BTC USD 83,055.9 Gold USD 4,148.67
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Japanese Red Army (JRA)

seether

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,415
Joined
Jul 30, 2010
Messages
28,415
Reaction score
6
Points
311
Latar Belakang JRA

JRA dikenali juga sebagai Anti-Imperialist International Brigade (AIIB), Briged Perang Suci dan Barisan Demokratik Anti Peperangan. Pegasas JRA ialah Fusako Shigenobu, seorang wanita Jepun. Amerika terlibat dalam Perang Vietnam 1957-April 1975.

Sekitar 1970-an banyak serangan dan pembunuhan dilancarkan di seluruh dunia. Serangan pembunuhan dilakukan di Lapangan Terbang Lod di Israel pada 1972. Kumpulan Black September telah menyerang dan membunuh 11 atlet Israel di perkampungan Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.

Tujuan perjuangan JRA ialah menghapuskan kerajaan Jepun dan sistem monarki di Jepun dengan melancarkan revolusi di seluruh dunia sejak September 1969 . JRA dalam bahasa Jepun ialah 'Sekigun-ha'. pemimpin intelektual JRA iaitu Takaya Shiomi telah dipenjarakan pada 1970. Ahlinya seramai 200 orang, bergabung dengan Rengo Sekigun atau United Red Army pada Julai 1971. 12 daripada ahlinya mendapat latihan senjata di puncak gunung Jepun.

Pada 1971, JRA berkerjasama rapat dengan perjuangan Palestin iaitu Barisan pembebasan Popular Palestin (PFLF).


Serangan Di Bangunan AIA Di Jalan Ampang

ru_02_2.jpg


Krisis tebusan Bangunan AIA berlaku pada hari Isnin, 4 Ogos 1975 apabila pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) merampas bangunan American International Assurance (AIA) di Jalan Raja Chulan / Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Malaysia. JRA adalah serpihan daripada Liga Tentera Merah Komunis Jepun. Malaysia tidak pertama kali berhadapan dengan tebusan seumpama itu. Rampasan ini tiga tahun selepas peristiwa Black September di Munich, Jerman pada 5 September 1972.

Bangunan AIA (American Inssurance Associates) menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat dan Sweden. 10 orang Tentera Merah Jepun telah merempuh masuk dan menawan 53 orang di dalamnya selama 3 hari. Semua tebusan dikumpulkan di tingkat 9, bangunan AIA, Jalan Ampang. Tebusan ditahan selama 79 jam. Jika tuntutan tidak dipenuhi, semua 53 tebusan akan dibunuh. Akhirnya kerajaan Jepun berkompromi dan menghantar banduan dari penjara Jepun ke Malaysia dengan Syarikat Penerbangan Jepun (JAL). Kapal terbang yang sama membawa pengganas JRA ke Libya.

Hasil rundingan, JRA berjaya membebaskan lima orang pemimpin mereka yang dipenjarakan di Jepun dan Sweden . Seterusnya mereka diterbangkan dengan DC8 pada 7 Ogos 1975 ke Libya.

peristiwapenculikanolehy.jpg

Nippon Seki-gun (JRA)

Mereka menuntut diterbangkan ke negara Libya. Reputasi umum ketika itu, Presiden Libya, Muammar al-Gaddafi menyokong perjuangan kemerdekaan di serata dunia, termasuk perjuangan PLO menuntut pembebasan bumi Palestin dari cengkaman Israel, gerakan Moro di Mindanao dan IRA di Ireland.

Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Abdul Razak dan Ketua Polis Negara ialah Tan Sri Mohammed Hanif Omar. Menteri Dalam Negeri ialah Tun Ghazali Shafie. Ketika itu, Tun Ghazali berada di Indonesia tetapi berjaya berunding dengan tawanan. Beliau telah berkomunikasi dengan JRA. Beliau berada di dalam bangunan selama 3 hari. Hasilnya pegawai kedutaan Amerika berjaya dibebaskan.

Tokoh yang ditukar ganti dalam tebusan itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Dato’ Ramli Omar dan KSU kementerian Tan Sri Osman Samsuddin Cassim. Dua orang ini menjadi pengiring JRA ke Lapangan Terbang Subang. Kapal terbang DC8 sudah sedia menunggu , yang mereka rampas dari Korea Selatan.

Kapal terbang singgah di Lapangan Terbang Colombo, Sri Lanka. kemudian singgah di Lapangan Tripoli, Libya. Mereka sampai di Tripoli pada petang 8 Ogos 1975. Osman Samsuddin Cassim dan Ramli Omar kembali ke Malaysia pada 10 Ogos 1975.[3] Dari awal hingga akhir, tidak ada pertumpahan darah berlaku.

Antara tebusan itu ialah :

1.Fredrik Bergenstrahle - Pegawai kedutaan Sweden
2.Ulla Odqvist - setiausaha Kedutaan Sweden

Kesan

Krisis ini dikira kemenangan kepada perjuangan organisasi JRA. Semakin banyak rampasan kapal terbang berlaku selepas itu . Tahun 1970-an adalah kemuncak perjuangan JRA.

Amerika Syarikat kemudiannya memindahkan kedutaannya di lokasi baru di persimpangan Jalan Ampang berikutan insiden ini. Kerajaan Malaysia pula menubuhkan Unit Tindakan Khas (UTK) yang ditugaskan bagi menangani insiden serangan dan penahanan tebusan seperti ini.

Raja Sweden Carl XVI Gustaf menganugerahkan Royal Order of the Polar Star kepada Tan Sri Osman Samsuddin Cassim pada 16 September 2009 , kira-kira 34 tahun kemudian. Anugerah itu telah diadakan sehak 1748. Anugerah itu disampaikan oleh duta Sweden ke Malaysia, H.E. Helena Sångeland.

Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 beberapa bulan selepas peristiwa itu.


Aktiviti JRA di Seluruh Dunia

Semasa 1970-an dan 1980-an, JRA melaksanakan serangan-serangan bersiri di seluruh dunia, termasuk:


31 Mac 1970:
Sembilan ahli-ahli terdahulu JRA, Komunis Jepun League-Red Army Faction, paling terkenal merampas, Japan Airlines Flight 351, Boeing 727 membawa 129 orang di Tokyo International Airport. Kesemua penumpang telah dibebaskan. Ia kemudiannya terbang ke Kore Utara. Tanaka adalah satu-satunya yang disabitkan kesalahan. Tiga daripada rakan jenayah Tanaka meninggal dunia di Korea Utara dan lima kekal di sana. Menurut Jepun National Police Agency, seorang lagi rakan mungkin juga telah meninggal dunia di Korea Utara.

30 Mei 1972:
Pembunuhan Beramai-ramai di Lapangan Terbang Lod Israel Airport dalam Tel Aviv, kini Ben Gurion International Airport: satu serangan menggunakan senapang 'Sa vz.58' dan serangan bom .Membunuh 24 orang; kira-kira 80 orang lain telah cedera. Seorang daripada tiga penyerang kemudiannya membunuh diri mereka dengan sebutir bom tangan, ada yang percaya ini adalah satu kemalangan. Seorang lagi telah ditembak ketika berbalas tembakan.

Julai 1973:
Tentera Merah Jepun memimpin satu rampasan Japan Airlines (JAL) yang terbang ke Belanda. Penumpang dan anak kapal telah dikeluarkan di Libya, di mana perampas-perampas kemudiannya memusnahkan kapal terbang itu.

Januari 1974:
Tentera Merah Jepun menyerang satu kemudahan Shell di Singapura dan menawan 5 tebusan; serentak itu, PFLP merampas kedutaan Jepun di Kuwait. Orang-orang yang ditahan telah ditukar dengan wang tebusan dan Tentera Merah Jepun menyelamatkan diri ke South Yemen menggunakan kapal terbang Japan Airlines.

13 September 1974:
Telah menyerang Duta Perancis dan Belanda. 10 orang awam telah menjadi tebusan dan seorang polis Hanke Remmerswaal berbangsa Belanda, telah ditembak di belakang, menembusi paru-parunya. Selepas satu tempoh yang panjang, tebusan itu dibebaskan dengan pembebasan seorang anggota Tentera Merah Jepun yang berada di penjara Yatsuk Furuya di samping meminta $300,000. Mereka melarikan diri menggunakan sebuah pesawat.

4 Ogos 1975:
Tentera Merah Jepun telah menahan 50 orang tebusan di bangunan AIA , Kuala Lumpur. Menahan beberapa orang kedutaan di Kuala Lumpur. Tebusan-tebusan itu termasuk konsul AS dan Sweden. Tentera Merah Jepun itu menang dengan pembebasan lima rakan mereka yang dipenjarakan di negara-negara tersebut. Mereka kemudiannya terbang ke Libya.

tunabdrazak.jpg

Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak ketika melawat tempat kejadian.

September 1977:
Tentera Merah Jepun merampas Japan Airlines Flight 472 di India dan terpaksa mendarat di Dhaka, Bangladesh. Kerajaan Jepun membebaskan 6 rakan anggota Tentera Merah Jepun yang dipenjarakan. Jepun juga dikatakan membayar wang tebusan $6M.

Disember 1977:
Kapal terbang Malaysia Airlines System (MAS) dirampas ketika di dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada 4 Disember 1977. Pesawat MH 653 jenis Boeing 737-2H6 ini kemudiannya diarah untuk mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura namun jatuh terhempas di Tanjung Kupang, Johor.

Peristiwa yang mencatat sejarah hitam buat Malaysia ini mengakibatkan kesemua 93 penumpang serta 7 anak kapal terbunuh. Antara individu penting di dalam penerbangan tersebut termasuklah Menteri Pertanian Malaysia, Dato' Ali Haji Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan awam, dato' Mahfuz Khalid dan Duta Besar Cuba di Jepun, Mario Garcia.

Selain Rakyat Malaysia, penerbangan tersebut juga membawa warganegara Afghanistan, Australia, Cuba, Kanada, Jermat Barat, India, Indonesia, Jepun, Singapura, British, Amerika Syarikat dan Thailand.

Pesawat berkenaan dipercayai terhempas setelah perampas JRA menembak juruterbang serta pembantunya. Perampas berkenaan juga dikatakan menembak dirinya sebelum pesawat terhempas. Kesemua mangsa kemudiannya di kebumikan dalam satu liang besar di Tanjung Kupang, Johor dalam satu majlis yang mencatat sejarah duka di Malaysia.

boeing+737.jpg


Mei 1986:
Tentera Merah Jepun menembak menggunakan mortar di kedutaan-kedutaan Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat di Jakarta, Indonesia.

Jun 1987:
Satu serangan serupa telah dilancarkan terhadap orang British dan kedutaan-kedutaan Amerika Syarikat di Rom, Itali.

April 1988:
Tentera Merah Jepun mengebom tentera AS di Naples, Itali, 5 kematian.

Dalam bulan yang sama, pengendali JRA Yū Kikumura telah ditangkap dengan bahan letupan di lebuh raya Turnpike, New Jersey, bersama pengeboman USO. Dia telah disabitkan kesalahan ini dan menghabiskan masa di penjara Amerika Syarikat sehingga pembebasannya pada bulan April 2007. Di atas kepulangannya ke Jepun, dia lantas ditahan kerana disyaki menggunakan dokumen-dokumen perjalanan palsu.

JRA melancarkan satu siri 17 pengeboman pada bangunan-bangunan kepunyaan perbadanan besar, termasuk Mitsui.
 
Last edited:
pergh aku x penah tau pon kisah ni. thanks ye

sama2..aku pon mmg mula2 tataw pasal bende ni..
banyak yg untold story dkt sini..kalau x silap
kes ni penah di dokumentari kan..
 
Nostalgia Jalaluddin Hassan

Tarikh keramat 4 Ogos 1975 kekal segar dalam kamus hidupnya. Setiap kali melintasi restoran makanan segera A&W, secara automatik momen pahit itu menerjah. Biarpun sudah lebih tiga dekad berlalu tetapi peristiwa tersebut masih tetap bersarang dalam dirinya. Segala-galanya bagaikan baru semalam berlaku.

"Pada tengah hari itu saya ditugaskan menghantar pesanan makanan di pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang terletak di aras sembilan bangunan AIA. Suasana sekitar tenang seperti biasa. Namun sebaik saja pintu lif di aras sembilan terbuka saya mendengar satu letupan kuat yang menyakitkan telinga.

"Saya sangkakan di aras berkenaan sedang sibuk dengan kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian. Tapi, lain pula yang berlaku. Belum sempat keluar dari lif tiba-tiba seorang sekuriti dengan pantas menghalang dan bergegas meminta saya segera turun ke A&W," imbas pelakon tersohor Datuk Jalaluddin Hassan, 56, mengenai insiden yang berlaku di bangunan AIA, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur hampir 35 tahun lalu.

Setibanya di A&W yang terletak di aras bawah bangunan AIA, dengan pantas pengurus menarik tangannya masuk ke dalam dan serta-merta mengunci pintu restoran. Kumpulan krew yang lain hanya menggelengkan kepala apabila Jalaluddin bertanyakan apakah yang sedang berlaku.

Keadaan semakin cemas tatkala bangunan AIA dikelilingi dengan puluhan anggota polis. Tidak berpuas hati selagi tidak mendapat jawapan sebenar, tanpa jemu Jalaluddin meminta pengurusnya merungkai situasi sebenar.

Alangkah terkejutnya sebaik sahaja mendapat perkhabaran letupan yang didengarnya tadi rupa-rupanya tembakan yang dilepaskan oleh pengganas Tentera Merah Jepun (JRA).

Difahamkan tentera JRA telah merempuh masuk dan menawan beberapa individu di pejabat Kedutaan AS dan Sweden di aras tersebut. Jika tuntutan mereka tidak dipenuhi tebusan akan dibunuh.

Lebih cemas apabila A&W menerima panggilan telefon daripada seorang tebusan yang memesan set makanan untuk tentera JRA. Kacau-bilau fikiran Jalaluddin kerana bimbang keselamatan diri dan krew lain jika pergi menghantar makanan kepada tentera JRA.

"Kami tidak mengambil keputusan terburu-buru dan berbincang dengan pihak polis. Krew A&W dihalang menghantar tempahan makanan sebaliknya anggota polis yang menyamar sebagai krew A&W dan menghantar makanan.

"Selepas beberapa jam terperangkap akhirnya pihak polis membenarkan kami pulang ke rumah. Insiden itu cukup membimbangkan dan menyebabkan bonda menangis teresak-esak memikirkan keselamatan saya," tutur Jalaluddin mengenai krisis tebusan bangunan AIA yang dapat diselesaikan secara aman tanpa melibatkan pertumpahan darah.

Ini semua berkat kebijaksanaan Allahyarham Tun Ghazali Shafie yang pada waktu itu memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri. Kemahirannya bertutur dalam bahasa Jepun, membuatkan rundingan selama tiga hari tiga malam itu berjalan lancar dan berjaya membebaskan tawanan.

Biarpun diuji dengan insiden yang mendebarkan, namun ia sedikitpun tidak melemahkan semangat bekerja Jalaluddin. Tanggungjawabnya sebagai krew menghantar pesanan makanan masih dilunaskan dengan baik.

Berjalan dalam keadaan hujan dan panas tidak dipedulikan asalkan pelanggan menerima pesanan makanan seperti yang diingini. Pada zamannya proses penghantaran tempahan hanya dengan berjalan kaki.

"Saya sekadar suka-suka bekerja di A&W. Sebelum itu sudah mencuba pelbagai pekerjaan tetapi masih tidak berpuas hati kerana impian sebenar ingin menjadi pelakon. Kelakarnya, selepas melihat kawan-kawan bekerja sebagai pelayan, saya pun nak jadi pelayan. Lantas A&W menjadi pilihan.

"Pada era tersebut A&W merupakan restoran makanan segera yang cukup popular. Anak-anak muda kerap dilihat berpacaran di sini. Yalah makan di A&W nampak lebih bergaya berbanding di gerai (ketawa)," ujar Jalaluddin yang memberitahu A&W bukan sekadar lubuk rezeki malah mendidik pekerja tempatan semangat perpaduan.

Tambah bapa kepada lapan cahaya mata itu: "Sejak dulu lagi krew di A&W yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Australia sudahpun mempraktikkan amalan bersatu padu dan bekerjasama.

"Kami saling bantu-membantu. Malah, kawan baik saya ketika itu ialah Peter (anak orang kaya berbangsa Cina) dan Bahrain (Melayu). Walaupun Peter mengalami kecacatan fizikal tetapi saya dan Bahrain sentiasa menjaganya dengan baik."
 
Kisah Razlin Dan Dokumentari Penawanan Bangunan AIA 1975 Oleh Syahril A.Kadir

Drama rampasan bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur oleh anggota Tentera Merah Jepun (JRA) pada tahun 1975 benar-benar menggemparkan negara.

Namun 35 tahun berlalu, tidak ramai yang masih ingat dengan peristiwa tragis tersebut, apatah lagi di kalangan anak muda dewasa ini.

Razlin K. P Hanifah ketika itu masih belum lahir sewaktu peristiwa tersebut berlaku.

Namun anak muda lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) ini percaya, sesuatu harus 'dilakukan' bagi memastikan peristiwa berkenaan tidak luput ditelan zaman.

razlin.bmp

Razlin K. P Hanifah (kanan sekali) bersama kru dan anggota Tentera Merah Jepun (JRA) sewaktu di Tokyo, Jepun.

Ini penting kerana banyak pengajaran dan iktibar boleh diangkat kesan daripada kejadian itu.

Saya mengenali Razlin sewaktu kami bersama-sama bertugas di FM Production Sdn.Bhd, sebuah syarikat produksi yang banyak menghasilkan dokumentari tempatan untuk disiarkan di Astro.

Kami kemudiannya membawa haluan masing-masing setelah menghabiskan kontrak tugasan di syarikat produksi berkenaan. Hanya Razlin yang memilih untuk terus bersama Astro dan kini merupakan penerbit di saluran Astro Arena.

Namun saya begitu berbangga kerana rupa-rupanya beliau berjaya menyiapkan dokumentari tersebut dengan jayanya, lebih dari itu, beliau juga telah berjaya menemubual anggota JRA sendiri di Tokyo, Jepun.

Menurut Razlin, kerja-kerja awal pembikinan dokumentari itu bermula dengan kerja-kerja penyelidikan yang turut dilakukan dua orang rakan setugasnya, Sheith Faikis dan Nik Naemah dalam bulan Oktober 2007 dengan sasaran untuk ditayangkan di awal tahun 2008.

Permulaan mereka agak sukar. Sumber rujukan mereka pada masa tersebut hanyalah surat khabar, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara.

Daripada surat khabar tersebut mereka menghubungi wartawan-wartawan yang tertera nama mereka pada by-line akhbar. Di situ juga terdapat nama beberapa tebusan-tebusan terbabit.

Bekas wartawan yang mereka temui menyarankan mereka bertemu dengan tiga individu penting drama tebusan tersebut iaitu Allahyarham Tan Sri Ghazalie Shafie (yang masih hidup semasa dokumentari ini diterbitkan), Tun Hanif Omar (bekas Ketua Polis Negara) dan Datuk Zaman Khan (bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pada masa yang sama kajian masih juga berjalan untuk mencari tebusan-tebusan yang terbabit.

Mereka telah ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini untuk bertemu dengan seorang kakitangan rakyat tempatan mereka yang telah menjadi tebusan kejadian itu.

Beliau telah memberi maklumat tentang kejadian tersebut tetapi tidak mahu ditemuramah untuk dokumentari ini. Menurutnya beberapa kakitangan tempatan kedutaan AS yang menjadi tebusan telah bersara dan pulang ke negara itu.

Seterusnya mereka telah menemui isteri bekas pegawai tinggi polis yang turut menjadi tebusan. Beliau sedikit sebanyak turut membantu dalam penyelidikan ini namun tidak mahu ditemuramah untuk dokumentari ini.

Mereka kemudiannya telah menemui bekas pemandu Kedutaan Sweden yang turut diserbu pengganas JRA. Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (percanggahan fakta), temuramah beliau tidak dapat disiarkan.

Justeru itu, orang pertama yang mereka temuramah untuk dokumentari ini ialah seorang pakar pemusnah bom, Datuk Panglima Jamil, individu yang bertanggung jawab memusnahkan bom yang dibawa oleh perampas.

Individu seterusnya yang ditemuramah ialah Kapten Hassan, bekas juruterbang Penerbangan Malaysia.

Beliau telah diminta untuk standby oleh King Ghaz. Beliau terlibat setelah pesawat JAL yang membawa tujuh anggota JRA dari Jepun (sebagai pertukaran dengan tebusan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Pada masa rundingan dijalankan, pihak kerajaan Jepun cuba melengahkan pertukaran tebusan dengan memberi alasan juruterbang JAL memerlukan rehat sebelum terbang ke Libya dan pelbagai alasan lain.

Ghazalie Shafie mengugut untuk merampas pesawat JAL (Kapten Hassan on standby) dan mempercepatkan proses pertukaran tebusan dan penerbangan ke Libya.

Temuramah bersama Zaman telah memberi gambaran yang lebih tepat tentang taktikal pihak polis dan bagaimana mereka bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Razlin juga telah dapat menemuramah Sukhdev Singh, seorang pengawal keselamatan di bangunan tersebut. Semasa kejadian beliau telah ditembak di muka oleh perampas semasa pergi menyiasat bunyi tembakan di tingkat sembilan (tempat kejadian).

Daripada temuramah-temuramah yang telah dijalankan, cerita ini tidak cukup kuat untuk diangkat untuk menjadi sebuah dokumentari. Apa yang mereka ada hanyalah fakta kejadian namun tidak seorang pun bekas tebusan yang mahu tampil untuk diwawancara.

Pada masa yang sama, pencarian diteruskan untuk mencari bekas tebusan di luar negara. Razlin kemudiannya mendapat lampu hijau daripada penerbit eksekutif, jika keadaan memerlukan, beliau dibenarkan untuk ke luar negara bagi menemuramah bekas tebusan yang berada di luar negara.

Razlin kemudiannya menghubungi Kedutaan Sweden untuk mendapatkan maklumat mengenai dua kakitangannya, Bergenstrahle dan Odqvist yang menjadi tebusan. Beliau pada mulanya kecewa apabila diberitahu bahwa Bergenstrahle telah meninggal dunia dan Odqvist tidak dapat mereka jejaki.

Tidak berputus asa, Razlin kemudiannya mencari maklumat mengenai Ulla Odqvist di Internet.

Hasil carian agak sukar kerana nama tersebut adalah nama panggilan di Sweden.

Hasil carian di Internet juga, Razlin dan teman-temannya melakukan proses elimination di mana individu yang bernama 'Ulla Odqvist' yang berumur bawah 50 tahun dan tidak pernah bekerja di Malaysia atau Asia Tenggara, dikeluarkan daripada senarai pendek mereka.

Hasilnya, hanya tinggal beberapa orang sahaja 'Ulla Odqvist' yang perlu mereka hubungi untuk mendapatkan kepastian.

Alhamdulillah, 'Ulla Odqvist' yang pertama mereka hubungi ialah 'Ulla Odqvist' yang sebenar yang pernah menjadi tebusan di bangunan AIA. Beliau agak terkejut menerima panggilan telefon kami dan menyangka tidak ada sesiapa yang akan mengingati kejadian tersebut.

Setelah mendapat kepastian dan beliau juga bersetuju diwawancara untuk dokumentari ini. Setelah dibuat perhitungan, adalah lebih baik dari segi kos dan nilai estetika dokumentari ini, untuk dibawa Ulla Odqvist ke Malaysia.

Mereka hanya membayar tiket kapal terbang, tempat tinggal, makan minum dan 'elaun' untuk beliau dan seorang anaknya. Dari segi kos, ia adalah penjimatan kerana kos untuk membawa crew penerbitan ke negara itu adalah lebih mahal.

Apabila berada disini, Ulla Odqvist dibawa kembali ke tempat kejadian. Beliau juga telah membawa beberapa keping gambar bilik kedutaan Sweden yang telah digeledah semasa drama tebusan tersebut. Beliau berada di sini selama seminggu. Kedatangan beliau kali ini ialah kali pertama sejak kejadian tersebut berlaku.

Pada masa yang sama berusaha untuk menjejaki Tan Sri Osman Cassim dan Dato Ramli Omar yang terbabit dalam pertukaran tebusan dan terbang bersama pegawai tinggi Jepun dan anggota JRA ke Tripoli, Libya sebagai cagaran.

Razlin dan teman-temannya berjaya menjejaki Osman melalui Internet, namun malangnya mereka diberitahu Ramli telah meninggal dunia. Setelah berjaya menghubungi Osman, temujanji telah dibuat untuk menemuramah beliau bersama Ulla Odqvist.

Temuramah mereka telah berjaya mempertemukan dua individu yang terlibat secara langsung dengan drama tebusan tersebut.

Melalui mereka berdua, Razlin telah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di dalam bangunan AIA - daripada Ulla Odqvist - semasa drama tebusan tersebut dan juga gambaran di dalam kapal terbang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tripoli (daripada Osman).

Ini bermakna cerita mengenai drama rampasan tersebut telah lengkap. Atas sifat ingin tahu, Razlin ingin mengetahui apa yang berlaku sebelum dan selepas rampasan tersebut, dan kenapa Malaysia dipilih sebagai sasaran dan bukannya negara lain. Jawapan kepada persoalan tersebut hanya ada pada anggota JRA.
 
Kisah Razlin Dan Dokumentari Penawanan Bangunan AIA 1975 Oleh Syahril A.Kadir (samb)

JRA diketuai oleh Fuzako Shigenobu - seorang wanita - dan berpangkalan di Lubnan. Dia mempunyai seorang anak perempuan, May Shigenobu yang dilahirkan dan dibesarkan di Lubnan. Suatu hari Fusako Shigenobu telah ditangkap di Osaka (tidak diketahui bagaimana beliau menyusup kembali ke Jepun dari Lubnan) dan dipenjarakan atas beberapa pertuduhan.

Apabila ibunya ditangkap, May Shigenobu mengambil keputusan untuk ke Jepun buat pertama kali. Di Jepun, beliau menyambung pengajiannya dan mengajar di Universiti di Jepun. Razlin berusaha untuk mencari beliau melalui Internet. Akhirnya dia berjaya mendapat alamat e-mel beliau di laman sosial, Facebook. Dengan bantuan rakan sekerja, mereka berhubung dengan beliau melalui Facebook.

May Shigenobu telah menghubungkan Razlin dengan seorang anggota dan jurucakap JRA, Masao Adachi. Beliau bersetuju untuk ditemuramah dan menceritakan tentang kejadian tersebut.

Razlin kemudiannya mengambil keputusan untuk ke Jepun kerana mereka akan menemui beberapa anggota JRA yang lain. Tetapi sebab yang paling utama ialah subjek utama Razlin, Masao Adachi tidak dibenarkan ke luar negara atas sebab-sebab subversif.

Lalu pada penghujung bulan Mei 2008, Razlin dan jurukamera, Jimang terbang ke Jepun.

Masao telah menceritakan sebab Malaysia dipilih dan apa yang berlaku sebelum rampasan, bagaimana senjata api dibawa masuk dan apa yang berlaku kepada perampas selepas tiba di Tripoli.

Ada satu perkara yang membuatkan Razlin tertanya-tanya. Masao Adachi adalah seorang yang kecil fizikalnya walaupun selepas dibandingkan dengan purata saiz orang Jepun yang lain.

Cara beliau gambarkan kejadian tersebut adalah sangat tepat seolah-olah beliau merupakan salah seorang perampas tersebut. Sehingga ke saat ini tidak dapat dibuktikan siapa perampas tersebut kerana mereka sentiasa memakai topeng.

Daripada bahagian filem yang diambil oleh RTM, salah seorang perampas tersebut lebih kecil daripada average Japanese yg lain, hampir menyerupai fizikal Masao Adachi!

Di akhir perbualan mereka, Razlin bertanya satu soalan “Are you one of the hostage taker?” (Adakah anda salah seorang perampas?).

Razlin memberitahu alasan tersebut kepadanya. Beliau tersenyum dan mengambil masa untuk menjawab “No”. Mungkin “ya”, mungkin “tidak” hanya Tuhan saja yang tahu dan Razlin percaya beliau salah seorang daripadanya.

Sebelum berlepas ke Jepun, Razlin telah dibenarkan untuk melihat fail polis mengenai kejadian tersebut. Daripada senarai nama tebusan, kebanyakan daripada mereka ialah kakitangan kedutaan, kakitangan insurans AIA, pelancong asing dan orang tempatan yang berurusan dengan kedutaan AS.

Ada dua nama yang menarik perhatian Razlin. Mansor Jusoh adalah pelajar di Universiti Malaya dan seorang lagi individu, seorang penjual ayam di Pasar Chow Kit. Menagapa mereka berada di sana?

Razlin tidak mengetahui kenapa penjual ayam itu berada di sana. Sebelum berlepas ke Jepun, Razlin mengarahkan rakannya untuk mencari di semua universiti (melalui laman web mereka) jika ada pensyarah yang bernama Mansor Jusoh.

Razlin percaya beliau ke sana untuk mengambil visa bagi melanjutkan pelajaran ke AS. Benar telahan tersebut dan setelah disiasat, mereka berjaya menemui Mansor yang mengajar di UKM.

Sekembali ke Malaysia, mereka telah menemuramah Dr. Mansor. Sedikit terkilan kerana mereka tidak menemuinya semasa Ulla Odqvist masih berada di Malaysia.

Individu terakhir yang ditemuramah Razlin ialah bekas Ketua Polis Negara. Hanif memberi maklumat daripada aspek rundingan dan bagaimana ia berlaku.

Ghazalie, orang yang paling penting dalam krisis tebusan ini tidak dapat ditemuramah kerana diberitakan beliau sangat uzur pada ketika itu.

Setelah lengkap, tiba masanya untuk membuat skrip. Skrip mengambil masa untuk dihasilkan. Banyak temuramah yang terpaksa digugurkan daripada dokumentari ini kerana tidak cukup masa untuk menampung semuanya.

Sebelum masuk ke bilik suntingan, Razlin telah mendapatkan rakaman filem (teknologi video belum ada di Malaysia ketika itu) hari kejadian. Footage sepanjang 40 minit sedikit sebanyak membantu untuk memberi kesan realisme didalam dokumentari tersebut.

Keseluruhannya proses suntingan mengambil masa lebih kurang sebulan. Keseluruhannya dokmentari ini mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk disiapkan. Walaupun mengambil masa yang lama, ianya berbaloi apabila difikirkan isi kandungan yang berjaya mereka hasilkan.

Sesungguhnya saya cukup berbangga dengan usaha bersungguh-sungguh Razlin dan krunya yang begitu cekal dan teliti menghasilkan dokumentari ini.

Mungkinkah suatu hari nanti National Geographic atau Discovery akan mengangkat dokumentari ini di dalam saluran mereka?

Berdasarkan kesungguhan Razlin dan teman-temannya itu, ia bukanlah mustahil untuk berlaku.
 
Back
Top
Log in Register