Syarat kad kredit tak jejas bank
Syarat kad kredit tak jejas bank
2011/03/19
Institusi kewangan raih pulangan maksimum, miliki pelanggan berkualiti
GARIS panduan baru penggunaan kad kredit yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia tidak akan menjejaskan pendapatan bank di Malaysia, malah bakal meningkatkan kecekapan perniagaan serta mengukuhkan kedudukan kewangan mereka.
Ia juga dijangkakan tidak akan memberikan kesan kepada sentimen kukuh perbelanjaan pengguna ketika ini.
Firma penyelidikan melihat garis panduan baru yang lebih ketat itu akan membolehkan bank meraih pulangan maksimum daripada perniagaan kad kredit masing-masing kerana ia akan menyediakan mereka asas pelanggan berkualiti yang mempunyai kemampuan sebenar menyelesaikan baki pinjaman dalam tempoh ditetapkan.
Pinjaman kad kredit sepanjang enam bulan lalu meningkat kukuh apabila ia mencatatkan pertumbuhan purata 13.6 peratus, berbanding pertumbuhan pinjaman isi rumah sebanyak 10.6 peratus dan pertumbuhan jumlah pinjaman keseluruhan sebanyak 11.9 peratus.
OSK Research, dalam nota penyelidikannya berkata jumlah hutang kad kredit dalam sistem perbankan tempatan ketika ini masih kecil iaitu hanya 3.4 peratus daripada jumlah pinjaman keseluruhan.
“Justeru, sebarang pengurangan dalam perbelanjaan pengguna kad kredit berikutan berkuat kuasanya peraturan lebih ketat itu dijangka tidak akan menjejaskan pendapatan faedah bersih bank, walaupun perniagaan kad kredit menghasilkan pulangan lebih tinggi,” katanya.
Bank Negara semalam mengumumkan syarat baru kelayakan pendapatan minimum bagi memohon kad kredit berkuat kuasa sertamerta adalah RM24,000 setahun daripada RM18,000 setahun sebelum ini.
Bagi pemohon atau pemegang kad yang memperoleh pendapatan tahunan di bawah RM36,000 pula, mereka hanya boleh memiliki kad kredit daripada hanya dua bank.
Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad berpendapatan RM36,000 atau kurang juga tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan masing-masing.
OSK Research berkata, bank di Malaysia adalah lebih berhati-hati dalam meluluskan permohonan pinjaman kad kredit sejak dua tahun kebelakangan ini yang menyaksikan secara puratanya ia menguncup sebanyak 17.6 peratus setahun berbanding kelulusan pinjaman keseluruhan yang berkembang 9.2 peratus dalam tempoh sama.
“Ini memberi gambaran bahawa bank secara relatifnya lebih konservatif terhadap perniagaan kad kredit masing-masing walaupun pemulihan ekonomi kukuh dicatatkan sepanjang tempoh itu,” katanya.
OSK Research berkata walaupun ramai beranggapan perniagaan kad kredit menanggung risiko lebih tinggi, langkah bank di Malaysia melaksanakan proses penilaian kredit yang ketat telah memastikan nisbah pinjaman tidak berbayar masing-masing terus bertambah baik.
untuk membaca lagi sila ke webpage saya, klik sini
http://jomapplyjom.blogspot.com/p/berita-semasa.html