ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
MENTAKAB - Tanaman jagung antara jenis tanaman kontan yang boleh diusahakan golongan petani kerana mampu memberikan pulangan hasil segera dalam tempoh dua bulan asalkan pengusahanya mengikut jadual pembajaan dan pengairan yang betul.
Seorang pengusaha tanaman jagung Yusof Ahmad Salah berkata, tanaman jagung amat mudah diuruskan dan dalam waktu yang sama petani boleh menanam sayuran lain seperti bendi dan petola sebelum menuai hasil jagung.
"Bagi kawasan seluas 0.3 hektar, kita mampu dapat RM4,000 asalkan ada ilmu tanaman jagung ni dan bersungguh-sungguh.
"Saya tau ramai yang takut tak ada pasaran untuk jagung. Jangan bimbang sebab jika kita dah terlibat, mesti ada pemborong yang akan beli hasil kita," katanya.
Yusof ditemui pada program Jom Makan Jagung Siri ke-4 2015 bertempat di Tapak Projek Tanaman Kontan Fasa II Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chatin di sini.
Menurutnya lagi, tanaman jagung memerlukan pendedahan terus kepada cahaya matahari yang banyak dan pada masa sama juga memerlukan sistem pengairan yang baik.
Katanya, antara kegagalan projek tanaman jagung adalah kekurangan sumber kewangan untuk melengkapkan sistem pengairan yang sempurna selain kekurangan ilmu terutama sekali dalam menghalang serangan makhluk perosak.
"Saya yakin petani yang nak mulakan projek pertanian boleh mulakan dengan tanaman jagung kerana hasilnya boleh dituai dalam tempoh dua bulan saja," katanya.
Sementara itu, Program Jom Makan Jagung Siri ke-4 2015 berkenaan telah disempurnakan Ketua Penolong Pegawai Daerah Azlan Mat Yaman dan bekas Adun Mentakab Datuk Chuah Boon Seong.
Dalam ucapannya Azlan berkata, projek tanaman kontan khususnya jagung di Kampung Chatin itu diusahakan sejak 2010 dan pada awal projek ia mendapat sokongan bantuan daripada bekas Adun Mentakab Datuk CHuah Boon Seong.
Beliau berkata, selepas berjaya mengeluarkan hasil pada pusingan pertama projek itu terus berkembang dengan sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak kecuali khidmat nasihat daripada Pejabat Pertanian Temerloh.
Last edited: