paper ari ini 18.7.2007
Dalam Negeri
Kerajaan akan selesaikan gaji guru DGA 41
KUALA KANGSAR 17 Julai – Kementerian Pelajaran akan berusaha menyelesaikan ‘masalah teknikal’ guru bukan siswazah yang menerima gaji lebih rendah apabila dinaikkan ke skim gaji DGA 41 selepas menerima ijazah.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan melalui pendekatan khas dan kerjasama antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pendidikan.
Bagaimanapun, menurutnya, penyelesaian masalah tersebut mungkin mengambil sedikit masa dan beliau berharap tidak ada mana-mana pihak yang menimbulkan perkara itu lagi.
“Masalah ini agak unik dalam konteks peralihan skim gaji dan jumlah guru yang terlibat juga bukanlah sehingga 50,000 orang seperti yang didakwa oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), sebaliknya 8,000 guru sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom di sini hari ini.
Sebuah akhbar tempatan sejak dua hari lalu melaporkan, Presiden NUTP, Anuar Ibrahim mendakwa guru dalam skim DGA 41 (Pegawai Perkhidmatan Siswazah) kerugian kerana gaji mereka jauh lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Beliau juga mendakwa terdapat lebih 50,000 orang guru berada dalam skim gaji tersebut pada masa ini.
Hishammuddin berkata, kerajaan tidak pernah menidakkan kesungguhan guru-guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah walaupun mereka menerima gaji lebih rendah berbanding rakan mereka yang tidak melanjutkan pelajaran.
‘‘Ada dakwaan menyatakan bahawa selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman kenaikan gaji, guru-guru terbabit telah teraniaya dan tertindas.
‘‘Perkara itu bukan realiti kerana daripada apa yang saya dimaklumkan, ini merupakan perkara yang unik dan kerajaan kerajaan sedar dan prihatin terhadap masalah itu,’’ jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersetuju untuk menangguhkan buat sementara waktu kemasukan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri.