ASB akan umum dividen tinggi?
KUANTAN 8 Dis. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) dijangka mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih baik Isnin ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, ia berdasarkan prestasi PNB yang mampu memberikan pulangan pendapatan lebih baik pada setiap tahun kepada para pelaburnya berbanding instrumen lain.
Selain itu katanya, keadaan pasaran semasa juga tidak memberi kesan yang agak teruk kepada prestasi PNB.
"Kita jangka (agihan pendapatan ASB) okey," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan zakat perniagaan PNB berjumlah RM1.7 juta kepada Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Hamad Kama Piah, bagaimanapun enggan mengulas sama ada agihan pendapatan ASB yang akan diumumkan itu lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.
Ditanya tentang prospek pelaburan PNB bagi tahun depan, Hamad Kama Piah berkata, mengambil kira unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik, maka PNB turut menjangkakan persekitaran pelaburan yang bertambah baik.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah pelaburan rakyat Pahang dalam unit-unit saham kendalian PNB berjumlah kira-kira RM4.2 bilion atau kira-kira empat peratus daripada keseluruhan dana yang diuruskan oleh PNB.
"Jumlah itu adalah besar dan ini menggambarkan orang Pahang bukan tidak ada duit," katanya.