Oh mgkin Haris yg ni kot...patut la Korea power skrg...
KOTA BAHARU, 25 Mac (Bernama) -- Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju melepaskan bekas jurulatih kebangsaan, Harris Abdul Rahman untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Korea Selatan yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Asia di Doha, Qatar.
Pengerusi Kejurulatihan PSM Tengku Adnan Tengku Burhanuddin berkata permohonan Korea Selatan untuk mendapatkan seorang jurulatih itu diterima melalui Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini.
"Jadi setelah menimbang permohonan Korea Selatan, PSM bersetuju untuk melepaskan Harris melatih pasukan negara itu dengan segera," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Harris, 54, sebelum ini ialah salah seorang Panel Instruktur Kejurulatihan PSM dan pernah menjadi jurulatih pasukan Singapura pada 2002.
Sebelum itu Harris ialah jurulatih pasukan kebangsaan yang menyaksikan pasukan negara mendapat emas terakhirnya di Sukan Asia di Hiroshima menerusi acara regu pada 1994.
Bernama difahamkan Harris bakal menerima gaji sebanyak US$3,000 sebulan bagi melatih pasukan Korea Selatan itu.
"Ini untuk kebaikan sukan sepak takraw sejagat dan kita berhasrat agar lebih ramai jurulatih berkaliber negara menjadi jurulatih luar," katanya.
Sementara itu, pasukan negara bersama pasukan pelapis sedang mengadakan latihan intensif di Pasir Gudang, Johor bagi menghadapi Kejohanan Tiga Penjuru di Pulau Pinang pada 7 hingga 10 April depan.
Katanya selain pasukan utama negara dan pelapis, satu lagi pasukan adalah dari Thailand yang mengadakan persiapan ke Sukan Asia nanti.