BTC USD 84,458.3 Gold USD 4,275.79
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ibadah Puasa

IMG_20230412_064104_183.jpg


Doa Untuk Tuan Rumah Yang Menjamu Berbuka Puasa
 
IMG_20230413_080158_935.jpg


Menyegerakan Berbuka

Daripada Sahl Bin Sa’di RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka tidak melewatkan berbuka puasa.”

Bagi yang berpuasa disunatkan untuk menyegerakan berbuka setelah masuknya waktu berbuka puasa tanpa menangguhkannya dengan amal ibadah yang lain.
 
IMG_20230417_062105_618.jpg


Setiap detik sepanjang Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini.

Marilah kita memanfaatkan baki Ramadan yang tinggal ini untuk merebut ganjaran pahala dengan memperbanyakkan amal soleh.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pertemuan dengan malam al-Qadar dan diisi dengan amal kebajikan yang melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya.
 
IMG_20230417_062142_285.jpg


PUASA YANG SIA-SIA

Orang yang berpuasa, apabila memperbanyakkan amal kebaikan seperti membaca al- Quran, berzikir dan lain-lain amalan akan memberikan natijah kepada pembentukan diri seorang muslim yang bertaqwa.

puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi juga menahan diri daripada perbuatan, perkataan yang boleh merosakkan pahala puasa.
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. (H.R. Muslim No : 1945) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.

2. Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap keredhaan Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan.

3. Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.

4. Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah.

5. Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi WhatsApp, Telegram, FB serta bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

Pastikan kita tidak hanya gembira ketika berbuka. Yang lebih penting kegembiraan ketika bertemu Allah di hari akhirat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#RamadanAkuKembaliMendambaRedhaIlahi
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

18hb April 2023
27hb Ramadan 1444H
 
IMG_20230418_062854_289.jpg


MENGHIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN

Rebutlah peluang di sepuluh akhir Ramadan ini dengan bersungguh- sungguh memperbanyakkan amal ibadah agar kita tergolong daripada orang yang mendapat keampunan di sisi Allah SWT.

Malam ini merupakan malam ke-27 (malam ganjil), jangan sia-siakan untuk meraih ganjaran 1000 bulan.
 
IMG_20240312_082903_073.jpg


❇️HADIS HARI INI❇️

Ganjaran orang yang berpuasa dijauhkan daripada azab api neraka

Daripada Abu Said Al-Khudri RA beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda : "Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah akan menjauhkan mukanya daripada api neraka tujuh puluh tahun."

(Riwayat Muslim)
 
Ramadan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, ayuh ulang kaji lafaz, niat puasa

Astro Awani
Mac 11, 2024 11:00 MYT

Ramadan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, ayuh ulang kaji lafaz, niat puasa
Puasa seseorang itu tidak sah sekiranya tidak diiringi dengan niat untuk mengerjakannya kerana Allah SWT. - Gambar hiasan

BULAN keampunan, Ramadan yang ditunggu-tunggu setiap umat Islam akhirnya tiba, dan pastinya ramai yang tidak sabar-sabar menunggu untuk memulakan solat tarawih malam ini dan bersahur awal pagi esok.

Dalam keghairahan kita menyambut bulan istimewa ini, mari kita membuat sedikit ulang kaji mengenai niat berpuasa serta doa berbuka puasa.

Haruslah diketahui bahawasanya niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib.

Puasa seseorang itu tidak sah sekiranya tidak diiringi dengan niat untuk mengerjakannya kerana Allah SWT.

Dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat satu artikel yang menjelaskan panjang lebar mengenai kepentingan umat Islam yang sah syarat berpuasa untuk berniat melakukan rukun Islam ketiga itu.

Memetik laman web berkenaan: "Berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat.

Firman Allah dalam surah Al-Bayyinah ayat ke-5 yang membawa maksud:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya."

Bahkan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari membawa maksud: “Hanyasanya perbuatan-perbuatan itu dengan niat.”

Syarat-syarat niat berpuasa:

Islam telah menetapkan dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Kebanyakan kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya.

Antara yang disebutkan ialah:

1. Al-Jazm: yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.

2. Al-Ta’yiin: iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ia puasa Ramadan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dan sebagainya). Tidak memadai dengan berniat secara mutlak untuk berpuasa.

3. Al-Tabyiit: menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW riwayat Hafsah R.Anha yang membawa maksud:

“Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).”

Adakah niat perlu diperbaharui setiap malam atau memadai niat 30 hari sekali gus?

Persoalan ini juga tidak terlepas menjadi bahan perdebatan dalam kalangan umat Islam.

Artikel di ruangan Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan menyebut para ulama menggariskan dua pendapat di dalam permasalahan ini:

• Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat. [1] Ia sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain.

Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

• Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekali gus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam. [2] Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadis Hafsah R.Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya).

Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak.

Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Tarjih

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ia juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

Doa berbuka puasa

Selain amalan melafazkan niat berpuasa, Islam turut menuntut umatnya untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun.

Justeru, di bulan penuh kemuliaan ini juga kita tidak terlepas daripada digalakkan untuk berdoa semasa berbuka puasa.k

Dalam laman web yang sama dijelaskan ita dituntut di dalam agama untuk sentiasa berdoa kepada Allah walaupun ketika makan. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Terdapat satu hadith di dalam Sunan Abi Daud:

Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa) yang membawa maksud: "Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala Insya-Allah."

"Kami berpandangan bahawa setiap orang boleh dibolehkan berdoa dengan apa jua doa selagi mana maksud atau makna doa itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

"Akan tetapi, jika ingin dilihat dari sudut status hadis, doa yang pertama lebih sahih dari sudut sanadnya berbanding hadis yang kedua."

* Artikel ini bersumberkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
 
Selamat Menyambut Ramadan

Ramadan kembali lagi. Ramadan menyediakan orang beriman yang merindukan suasana pesta ibadah. Ramadan adalah anugerah istimewa yang hanya diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW. Bulan yang penuh barakah dan kebaikan. Bulan digandakan ganjaran amal kepada mereka yang beramal sehingga melebihi 1000 bulan. Bulan penuh rahmat dan keampunan.

Orang yang melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan dengan sempurna akan diberi keistimewaan memasuki syurga melalui pintu Ar-Rayyan. Hadis Nabi SAW:

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ" متفقٌ عليه.

Daripada Sahl bin Sa‘ad RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat. Tidak akan masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, akan diseru oleh penjaganya: ”Di mana kah orang yang berpuasa? Maka mereka yang berpuasa pun bangun (memasukinya), tidak ada yang akan memasukinya melainkan mereka sahaja. Apabila mereka memasukinya, pintu itu akan ditutup, maka tiada siapa lagi yang akan dapat memasukinya. (HR Bukhari, no. 1896).

Menjadi tanggungjawab untuk setiap Muslim menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini dengan jiwa taqwa untuk melipat gandakan amal soleh bagi meraih taqwa. Antara yang boleh dilakukan adalah:

1. Mengikhlaskan niat melakukan amal soleh
2. Melaksanakan ibadat puasa di tingkatan khusus
3. Berusaha menghidupkan malam dengan solat-solat sunat seperti solat tarawih dan witir
4. Mempertingkatkan bacaan al-Quran
5. Bersedekah setiap hari
6. Perbanyakkan zikir harian
7. Perbanyakkan doa sepanjang berpuasa khususnya waktu sebelum berbuka dan di waktu sahur
8. Jaga solat berjemaah dan dilaksanakan di masjid khususnya bagi lelaki
9. Latih sifat sabar
10. Azam bersungguh-sungguh agar ibadat puasa, menghidupkan malam serta sedekah yang dilakukan benar-benar menjadi penghapus dosa-dosa kita

Pohon jambu batangnya basah
Dipanjat sesudah hujan reda
Puasa Ramadan penuh barakah
Waktu untuk mendulang pahala.

Ramadan: Bangunkan Jiwa Taqwa

 
Back
Top
Log in Register