afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,229
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,229
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Jumlah premis judi kekal sejak 1990-an, kata MoF
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan kerajaan Kedah mendapatkan kebenaran merayu pembatalan tindakan henti pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.
Dalam kenyataan, pihak kementerian berkata jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.
“Sebagai langkah kawalan, Kementerian Kewangan juga sememangnya telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada pemegang lesen.
“Kerajaan Madani terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya.
Kementerian berkata, tiada sebarang usul mengharamkan perjudian berlesen secara nasional atau memansuhkan lesen sedia ada sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan persekutuan dari 2020 hingga 2022 yang turut dianggotai PAS.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata bilangan cabutan khas diturunkan daripada 22 kepada lapan kali setahun di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2020, sebelum kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengembalikannya semula kepada 22 kali.
“Selepas kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023,” katanya.
Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000, selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merayu.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tindakan kerajaan Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan perjudian bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti berpandangan urusan berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa persekutuan, termasuk kuasa Kementerian Kewangan mengeluarkan dan mengawal selia lesen pengendali serta ejen perjudian.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan memberi amaran perdana menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.
Berucap pada sesi penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah pada malam Selasa, beliau berkata, kerajaan negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan menerusi larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di Kedah.