KIV ipo IMDB
IPO 1MDB bakal raih RM10b
1Malaysia Development Bhd (1MDB), entiti milik penuh kerajaan sudah terpalit dengan pelbagai laporan negatif sejak setahun lalu dan semakin memuncak selepas syarikat itu mengumumkan rancangan membuat tawaran awam permulaan (IPO).
IPO itu dijangka meraih RM10 bilion akan menjadi tawaran awam terbesar di negara ini, malah lebih besar daripada IPO FELDA Global Ventures Bhd (FGV).
Pengarah Pembiayaan Korporat M&A Securities Bill Tan berkata, walaupun ramai bimbang dengan IPO FGV pada peringkat awal, kekukuhan sektor sawit Malaysia mengubah keadaan sehingga menjadikan pelaburan saham lebih menarik kepada pelabur baharu untuk kembali ke pasaran. Beliau berkata, pelabur memberi perhatian bagaimana pelaksanaan IPO 1MDB dilaksanakan, justeru kejayaan penyenaraian itu dijangka melonjakkan indeks komposit ke paras yang belum tercatat sebelum ini.
“Saya tidak terkejut jika FBM KLCI (indeks penanda aras Bursa Malaysia) kembali ke paras tertinggi baru. FBM KLCI merekodkan paras tertinggi baru-baru ini dan minat berterusan ini dijangka membawa indeks itu ke paras lebih 2,000 mata dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, di sini.
1MDB akan menyenaraikan bahagian penjanaan tenaganya pada suku keempat tahun ini memilih Deutsche Bank dan Maybank sebagai penyelaras global. Maybank dan AmBank dipilih sebagai penasihat bersama dan Goldman Sachs adalah penasihat IPO itu.
1MDB memiliki 16 loji tenaga dan penghasilan air tawar di enam negara termasuk Mesir, Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kumpulan 1MDB mempunyai jumlah janaan tenaga terkumpul 5,570MW. 1MDB pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia. Asetnya termasuk Powertek yang mengendalikan tiga loji tenaga di Melaka, Loji Tenaga Kuala Langat di Selangor dan loji janaan gas Jimah Energy di Negeri Sembilan.
“Bagi saya, pasaran melihat Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman yang memang kurang dikenali. Walaupun pelbagai isu membadai syarikat itu, beliau kelihatan tidak terkesan dengan keadaan itu,” kata penganalisis di M&A Securities Edmund Tham.
Katanya, tiada kecacatan dengan model perniagaan 1MDB kerana sebahagian besar hutangnya dicagarkan dengan aset tenaga yang menghasilkan AS$1 juta (RM3.17 juta) kepada pendapatan syarikat setiap hari.