Lelaki maut dalam kejadian langgar lari
GERIK: Seorang lelaki yang sedang membantu rakannnya mengisi minyak kereta di Kilometer 2.6, Lebuhraya Timur-Barat, maut dalam kejadian langgar lari semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kejadian jam 5.15 petang apabila mangsa pergi membantu rakannya yang kehabisan minyak bagi kereta Proton Saga.
“Mangsa tiba di lokasi dengan menunggang motosikal untuk menghantar minyak.
“Ketika mengisi minyak ke dalam tangki kereta rakan di bahu kanan jalan, dia dirempuh sebuah kereta putih yang tidak dikenal pasti dari arah Jeli ke Gerik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Gerik untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 malam.
“Pemandu Proton Saga berusia 21 tahun itu tidak cedera,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Bahagian Trafik IPD Gerik di talian 05-7912222.
Artikel : Buletin Tv3