brahmana yang percaya kepada konsep Tuhan Pencipta (พระเจ้าผู้สร้าง) selalu melontarkan soalan begini kepada Buddha. Malahan Buddha sendiri sebelum menjadi Buddha pun berpegang kepada kepercayaan ini. Setelah mendapat kebuddhaan, Baginda sedar bahawa kepercayaan Tuhan Pencipta cuma konsep yang terdapat dalam minda manusia yang terhasil daripada upadana Atta. Manusia sejenis makhluk yang penakut. Setelah melihat Atta pada diri tidak kekal abadi (mati), maka manusia mencari Atta di luar diri untuk dijadikan pelindung. Dari sinilah lahirnya konsep Maha Attaman.



► Kematian Bukan Pengakhiran Kehidupan

Sering kita mendengar ada orang yang dalam kesusahan akan merungut begini: "Dari hidup menderita begini, mati lebih baik!"

Persoalannya, kematian bukan pengakhiran kepada penderitaan. Penderitaan akan terus wujud walaupun orangnya telah mati. Dalam agama Buddha, penderitaan (Dukkha) seseorang akan terus wujud dari satu kitaran kehidupan ke satu kitaran kehidupan yang lain.

Pendek kata, manusia sebenarnya "tidak mati" walaupun dia sudah tidak bernafas dan badannya sudah reput. Kehidupan manusia adalah satu tranformasi daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Kematian adalah pengakhiran daripada "bentuk lama" dan permulaan kepada "bentuk baru".

Manusia sebenarnya tidak tahu bilakah kehidupan pertamanya bermula. Kita mungkin pernah melalui beratus kehidupan lampau, atau sekarang baru kehidupan pertama kita. tiada siapa yang tahu. Begitu juga dengan kehidupan terakhir. Tiada siapa tahu. Jikalau kita berusaha sehingga mencapai tahap kehabisan Karma, tahulah kita bahawa kehidupan kita telah berakhir. Umpama biji benih yang tidak akan bercambah lagi. Itulah Arahant.

Hari ini kita dilahirkan dalam "bentuk" manusia kerana dalam kehidupan yang lepas kita melakukan Karma yang layak untuk kita dilahirkan sebagai manusia. Untuk dilahirkan sebagai manusia bukan senang kerana kita mesti mengumpulkan Karma baik. Selepas nafas berhenti, badan hancur, kita akan bertukar kepada "bentuk" lain lagi. "Bentuk" apa? Terpulang kepada Karma kita.

Jikalau kita berbuat baik banyak-banyak ada Hiri - Ottapa sebagai asas, kita akan dilahirkan ke alam Devata atau Phroma. Sebaliknya, kita akan dilahirkan di alam Peta, haiwan atau makhluk neraka apabila kita melakukan banyak Karma jahat. Mungkin juga kita akan dilahirkan kembali ke alam manusia, terpulang pada jenis Karma kita.

Apakah "pengganti" diri kita yang membawa kita pelbagai-bagai alam? Kebanyakan orang Siam menyebut "pengganti" diri ini sebagai vinyan(roh?). Apabila kita mati, vinyan kita tidak mati dan akan lahir di alam lain. Vinyan akan menggembara dari satu alam ke satu alam. Ini kepercayaan kita, kepercayaan orang Siam.

Sedangkan, dalam ajaran Buddha, vinyan tidak membawa pengertian sebagaimana yang kita fahami. Vinyan tidak akan menggembara dari satu alam ke satu alam. Vinyan hanya akan wujud apabila Ayatana wujud. Tanpa Ayatana, vinyan tidak akan wujud. Ayatana dalam ialah mata, telinga, hidung, lidah, badan dan minda. Ayatana luar pula objek, suara, bau, rasa, sentuhan dan objek minda.

Contohnya, apabila mata melihat objek akan lahir vinyan melalui mata (cakkhu vinyan). Begitu juga halnya apabila telinga mendengar suara, hidung menghidu bau, lidah mengecap rasa, badan menyentuh benda dan minda mengingatkan sesuatu, semuanya akan melahirkan vinyan. Seseorang mempunyai 6 jenis vinyan bergantung pada jenis Ayatana.

Jadi, vinyan tidak sama dengan pengertian "roh" dalam agama lain. Habis, apa yang akan menjadi "pengganti" diri kita selepas kita mati? Dalam ajaran Buddha, "diri" itu sendiri pun tidak ada. Selepas kita mati, semua "milik kita" seperti mata, teliga, kaki, limpa, jantung, tulang, dan kulit turut hilang. Harta, rumah, kereta, isteri, anak dan semuanya tidak membawa sebarang makna. Yang tinggal cuma Karma. Hanya Karma yang berkuasa menentukan kehidupan baru kita. Karma baik membawa kita ke alam baik. Karma jahat membawa kita ke alam tidak baik.

Selagi ada Karma, selagi itulah penderitaan akan wujud. Penderitaan akan terhapus selepas kita tiada Karma iaitu kita berjaya memutuskan kitaran kehidupan (vatta samsara). Oleh itu, kematian tidak akan menghapuskan penderitaan. Mereka yang merungut meminta disegerakan kematian atau bertekad membunuh diri bagi menghilangkan penderitaan adalah kesilapan besar.

Penderitaan harus didepani dengan bijaksana. Penderitaan berpunca daripada Karma tidak baik. Oleh itu, bagi menghilangkan penderitaan, kita mesti berbanyak melakukan Karma baik. Berbuat baik hari ini, dalam kehidupan kini, adalah penentu alam mana, dan kehidupan bagaimana bakal kita kecapi selepas mati?

Kesimpulannya, kehidupan kita hari esok adalah hasil daripada Karma kita hari ini. Kita tidak akan mati, melainkan satu tranformasi kehidupan daripada satu bentuk ke bentuk lain, daripada satu alam ke alam lain!

Perjalanan kita masih terlalu panjang. Berbuat baiklah sebanyak yang mampu sebagai bekalan perjalanan!



(SUMBER: Blog http://komunitisiambaru.blogspot.com)
 
Last edited:
Kpd org Islam, Kalau Akidah x kuat..dinasihatkan jgn baca...
Tapi kalu Akidah dah mantap...Terpulang...
 
kongsi2 gelap byk pakai konsep budha ni..
nak2 kongsi gelap melayu yg gh2 hot skang..x percaya????
gali sendiri
 
apakah tt sedang mengkaji agama2 selain islam??

rsanya sblm2 ni tt penah bukak thread pasal budda gak..
 
ilmu tauhid, fekah pun susah nak hadam..apatah lagi ilmu lain...
kena banyak makan kismis aku ni..
 
apakah tt sedang mengkaji agama2 selain islam??

rsanya sblm2 ni tt penah bukak thread pasal budda gak..

awat la piang sangat hang ni...?

dr zakir naik pun baca kitab hindu kitab kristian tak semestinya nak anut budha..
 
awat la piang sangat hang ni...?

dr zakir naik pun baca kitab hindu kitab kristian tak semestinya nak anut budha..

aku tya adakah tt mengkaji agama lain..salah ka??
yang hang meroyan sgt pasai paaa...
 
bnyk btul theard pasai buddha nie.......
 
Back
Top
Log in Register