BTC USD 76,281.6 Gold USD 4,280.89
Time now: Jun 1, 12:00 AM

JPA Laksana Kajian Impak AI Terhadap Perjawatan Perkhidmatan Awam - KPPA

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,702
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,702
Reaction score
97
Points
80
2e6c537095fcc9304517bfa07ea5907c69492c2a69f8b

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menjalankan kajian bagi menilai impak kecerdasan buatan (AI) terhadap perjawatan perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata kajian itu penting bagi memastikan struktur perjawatan sektor awam kekal relevan serta menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

“Perkara ini penting kerana ketika ini kecerdasan buatan sudah boleh mengambil alih kerja-kerja rutin dan bersifat analisis,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga JPA yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata ketua jabatan perlu menyemak semula deskripsi tugas pegawai di bawah seliaan masing-masing berdasarkan hasil kajian itu kelak bagi memastikan perjawatan kekal relevan dan berdaya saing.

"Langkah ini amat kritikal bagi memastikan pelaburan besar yang telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi program melatih semula ataupun re-skilling pegawai awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuahkan hasil yang setimpal," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata ketua jabatan juga perlu memiliki keupayaan metakognitif yang tinggi bagi membimbing warga kerja memahami proses pemikiran, pembelajaran dan penyesuaian tingkah laku dalam persekitaran kerja yang semakin kompleks dan tidak menentu.

"Pada era AI ini, kebijaksanaan seseorang pemimpin terserlah apabila mampu mengenal pasti secara strategik tugasan yang memerlukan sentuhan kemanusiaan dan mana yang lebih efisien dioptimumkan melalui mesin,” katanya.

Dalam amanatnya, Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan Pelan Strategik JPA 2026–2030 yang merangkumi lima teras strategik bagi memacu reformasi perkhidmatan awam.

Beliau berkata pelan strategik itu digubal selari dengan misi pembaharuan perkhidmatan awam yang digagaskan kerajaan, khususnya dalam mempercepat pelaksanaan dasar, mempermudah urusan rakyat serta memperkukuh keupayaan jentera pentadbiran negara.

 
Back
Top
Log in Register