ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Ahmad Jazlan Yaakub
BACHOK 17 Ogos - Lebih 1,500 kakitangan Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini akan ditempatkan di semua pusat pemindahan banjir terutama di kawasan yang berisiko tinggi sekiranya bencana alam itu berlaku pada penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, fokus utama akan membabitkan kawasan yang pernah dilanda banjir besar pada penghujung tahun lalu dengan memastikan logistik ditempatkan lebih awal dan mengesan penduduk sebelum musim tengkujuh bermula.
Beliau berkata, langkah-langkah proaktif untuk berkerjasama dengan agensi penyelamat yang lain akan disusul dalam tempoh terdekat sebagai persiapan awal kemungkinan negeri ini dilanda banjir yang lebih buruk pada November dan Disember hadapan.
“Lokasi seperti Jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat perlu diberi tumpuan yang khusus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Bachok, dekat sini kelmarin.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, sebahagian besar anggota Kemas terdiri daripada guru dan pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) akan menjadi tenaga membantu kerja-kerja menyediakan makanan kepada mangsa banjir sepanjang berada di pusat pemindahan.
Selain itu, katanya, agensi di bawah kementeriannya seperti Risda, Felcra dan Pusat GiatMara yang berpusat di luar bandar juga mampu menyediakan kelengkapan tambahan bagi usaha menyelamat dan membantu kerja pemindahan mangsa banjir ke kawasan yang lebih selamat.
“Satu mesyuarat khas mengenainya akan diadakan pada bulan depan bagi merangka strategi dan persiapan yang berkaitan,” katanya.