balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
KUALA KURAU - Sudahlah usaha memecah masuk sebuah kilang ais gagal membuahkan hasil, malah tindakan memecah masuk empat kenderaan berhampiran lokasi kejadian juga hanya memberi pulangan RM30 kepada sekumpulan pencuri.
Itulah nasib malang dialami sekumpulan pencuri yang memecah masuk sebuah kilang ais di Jalan Pantai, di sini apabila hanya sekadar mendapat duit syiling bernilai RM30 yang dicuri dari salah sebuah kenderaan yang dipecah masuk.
Pemilik kilang ais, Ong Chee Liang,38, berkata, dia mula menyedari pejabat kilangnya dipecah masuk sekitar jam 8 pagi semalam sewaktu hendak memulakan operasi perniagaan.
Menurutnya, dia terkejut mendapati salah satu jeriji tingkap di pejabat kilangnya dibengkokkan, manakala tiga keping tingkap neko yang ditanggalkan pencuri berada dalam keadaan pecah dan berselerakan di atas lantai pejabat sewaktu memasukinya.
“Apabila melihat keadaan lantai berselerakan, saya mulai yakin pejabat saya dipecah masuk pencuri untuk kali kedua dalam tempoh setahun.
“Bagaimanapun, saya bersyukur tiada wang tunai dan barangan berharga lain yang hilang,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian di sini semalam.
Chee Liang berkata, kejadian pecah masuk pejabat premisnya berlaku buat kali kedua dalam tempoh setahun apabila dia mengalami kerugian melebihi RM1,000 ketika kejadian pertama yang berlaku pada Jun tahun lalu.
Jelasnya, berikutan kejadian itu, dia bersikap lebih berhati-hati dengan tidak menyimpan wang tunai dan barangan berharga di pejabatnya bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’.
“Pencuri itu bernasib malang apabila hanya mengambil wang syiling bernilai RM30 yang disimpan di dalam salah sebuah van itu,” katanya.
Sementara itu, pemilik van yang dipecah masuk, Khor Hai Huat, 34, berkata, dia terkejut mendapati cermin kenderaannya pecah sewaktu hendak pergi berniaga lebih kurang jam 6.30 pagi.
“Saya segera memeriksa keadaan dalaman van dan mendapati ia berselerak, manakala duit syiling RM 30 yang disimpan di dalamnya hilang.
“Saya percaya pencuri hanya mahu wang tunai memandangkan beberapa aksesori kenderaan saya seperti pemain cakera padat tidak dicuri,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/hasil-mencuri-hanya-rm30-1.175398