soybean
CG Hardcore Club


- Messages
- 63,243
Paid Membership
- Joined
- Feb 15, 2009
- Messages
- 63,243
- Reaction score
- 4,135
- Points
- 661
Syafil Syazwan Jefri
[email protected]
NAMA penyanyi Iqwan Alif mungkin tidak sebesar penyanyi lain. Namun, itu tidak pernah menggugat semangat penyanyi yang lahir daripada program realiti popular Akademi Fantasia 2015 (AF2015) ini.
Iqwan ketika ditemui RapXtra berkata, langkah sebagai anak seni tetap akan disusun tanpa pernah ada rasa putus asa.
Memilih untuk berehat selama lima tahun, Iqwan kini muncul dengan single baharu berjudul Wow yang juga menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk drama bersiri Cinta Amnesia yang ditayangkan di TV3, baru-baru ini.
"Pada asalnya, saya nak keluarkan lagu lain yang saya sendiri tulis liriknya. Pada masa sama, saya juga diberi pilihan sama ada ingin merakamkan lagu Wow ini.
"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan, kami membuat keputusan untuk rakamkan lagu Wow memandangkan ia menjadi lagu OST drama dan memang dihasilkan khas untuk drama Cinta Amnesia," katanya.
Berkongsi mengenai lagu Wow hasil ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, Iqwan berkata, ia berkisar mengenai nasihat.
"Ia berkonsepkan lagu nasihat dan peringatan kepada diri supaya tidak sentiasa bersangka buruk kepada orang lain. Berbanding lagu nasihat yang lain, Wow mengetengahkan muzik genre EDM moden," katanya.
Pernah hadir dengan single sulung berjudul Cemburu Buta pada 2017, Iqwan berkata, dia perlu mengubah cara nyanyiannya dan mengadaptasi mengikut kesesuaian muzik lagu baharu ini.
"Sebelum ini, saya pernah muncul dengan lagu pop. Jadi, untuk menyanyikan lagu EDM, ia memang cabaran baharu buat diri saya.
"Cara nyanyian untuk lagu ini berbeza, namun saya dibantu mereka di belakang tabir ketika proses rakaman," katanya.
Bercerita mengenai perjalanan seninya yang 'direhatkan' selama lima tahun, Iqwan menggunakan masa yang ada untuk menambah baik kemampuan dirinya.
"Selepas saya tamat kontrak dengan label lama, saya habiskan pengajian diploma saya dalam bidang Multimedia, Filem dan TV di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
"Pada masa sama, ada juga saya buat kerja nyanyian secara 'freelance' (bebas). Tapi, fokus utama saya adalah untuk belajar dan berehat dulu.
"Sekarang, saya menyambung lagi pelajaran dan dalam tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni di Aswara," katanya.
Pada masa sama, Iqwan juga pernah terfikir dan timbul kerisauan sekiranya namanya sebagai penyanyi semakin pudar dan dilupakan.
"Saya ada terfikir juga, bagaimana kalau orang lupa akan kewujudan saya. Namun, saya bersyukur kerana masih ada peminat yang selalu bertanya dan berkongsi karya saya.
"Apa-apa pun, saya cuba ambil risiko pada ketika itu kerana keputusan berkenaan adalah untuk menambah baik diri saya sebagai individu," katanya.'
Selain itu, Iqwan juga terbuka untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.
"Saya pernah berlakon untuk beberapa iklan komersial. Sekiranya ada peluang, saya nak cuba berjinak-jinak dalam bidang lakonan memandangkan dalam tahun akhir pengajian saya, tak ada banyak kelas," katanya