balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Murid-murid Pasti Al-Mawaddah diberi cuti sehari semalam ekoran kejadian kelmarin.
< 1 / 2 >
SEREMBAN – “Saya menggigil bila parang panjang diacukan pada leher. Anak murid saya pula terkencing dalam seluar tengok saya diperlaku sebegitu,” kata Fauziah Mohd Arifin, 30, guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mawaddah, Taman Warisan Puteri, Sikamat, di sini, semalam.
Dia berkata demikian ketika menceritakan kepada Sinar Harian bagaimana situasi cemas ketika pusat asuhan berkenaan diceroboh dua penjenayah bersenjata parang dan memakai topi keledar penutup penuh, kelmarin.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di dapur dan segera ke bahagian tengah rumah apabila mendengar seorang lagi guru, Saridah Rahmat, 42, menjerit meminta tolong.
“Saya lihat Cikgu Saridah berlari bawa anak murid masuk ke dalam dan terus mengunci pintu sambil menjerit meminta tolong.
“Ketika itu juga saya lihat ada seorang lelaki memakai topi keledar memegang penjaga di luar rumah dengan meletakkan parang di lehernya,” katanya.
Fauziah berkata, dia sempat menelefon suaminya memaklumkan pusat asuhannya dimasuki penjenayah.
“Saya meminta suami datang segera ke sini dan belum sempat saya hubungi polis, lelaki itu dapat masuk dengan menendang pintu.
“Lelaki itu datang ke arah saya dan acu parang panjang di leher sambil berkata ‘aku nak duit, kalau tak da duit aku bunuh semua’.
“Salah seorang anak murid melihat saya dalam keadaan begitu terus menangis ketakutan sehingga terkencing dalam seluar,” katanya ketika ditemui di pusat asuhan berkenaan, semalam.
Fauziah berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu turut menyelak tudung dan lengan bajunya untuk meragut emas.
“Melihat saya tidak memakai barang kemas, dia menolak saya sehingga terjatuh sebelum ke dapur untuk menggeledah laci pula.
“Selepas gagal mencari duit, dia terus merampas beg tangan saya sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan pusat asuhan ini,” katanya.
Menurut Fauziah, sejurus dua lelaki itu melarikan diri, dia bersama guru-guru yang lain segera memeluk anak murid yang menangis ketakutan.
“Kami semua memeluk anak murid bagi menenangkan mereka. Mujur ramai anak murid yang tidak melihat kejadian itu kerana berada di tingkat atas.
“Syukur Alhamdulillah, kami tidak dicederakan. Saya tidak risaukan keselamatan saya tetapi lebih risaukan keselamatan anak murid,” katanya.
Katanya, dia kerugian hampir RM500 apabila beg tangan mengandungi duit dan barang kemas dilarikan penyamun itu.
“Ibu murid yang menjadi mangsa juga mengalami kerugian apabila rantai, gelang dan cincin emas serta telefon bimbit dilarikan suspek," katanya yang tetap gagahkan diri untuk bekerja semalam, walaupun masih trauma.
Difahamkan, seramai 54 murid berusia empat hingga enam tahun mengikuti kelas di Pasti itu, namun ketika kejadian hanya 30 murid berada di situ, manakala selebihnya sudah pulang ke rumah.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kami-menggigil-ketakutan-1.354818