soybean
CG Hardcore Club


- Messages
- 63,243
Paid Membership
- Joined
- Feb 15, 2009
- Messages
- 63,243
- Reaction score
- 4,135
- Points
- 661
Dr Amani Nawi
Pada tanggal 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadan 1443H, sekali lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kunjungan tetamu istimewa iaitu Ramadan al-Mubarak. Sudah tentu sebagai umat Islam, kita sangat ternanti-nanti kedatangan tetamu istimewa ini. Kehadirannya bukan sahaja bakal membawa seribu kebaikan kepada diri kita, keluarga dan masyarakat Islam seluruhnya, malah akan membuka pintu-pintu taubat yang dijamin penerimaannya kepada mana-mana orang Islam dan bukan Islam untuk kembali ke jalan Allah yang diredai.
Pensyariatan puasa dalam bulan Ramadan
Setiap hukum syariat yang diwajibkan ke atas umat Islam mengandungi hikmah dan matlamat tertentu, baik secara tersurat atau tersirat. Allah SWT tidak akan memerintahkan sesuatu hukum melainkan untuk mencapai 'maslahah' iaitu memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia sejagat. Namun begitu, hikmah mengenai puasa dalam bulan Ramadan ini hanya mampu dinikmati oleh mereka yang benar-benar berpuasa dan bersyukur dengan nikmat Allah SWT.
Justeru, ketika Allah SWT mewajibkan umat Islam supaya berpuasa di bulan Ramadan yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" - (Surah al-Baqarah ayat 183). Allah SWT menyeru hamba-Nya dengan berfirman "Wahai orang-orang yang beriman, …" diikuti dengan ".....agar kamu bertakwa." Jelas daripada ayat ini, bahawa setiap perkara yang diwajibkan ke atas umat Islam tidak lain dan tidak bukan adalah kebaikan untuk diraih iaitu mencapai tingkatan takwa.
Benar, terdapat pelbagai jalan ibadah yang boleh dilakukan oleh umat Islam untuk mendaki puncak takwa tertinggi. Salah satunya adalah dengan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Setiap ibadah membawa risalah dan misi yang berbeza. Misi utama maqasid puasa adalah untuk membebaskan manusia daripada pengabdian kepada nafsunya sendiri. Al-Baydhawi dalam kitab Fathul Bari oleh Ibnu Hajar ada menyebut: "Maqasid syariah di sebalik puasa bukan hanya semata-mata menahan nafsu lapar dan dahaga, tetapi yang lebih penting adalah menundukkan keinginan hawa nafsu dan mendorong nafsu ammarah iaitu nafsu yang tidak pernah puas supaya beralih kepada jiwa yang tenang." Kata al-Baydhawi, sekiranya perkara ini tidak berlaku ketika kita berpuasa, maka Allah tidak akan melihat dan menerima puasa kita.