BTC USD 76,316.9 Gold USD 4,300.20
Time now: Jun 1, 12:00 AM

MYS JDT kecewakan The Cats dengan 10 pemain

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141
3402123.webp

Kesebelasan JDT. Foto Johor Southern Tigers

BERAKSI dengan 10 pemain nyata tidak menghalang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Kuching City FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad Harimau Selatan itu tidak perlu menunggu lama untuk menggegarkan jaring The Cats apabila penyerang import, Bergson Da Silva menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-15.

Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil kerana Bergson didapati telah mengasari pertahanan pelawat sebelum merembat ke gawang.

Tersentak dengan percubaan itu, The Cats mula bangkit mengatur asakan ke gawang tuan rumah dalam usaha memburu jaringan pembukaan.

Asakan demi asakan itu akhirnya menyaksikan pelawat mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pemain import, Scott Woods pada minit ke-40.

Penghujung babak pertama menyaksikan tiada jaringan tambahan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan, sekali gus menyaksikan kedudukan kekal sehingga menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan JDT beraksi dengan 10 pemain selepas kapten, Natxo Insa dilayangkan kad merah pada minit ke-55 dan diperintahkan keluar padang selepas mengasari pemain The Cats.

Kesempatan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelawat apabila jentera serangan skuad Harimau Selatan terus mengasak dan membuahkan hasil menerusi jaringan penyamaan oleh Nacio Méndez pada minit ke-58.

Tuan rumah terus mengasak pintu gol pelawat dalam usaha menambah jaringan dan pada minit ke-64, Bergson meledak gol kedua JDT.

Biarpun mendahului perlawanan dan beraksi dengan kekurangan seorang pemain, skuad Harimau Selatan kekal bersemangat untuk mengasak gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.

Namun, tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dan kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
 

Munoz sanjung kemenangan JDT berjuang 10 pemain menentang Kuching City FC​

3402175.webp

Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva (tengah) melepaskan sepakan namun berjaya dihalang pemain Kuching City FC, Yuki Tanigawa (kiri) pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu. Foto Bernama

KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji semangat juang tinggi pasukannya selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Beliau berkata, anak buahnya tetap beraksi dengan tenang dan mempunyai keazaman walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Natxo Insa dilayangkan kad merah pada minit ke-55.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, beliau berkata, pasukannya memberikan respons sangat baik selepas dibolosi pada separuh masa pertama dan terus mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Penyesuaian taktikal pada separuh masa rehat, katanya membantu JDT memperbaiki prestasi mereka dan menukar peluang kepada gol, sambil menambah pemain kekal fokus dalam situasi sukar dan bertindak positif pada separuh masa kedua.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Ignacio Mendez pada minit ke-58 dan Bergson da Silva (minit ke-64) selepas Scott Woods memberikan Kuching City FC kelebihan awal pada minit ke-41.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak turut memuji usaha dan disiplin dipamerkan anak buahnya walaupun mengalami kekalahan.

Beliau berkata skuad itu telah memberikan tentangan yang baik, sambil menambah dengan penyertaan pemain baharu, Kuching City FC akan terus memperbaiki prestasi dan kekal kompetitif dalam liga. - Bernama
 

The Cats pamer aksi berdisiplin biarpun tewas 1-2​

3402268.webp

Pemain Kuching City FC mempamerkan aksi bertenaga bagi menyaingi kesebelasan JDT. Foto: Kuching City FC

WALAUPUN terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Rabu, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan oleh kesebelasan pemain skuad kendaliannya itu.

Malah menurutnya, kesemua pemain telah mempamerkan disiplin dan komitmen, khususnya pada separuh masa pertama, hingga berjaya membuka jaringan dan mendahului perlawanan.

“Kami bermain baik pada separuh masa pertama dan berjaya menjaringkan gol. Dua gol JDT pula hadir menerusi satu rembatan berkualiti dan satu kesilapan pertahanan.

“Apa pun, dari sudut keseluruhan permainan, saya rasa ini satu persembahan yang boleh dibanggakan.

“Malah, ia merupakan proses pembelajaran berterusan dan menjadi keutamaan setiap kali turun beraksi selepas ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Tegas Aidil, kekalahan tipis itu tidak menjejaskan keyakinan pasukan, sebaliknya menjadi satu lagi pengalaman berharga dalam usaha Kuching City FC untuk terus konsisten dan berdaya saing sepanjang musim.

Menyentuh kedudukan semasa The Cats di tangga keempat liga, Aidil melihat perkembangan itu secara positif.

Katanya, kedudukan itu wajar mengambil kira perjalanan pasukan sejak awal musim.

“Ketika itu, kami berada di tangga ke-13, kemudian naik ke tempat keempat, seterusnya kedua, dan kini kembali ke keempat.

“Tekanan sebenarnya kini berada di pasukan lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur City FC.

“Lagipun, kami masih ada satu perlawanan dalam tangan dan jika menang, kami berada di atas mereka dari segi perbezaan gol,” katanya.

Sementara itu, Aidil turut mendedahkan dua pemain import baharu, masing-masing dari Afrika dan Timur Tengah, bakal menyertai The Cats.

Katanya, kehadiran mereka diharap dapat membantu memperkukuh lagi skuad kendaliannya itu.

“Kehadiran mereka juga akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain skuad serta mewujudkan persaingan sihat dalaman.

“Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan membawa masuk seorang lagi pemain tempatan, bergantung kepada kedudukan kewangan kelab,” katanya.
 

Amanat di bilik persalinan pacu kemenangan JDT​

3402284.webp

Pemain gantian, Stuart Wilkins (kiri) mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan Kuching City FC. Foto: Johor Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mendedahkan bahawa amanat yang diberikannya kepada kesebelasan pemain di bilik persalinan telah berjaya membantu kemenangan skuad kendaliannya itu ketika berdepan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.

Menurutnya, biarpun skuad Harimau Selatan itu ketinggalan 0-1, mesej utama yang disampaikan kepada pemain di bilik persalinan adalah untuk kekal lebih kuat dari segi mental, tidak hilang fokus, selain mengekalkan tenaga, karakter dan kuasa permainan yang sama sebagaimana yang dirancang lebih awal.

“Ketika di bilik persalinan, saya beritahu mereka untuk terus ‘switch on’, buat keputusan yang lebih baik dan kekal lebih kuat.

“Ini kerana mereka perlu terus bermain dengan tenaga yang sama, karakter yang sama dan kuasa yang sama, walaupun berdepan beberapa detik sukar kelak.

“Barisan pemain juga diingatkan agar tidak mudah kecewa serta mampu mengawal emosi dalam situasi tertentu sepanjang perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, JDT menang 2-1 hasil jaringan Nacho Méndez pada minit ke-58 dan Bergson Da Silva pada minit ke-64.

Pada perlawanan itu, JDT terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan daripada Scott Woods pada minit ke-40, namun Nacho Méndez menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-58 diikuti Bergson Da Silva pada minit ke-64 bagi mengesahkan kemenangan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus gah mendominasi carta Liga Super dengan 45 mata, sementara Kuching City FC mengutip 28 mata hasil lapan kemenangan, empat kali seri dan dua kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan.

Sementara itu, Munoz melahirkan rasa gembira dengan usaha pengurusan JDT yang sentiasa mahu meningkatkan kualiti pasukan.

Katanya, antara langkah yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan skuad Harimau Selatan adalah membawa masuk pemain baharu.

“Itulah kekuatan JDT. Kami ada skuad yang baik dan ramai pemain yang berkualiti.

“Bagi saya, kesemua pemain baharu mempunyai kualiti masing-masing dan mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Malah, pemain yang masuk dari bangku simpanan juga memberikan satu ekstra (nilai tambah) kepada pasukan,” jelasnya.
 
Back
Top
Log in Register