BTC USD 85,851.0 Gold USD 4,315.67
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ibadah Puasa

IMG_20240312_213851_378.jpg


DOA BERBUKA PUASA

Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa):

ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala insyaAllah”.

[Riwayat Abu Daud (2357)]
 
𝗞𝗘𝗕𝗘𝗥𝗞𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗦𝗔𝗛𝗨𝗥

Daripada Abdul Aziz ibn Suhaib berkata: Aku mendengar Anas ibn Malik berkata: Rasulullah SAW bersabda:

تَسَجَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُور بَرَكَةً

"Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan."
(HR Al-Bukhari)

𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗣𝗮𝗹𝗲𝘀𝘁𝗶𝗻 🇵🇸
 

Ramadan: Jari- jemari juga perlu berpuasa​


12 MAR 2024

2571382.jpg

Gambar hiasan 123RF.


KUALA LUMPUR – Hari ini 12 Mac, umat Islam di Malaysia menyambut 1 Ramadan, bulan yang dinanti-nantikan untuk menunaikan ibadah puasa dan pastinya ramai yang berlumba-lumba mengumpul pahala sepanjang sebulan menunaikan Rukun Islam ke-3.

Bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga banyak lagi perkara yang perlu dijaga termasuk pertuturan, tambahan dengan penggunaan berleluasa media sosial yang banyak mengandungi perkara yang boleh dikongsi dan mungkin hanya mendatangkan dosa.

Mengulas perkara ini, Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Mohamad Haeqal Ishak berkata, pada asasnya, apa sahaja perbuatan buruk yang menyakitkan saudara muslim lain sama ada lahiriah atau batiniah, ia satu perbuatan dosa tidak kira bagaimana bentuk sekalipun perbuatan itu dilaksanakan berikutan seseorang muslim itu bersaudara.

"Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW, seseorang muslim ke atas muslim lain perlu dipastikan selamat daripada melakukan kejahatan lidah serta tangannya, ” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, ia termasuk perbuatan buli siber atau menghamburkan kata-kata yang tidak enak melalui media sosial kepada saudara kita yang lain. Lebih-lebih lagi apabila perbuatan itu dilakukan pada bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan,” tambahnya.

Melakukan dosa di bulan mulia, kata beliau, menunjukkan seseorang itu tidak menghormati kehormatan bulan Ramadan di saat umat Islam lain berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan mengejar pahala atau ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan oleh ALLAH SWT.

“Namun begitu terdapat sebilangan yang memilih untuk mengotori keindahan bulan ini dengan perbuatan nista dan binasa.

“Justeru seorang muslim haruslah meninggalkan perkara terbabit demi menjamin kesempurnaan pahala berpuasa mereka di sisi ALLAH. Amat rugilah mereka yang seharian kepenatan dalam lapar dan dahaga pada akhirnya menjadi seorang yang muflis di sisi ALLAH disebabkan dosanya mengumpat, mengeji dan memburuk-burukkan orang lain.

“Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690). Justeru, janganlah menjadi seorang muslim yang sia-sia dan mensia-siakan amalannya,” katanya.

AWASI YANG DIKONGSI DI MEDIA SOSIAL

Menurut Mohamad Haeqal, konsep ihsan adalah suatu konsep yang berupaya memastikan kebertanggungjawaban seseorang umat terhadap apa sahaja perbuatan yang dilakukan.

“Muslim yang ihsan akan sentiasa berasa dirinya diperhatikan oleh Allah yang Maha Melihat sehingga dirinya tidak akan tergamak melakukan sebarang perbuatan mungkar dan keji. Insan beragama Islam yang ihsan juga tahu bahawa dirinya kelak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa sahaja tindak tanduknya di atas muka bumi.

“Mereka sentiasa sedar bahawa di sisinya sentiasa diapit oleh dua malaikat pencatat amalan. Maka penting menjaga tindak tanduk kehidupan seharian kita. Selain itu sifat ihsan juga membuatkan kita merenung kedudukan orang yang kita zalimi sehingga seolah-olah kita dapat merasai betapa sakitnya dizalimi sehingga kita tidak akan sanggup untuk berlaku zalim lagi.

“Ini termasuk kesanggupan kita untuk menaip dan menulis perkataan yang tidak enak yang boleh menyinggung perasaan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, seandainya muslimin dan muslimat mengenali sifat ‘jalal’ (keagungan) ALLAH, sudah tentu akan menyedari bahawa setiap amalan buruk seseorang itu akan dihakimi dan dihukumi oleh Allah kelak.

“Apakah kita sanggup berhadapan dengan azab neraka menggerunkan sedangkan sekadar demam sahaja kita sudah menjadi lemah dan lelah. Berbaloi ke ketikan beberapa perkataan jahat kita itu ditimbal balik dengan ribuan tahun seksaan di neraka? Seandainya kita merenung perkara ini nescaya tidak ada yang sanggup berbuat demikian apatah lagi menyakiti orang lain dari apa-apa segi dan bentuk pun,” katanya.

Justeru, katanya, amalan meningkat gandaan pahala menerusi perkataan dan penulisan di bulan Ramadan amat dituntut dengan membanyakkan berbuat baik.

“Mereka yang mengajak kepada kebaikan melalui perkataan dan penulisan akan memperoleh manfaat pahala seluas sebaran dakwahnya itu.

“Selain melipatgandakan amalan membaca Al-Quran yang menjadi keutamaan di bulan Ramadan, masyarakat juga boleh mengajak sahabat melakukan ibadat bersama-sama. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah juga suatu kebaikan termasuk meninggalkan perbualan yang sia-sia atau penulisan yang melalaikan serta buruk,” katanya.

HAYATI RAMADAN

Setiap ibadah yang difardhukan oleh Allah, menurut Mohamad Haeqal, menyimpan pelbagai hikmah sama ada untuk dihayati penilaiannya secara individu atau kolektif.

Secara individu, katanya, berpuasa adalah suatu bentuk latihan fizikal dan juga mengukuhkan kerohanian dalaman seseorang muslim.

Individu dibiasakankan untuk berhadapan dengan cabaran lapar dan dahaga melalui amalan berpuasa dan ibadah ini juga memberi kerehatan kepada tubuh badan manusia serta peluang untuk perut membersihkan segala isi kotorannya.

“Dari sudut kerohanian, umat Islam bukan hanya dilatih untuk mengawal nafsu daripada segala perkara yang membatalkan puasa bahkan terhadap perkara yang mengurangkan pahala puasa. Sikap berpada (qanaaah), bersyukur dan bersabar dibentuk melalui latihan ‘Muraqabah al-Nafs’ (pengawalan manusia terhadap nafsunya),” tambah Mohamad Haeqal.

Secara kolektifnya, kata beliau, umat Islam seharusnya menyedari bahawa puasa itu adalah suatu penghayatan ke atas konsep kesyukuran dan ihsan kerana berpuasa mengajar seseorang untuk mengerti penderitaan saudara-saudara yang serba kekurangan dan yang diuji dengan ujian rezeki, keselamatan dan kesihatan sepertimana yang dialami oleh rakyat Palestin sekarang.

“Seharusnya masyarakat Islam yang benar-benar menghayati perkara ini akan lebih bersyukur dan bersikap ihsan, tidak membazir dan menjadi lebih keterhadapan dalam membantu mereka yang dalam kesusahan, ” katanya.

LEBIH EMPATI

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, sepatutnya penggunaan bahasa yang baik bukan hanya dituntut dalam bulan Ramadan sahaja namun pada setiap masa manusia dituntut untuk menjaga lidah daripada dicemari bahasa yang cabul.

Dalam budaya Melayu, frasa 'budi bahasa' diungkapkan serentak yang bermakna peribadi orang mulia itu menjaga bahasanya sebagai tanda ketinggian budi,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, media sosial sudah menjadi medan luahan pandangan yang mengghairahkan berikutan tidak ada kawalan atau dalam istilah media tiada pengampang maklumat, dengan itu membuatkan pengguna bebas menonjolkan “kepandaian” dengan berkata tentang apa-apa sahaja demi memenuhi psike atau situasi jiwa mereka.

“Sepatutnya mereka berfikir sebelum menulis kerana kesannya melibatkan perasaan orang lain. Jika ada kecabulan, fitnah serta provokasi yang boleh mengakibatkan perseteruan yang tidak betul jalannya, bukan hanya dosa yang diperoleh bahkan kesan buruk dalam masyarakat,” jelasnya.

Ditanya berhubung sikap sesetengah individu seperti “jiwa kacau” ketika berlaku sesuatu isu yang menarik perhatian umum dan jari begitu laju menghentam sesuatu yang berlaku itu sedangkan diketahui ia perlu dikawal semasa menjalankan ibadah puasa, Mohamad Saleeh berkata, nafsu untuk memberikan pandangan tidak lagi terkawal apabila seseorang itu berpuasa yang dianggap sekadar rutin atau ritual.

“Tanpa penghayatan makna puasa itu sendiri, tentulah sukar bagi seseorang untuk mengawal diri tanpa dikawal oleh kuasa yang tampak nyata. Seorang penulis walau dalam bidang atau genre apa-apa pun, perlu sedar bahawa selagi perbuatan mereka melibatkan kesan buruk pada orang lain maka dosanya berterusan.

“Bagi penulis misalnya, sekiranya mereka meninggalkan karya cabul yang merosakkan fikiran pembaca, selama-lamanya dosanya bercambah. Maka tinggalkanlah karya yang murni kepada pembaca kerana itu bakal menjadi saham akhirat bagi mereka,” katanya.

PUASA LATIHAN JADI BAIK

Menurut Mohamad Saleeh, penghayatan sebenar yang perlu diabadikan umat Islam ketika menunaikan ibadah berpuasa ialah memahami bahawa puasa adalah latihan untuk manusia menjadi baik dan taat kepada Allah.

“Ketika berpuasa, ada perkara halal yang dilarang, dan tanpa soal jawab, itu mesti dipatuhi. Maknanya, makhluk Allah mesti menurut perintah Allah tanpa banyak usul periksa. Jika ada rahsia atau hikmah dari segi kesihatan apa aspek lain, itu hanya bonus.

“Yang lebih utama, puasa mendidik manusia mematuhi perintah Allah walaupun tanpa kawalan manusia. Misalnya, walaupun kita boleh makan di tempat terlindung daripada pandangan awam, kita tidak akan makan demi perintah Allah,” katanya.

Dalam mengawal jari-jemari agar tidak menulis atau menaip perkara tidak baik semasa Ramadan, beliau berkata, masyarakat perlu bersikap empati.

“Andaikan kita dikutuk, dikecam, dan difitnah melalui tulisan orang lain, apa kita rasa ? Tentulah kita sakit hati, marah, dan mahu bertindak balas. Itu jugalah yang dirasakan oleh orang yang kita kecam barangkali mereka juga akan bertindak balas. Fikirlah 10 kali sebelum menulis sesuatu yang cabul kerana kesannya tidak akan berhenti malahan bersinambungan,” katanya. – Bernama
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Daripada Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang lupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa) maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum" (HR Bukhari No: 1797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang terlupa lalu dia makan atau minum di siang hari ketika berpuasa, puasanya tetap sah dan dia perlu memberhentikan pengambilan makanan atau minuman segera.

2. Orang yang terlupa tadi hendaklah meneruskan ibadat puasanya seperti biasa.

3. Bagi orang yang terlupa, makanan dan minuman yang telah masuk ke dalam perutnya adalah hadiah Allah kepadanya.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Mac 2024
02hb Ramadan 1445H
 
IMG_20240313_055217_045.jpg


Rasulullah SAW bersabda: "Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan." (HR Al-Bukhari)

𝗞𝗘𝗠𝗣𝗘𝗡 𝗥𝗜𝗕𝗔𝗧𝗛 𝗥𝗔𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berpuasa atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2. Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3. Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ

Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar". ( HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih

Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan bersungguh-sungguh akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu dan menjadikan kita hamba yang bertaqwa di sisi Allah.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

14hb Mac 2024
03hb Ramadan 1445H
 
Anugerah Ramadan

Tahukah kita apakah antara anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita selaku umat Nabi Muhammad SAW dan ianya tidak dianugerahkan kepada umat lain?

Tidak lain ialah Anugerah Ramadan dan keistimewaan yang ada di dalamnya. Mereka yang melaksanakan ibadat di dalam bulan Ramadan ini akan memperoleh pelbagai kelebihan dan keistimewaan.

Pelbagai gelaran diberikan untuk bulan Ramadan berdasarkan anugerah kelebihan dan keistimewaan bulan tersebut, antaranya:

1. Saiyidus Syuhur (Penghulu Sekalian Bulan)
2. Syahrul Maghfirah (Bulan Keampunan)
3. Syahrul Rahmah (Bulan dibuka pintu rahmah)
4. Syahrul Mubarak (Bulan penuh barakah atau kebaikan)
5. Syahrul Syiam (Bulan berpuasa)
6. Syahrul Sadakah / Jud (Bulan menderma / Murah hati)
7. Syahrul Quran (Bulan al-Quran)
8. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran)
9. Syahrul Taqwa (Bulan Taqwa)
10. Syahrul Najah (Bulan Kemenangan dan bebas dari api Neraka)

Pelbagai kelebihan dan keistimewaan ini khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Alangkah ruginya jika kita membiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja. Rasulullah SAW bersabda:

عَن عَبْدِ الرَّحْمَن بْنِ عَوْف رَضِي الله عَنهُ: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ شَهْرَ رَمَضَانَ شَهْر فَرَضَ اللهُ عَلَى الْمُسْلِمِينَ صِيَامَهُ وَسَنَنْتُ لَكُمْ قِيَامَهُ فَمَنْ صَامَهُ وَقَامَهُ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا خَرَجَ مِنَ الذُّنُوبِ كَيَوْم وَلَدَتْهُ أُمُّهُ.

Daripada Abdul Rahman bin ‘Auf RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Ramadan, bulan di mana orang Islam difardhukan berpuasa oleh Allah dan aku sunnahkan melakukan qiam (solat tarawih) pada malamnya. Sesiapa berpuasa dan qiamnya dilakukan penuh keimanan dan keikhlasan maka dihapus dosa-dosanya sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya. (HR Ibnu Majah No: 1101)

Bulan yang didalamnya ada satu malam yang barang siapa beribadat pada malam tersebut, ganjarannya melebihi 1000 bulan! Iaitu malam lailatul qadar.

Bangunkan jiwa taqwa dengan bersungguh-sungguh menyambut kedatangan bulan istimewa ini dengan melipatgandakan amal soleh. Mungkinkah Ramadan tahun ini terakhir buat kita?

 
IMG_20240315_062142_611.jpg


5 KERUGIAN ORANG BERPUASA

1️⃣ Bangun Sahur tanpa mendirikan sekurang kurangnya 2 rakaat solat sunat

2️⃣ Meninggalkan hari-hari di bulan Ramadan tanpa bersedekah

3️⃣ Menunggu waktu berbuka puasa tanpa berdoa

4️⃣ Menghabiskan waktu pagi dan petang dengan berbaring & tidur atas alasan letih puasa

5️⃣ Langsung tidak membuka/membaca/mendengar al-Quran

Janganlah kita tergolong dalam golongan orang yang rugi dan marilah kita mengamalkan apa yang diajar oleh Baginda Nabi SAW.

Sumber: JAKIM
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-orang yang berpuasa. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut". (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5. Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”

6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

16hb Mac 2024
05hb Ramadan 1445H
 
Back
Top
Log in Register