KDE
Junior Member
- Messages
- 54
- Joined
- Nov 15, 2013
- Messages
- 54
- Reaction score
- 10
- Points
- 11
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131006/kn_05/Keperluan#ixzz2lC6f5oEB
© Utusan Melayu (M) Bhd
TAHUKAH anda, 85 orang daripada 100 wanita yang aktif dalam hubungan seksual tetapi tidak mengamalkan sebarang kaedah kontraseptif , akan hamil dalam tempoh setahun?
Dalam konteks global pula, lebih daripada satu suku populasi wanita yang hamil berlaku tanpa dirancang atau memilih untuk menggugurkan bayi dalam kandungan.
Perangkaan lain pula menunjukkan kira-kira 30 peratus iaitu seorang dalam setiap tiga orang kelahiran dalam kelompok masyarakat Asia adalah tidak dirancang.
Kehamilan tanpa dirancang yang menjurus kepada pengguguran anak bukan fenomena baru. Ketiadaan perancang keluarga yang baik dan pengguguran anak hanya meletakkan kesihatan wanita dalam risiko. Apabila ini berlaku, soal siapa yang patut dipersalahkan mungkin tidak begitu signifikan lagi. Hakikatnya, impak ke atas aspek fisiologi, psikologi dan bebanan kewangan, sosial mahupun ekonomi sepatutnya menyedarkan kaum wanita bahawa mereka mempunyai pilihan dan hak untuk mengawal kehidupannya sendiri.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Setiausaha Majlis Kontraseptif Asia Pasifik (APCOC), Profesor Jamiyah Hassan berkata, kehamilan tidak dirancang adalah peluntur kebahagiaan sesebuah hubungan.
"Perancang keluarga bukan sahaja penting untuk kaum wanita, tetapi juga lelaki. Lelaki turut bertanggungjawab untuk mengetahui kaedah pencegahan hamil sedia ada dan bagaimana untuk merancang keluarga. Itu sebabnya Hari Pencegah Kehamilan Sedunia bukan sahaja untuk kaum wanita bahkan golongan Adam di negara ini," katanya.
Kepelbagaian kaedah pencegah kehamilan pada masa kini telah membolehkan pasangan membuat pilihan terbaik dan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
"Masyarakat Asia pada amnya masih tabu apabila menyentuh tentang isu-isu seksual dan pencegah kehamilan. Itulah antara agenda kempen untuk memperbetulkan tanggapan mereka tentang kaedah mencegah kehamilan.
"Mereka perlu didedahkan dengan pengetahuan yang tepat dan cara penggunaan (kaedah kontraseptif ) yang betul untuk menjamin keberkesanannya," tambah beliau.
Menurutnya, pilihan tentang penggunaan kaedah kontraseptif dibuat berdasarkan pelbagai sebab. Sesetengah pasangan mungkin berbuat demikian kerana ingin menikmati kehidupan berpasangan terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam keibu bapaan.
Sebahagian pula merasakan perlunya kawalan kehamilan bagi menjarakkan tempoh kelahiran anak.
Segelintir pasangan pula berpendapat, mereka sudah memiliki keluarga yang sempurna dan sudah tiba masanya untuk mengelakkan risiko kehamilan tanpa dirancang.
"Di Malaysia kadar penggunaan pil perancang moden adalah amat rendah. Hanya kurang daripada empat peratus wanita dalam lingkungan umur 15 hingga 49 tahun yang menggunakannya. Kos dan sampingan biasanya menjadi faktor pertimbangan utama untuk wanita apabila memilih kaedah pencegahan kehamilan.
"Dengan adanya pil perancang moden generik yang mempunyai kesan sampingan ang minimum seperti tidak menyebabkan penambahan berat badan, kini wanita mempunyai lebih banyak pilihan dan dapat menikmati faedah kesihatan tambahan yang ditawarkan oleh pil-pil baharu ini," ujarnya.
Kepelbagaian fungsi pil perancangMenyedari hakikat tersebut, bahagian perniagaan farmaseutikal Chemo Group yang dikenali sebagai Exeltis Group mengumumkan hasil kajian pasaran serantau yang pertama berkenaan sikap preskripsi dalam pasaran hormon wanita sempena Hari Kontraseptif Sedunia.
Kajian pasaran ini dijalankan di Indonesia, malaysia, Filipina dan Thailand yang melibatkan pengamal perubatan umum, ahli farmasi, pakar perbidanan dan pakar sakit puan untuk mendapatkan gambaran tentang landskap rawatan dan keperluan yang tidak dipenuhi di kalangan wanita di Malaysia dan rantau ini.
Kajian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus dalam jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon di Malaysia berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Peningkatan ini mungkin disebabkan kehidupan seks yang aktif dan kesedaran tentang pencegahan kehamilan yang semakin meningkat serta kewujudan terapi hormon wanita yang semakin banyak di pasaran.
Daripada peningkatan ini, satu daripada tiga wanita diberikan terapi hormon wanita untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan yang merangkumi pencegahan kehamilan (76 peratus), masalah kesan sampingan haid (61 peratus), jerawat (43 peratus) dan endometriosis (74 peratus).
Kajian ini juga menunjukkan bahawa pil perancang oral gabungan (COC) merupakan pilihan terapi hormon yang diutamakan untuk merawat keadaan kesihatan tersebut. Pil COC yang ideal adalah pil yang paling menyerupai tubuh manusia secara semula jadi, mempunyai kesan sampingan yang minimum dan menawarkan faedah kesihatan tambahan.
Bagi Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. KK Israwan, pil COC mengandungi dua hormon wanita yang sintetik iaitu hormon progestron dan estrogen untuk mencegah kehamilan. Pun begitu, pil ini juga mempunyai beberapa fungsi kesihatan tambahan untuk meredakan senggugut, merawat jerawat, mengurangkan gangguan emosi, mengurangkan risiko barah ovari dan endometrium serta memperbaiki keadaan kesihatan reproduktif yang lain.
"Di negara-negara maju, sesetengah pesakit menggunakan pil ini secara eksklusif untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid serta keadaan kesihatan reproduktif tertentu seperti haid yang tidak teratur, endomentriosis dan sindrom pra haid (PMS)," ujarnya.
Dalam pada itu, Exektis juga memperkenalkan risalah pendidikan pesakit baharu yang disokong oleh Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan Persekutuan Keibubapaan Terancang Antarabangsa, Wilayah Asia Timur dan tenggara dan Oceania (IPPF ESEAOR). Risalah ini bertujuan meningkatkan kesedaran umum tentang faedah kesihatan tambahan pil COC dan menggalakkan wanita untuk bertindak bagi meningkatkan kesejahteraan diri mereka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131006/kn_05/Keperluan#ixzz2lC6iPJa7
© Utusan Melayu (M) Bhd