[ BMU - Sancho ]
Bekas pengurus Manchester United, Ralf Rangnick mendakwa bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan tahap profesionalisme Jadon Sancho sepanjang berada kelab.
Sancho bermain 21 perlawanan di bawah kendalian Rangnick, menjaringkan tiga gol dan merekodkan tiga bantuan gol. Pemain sayap kelahiran England itu baru-baru ini melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Borussia Dortmund. Dia disisihkan daripada skuad United dalam tempoh yang agak lama selepas perselisihan faham dengan Erik Ten Hag pada September tahun lalu. Sancho enggan meminta maaf kepada Ten Hag dan dia telah diketepikan daripada sebarang penglibatan dengan skuad United.
Bercakap kepada Sky Jerman, Rangnick memberitahu bahawa dia memang menjangkakan pemain itu akan pulang semula ke Dortmund, kelab di mana dia mula menyinar dalam kariernya. Kata Rangnick tentang Sancho:
"Dia mempunyai detik cemerlang di Dortmund dan ketika dia cergas tanpa sebarang kecederaan, dia bermain dengan sangat baik di bawah kendalian saya. Bagaimanapun, dia tidak ceria seperti di Dortmund. Tetapi itu juga bersangkut paut dengan semua perubahan situasi di kelab."
Rangnick berkata tentang menguruskan Sancho:
"Apabila dia cergas, dia sentiasa bersedia dan bermain dengan baik di bawah saya. Dia hilang peluang untuk beraksi di Manchester dan kini perlu mencari rentak semula untuk mendapatkan sentuhan berbisa yang sebenar di Dortmund. Dari sudut pemikiran Sancho, perubahan itu merupakan langkah yang terbaik untuk dirinya."
Rangnick juga menambah bahawa dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Sancho di United malah memuji pemain itu dengan berkata:
"Enam bulan saya di sana, tiada satu pun masalah disiplin. Sebaliknya, dia seorang yang tenang dan mesra."
Nama Sancho mula dikenali ramai semasa dia berada di Borussia Dortmund bilamana menjaringkan 50 gol dan memberikan 64 bantuan gol sepanjang 137 penampilan. Prestasi yang mengagumkan itu telah menarik minat United untuk menandatanganinya dengan nilai perpindahan sebanyak €85 juta pada Julai 2021.
#BMU15 #BMU #GGMU #ManUtd #MUFC #ManchesterUnited