Kes
Polis belum terima pemakluman himpunan rakyat di Kedah
Oleh
Zuliaty Zulkiffli
Julai 28, 2025 @ 2:39pm
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah. - Foto NSTP/ ZULIATY ZULKIFFLI
ALOR SETAR: Polis Kedah belum dimaklumkan lagi berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Honggaq Kedah yang akan diadakan di hadapan Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman pada 24 Ogos depan.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya hanya mengetahui perhimpunan itu melalui media sosial dan belum menerima maklumat secara rasmi.
Namun, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia untuk menghadapi perhimpunan itu nanti.
"Kita tak boleh halang tindakan mereka nak berhimpun ni, cuma saya nasihatkan kalau nak berhimpun dan tak ada persetujuan, ikutlah peraturan dan garisan undang-undang yang ditetapkan.
"Perlu diingatkan, mereka tidak boleh membawa senjata, kanak-kanak dan tidak boleh beri kenyataan yang menyentuh 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) dan dilakukan secara aman," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah dan Pemakaian Lencana Pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Majlis Pemakaian Lencana Pangkat itu dilakukan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus kepada Ketua Polis Kedah dan Timbalan Ketua Polis Kedah.
Adzli yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah dengan pangkat Deputi Komisioner Polis kini dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis.
Beliau kemudian menyerahkan tugasnya itu kepada Deputi Komisioner Polis Baderulhisham Baharudin yang sebelum ini berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Baderulhisham sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis manakala Asisten Komisioner Mohd Ismail Ibrahim yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard Kedah memegang sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis dengan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Terdahulu, tersebar melalui hebahan aplikasi Tik Tok mengenai Perhimpunan Rakyat Honggaq Kedah yang bakal diadakan 24 Ogos depan bagi mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor melepaskan jawatannya.
Melalui hebahan itu dimaklumkan perhimpunan itu akan diadakan pada jam 2 petang dan ramai dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan akan hadir menghantar memorandum untuk menyatakan ketidakpuasan mereka berkaitan 10 isu rakyat yang belum diselesaikan.