ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kiri) bersama Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) dan Daing A. Malek Daing A. Rahaman (empat dari kiri), bersama perwakilan, menyanyikan lagu rasmi UMNO pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Semai Bakti, Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor, semalam. UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KOTA TINGGI 21 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli-ahli yang tidak lagi memegang sebarang jawatan supaya kembali setia kepada UMNO dan tidak bertindak merosakkan parti itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu kembali kepada UMNO, parti terbesar orang Melayu dan bersama-sama dengan ahli lain untuk memperkukuh, sekali gus memperkuatkan parti dalam memastikannya kekal relevan.
Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak termakan dengan ‘cucukkan’ golongan yang suka menghasut kerana tindakan itu tidak mendatangkan kebahagiaan.
“Kita duduk sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan MB (Menteri Besar) adalah kerana sokongan UMNO. Kenapa bila kita tiada jawatan kita cucuk-cucuk belakang...kita seharusnya perlu terus bantu dan kukuhkan UMNO.
“Jangan buat keputusan ketika sedang marah atau semasa kita sedang sedih kerana sesungguhnya semua keputusan yang kita buat pada waktu itu adalah tidak rasional.
“Jadi, kepada mereka yang sudah tidak ada jawatan baliklah kepada UMNO dan jangan rosakkan UMNO,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Felda Lok Heng Timur, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman.
Ahmad Zahid berkata, pemimpin dan ahli akar umbi UMNO perlu ada usaha ke arah memperkukuhkan parti dan jika ada permasalahan, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada putaran hayat politik.
“Kita juga perlu menolak sebarang usaha pihak yang mahu meruntuhkan parti dan mereka itu bukannya kuat, sebaliknya kita (ahli UMNO) dilemahkan dari dalam.
“Sesebuah parti itu dinamik bentuknya dan seseorang pemimpin itu tidak hebat kepimpinannya jika tidak diuji. Jadi, marilah kita ketepikan segala masalah yang ada kerana yang penting UMNO dan Barisan Nasional perlu diperkukuhkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga berpesan bahawa UMNO itu lahir di Istana Besar (Johor Bahru), sekali gus menzahirkan harapan baginda untuk melihat orang Melayu sentiasa bersatu.
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadap Sultan Johor sebelum merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian berkenaan.