BTC USD 61,411.7 Gold USD 4,345.27
Time now: Jun 1, 12:00 AM

GPS Berhantu!

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23
1749226466863.png



GPS Berhantu!



Cerita ini mungkin kedengaran agak pelik dan mustahil berlaku. Tetapi, inilah yang benar-benar terjadi kepada rakan saya, Haji Ali dan keluarga beliau. Walaupun ia seakan-akan tidak logik, saya ceritakan juga agar dapat dijadikan iktibar dnn pedoman untuk kita semua.



Cerita ini tentang GPS berhantu!

Percaya atau tidak?



… Percayalah bahawa iblis akan menggunakan apa saja taktik dan teknik dalam usahanya untuk menyesatkan dan menyusahkan hidup anak Adam.



Kisahnya bermula pada Mac yang lalu ketika Haji Ali dalam perjalanan pulang dari bercuti di Pulau Langkawi. Jarang-jarang mereka ada masa untuk bersama-sama. Maklumlah, Haji Ali sibuk dengan syarikatnya, manakala anak-anak pula sibuk dengan sesi persekolahan.



Pesawat Air Asia yang dinaiki oleh Haji Ali sekeluarga mendarat di LCCT Sepang lebih kurang pada pukul 11.00 malam. Setelah semua bagasi dimuatkan ke dalam MPV Naza Ria, maka Haji Ali menghidupkan enjin kenderaannya. Tangannya mencapai GPS yang menjadi teman apabila bermusafir. Walupun selalu berulang-alik ke kawsan Lembah Klang, namun beliau masih kurang mahir selok-belok jalan di situ.



“Calculating the route,” GPS itu mula memberikan isyarat bahawa ia bersedia untuk menjalankan tugasnya – memberi panduan untuk Haji Ali dan keluarga balik ke Kuantan.



“Drive 1 kilometer, then turn left.” Arahan seterusnya dari GPS apabila kenderaan mereka bergerak keluar dari LCCT. Anak-anaknya yang seramai lima orang di belakang masing-masing tertidur setelah kepenatan tiga hari bersiar-siar di Langkawi. Isteri beliau, Rohana, yang duduk di sebelahnya juga kelihatan tersengguk-sengguk.



“In 350 meters, turn left.” GPS memberikan arahan. Haji Ali tanpa ragu-ragu mematuhi arahan tersebut. Seketika, beliau terpandang papan tanda yang menunjukkan jalan itu menghala ke Seremban.



“Aiikkk… ini jalan ke Seremban. Biasanya kena ikut Jalan Ampang baru jumpa Gombak, pastu terus masuk Highway Karak. Hm… Mungkin ada shortcut yang aku tak pernah lalu kot,” getus hati Haji Ali.



MPVnya terus meluncur laju dengan panduan yang diberikan oleh GPSnya.



“In 100 meters, turn right.” Arahan seterusnya dari GPS. Haji Ali terus membelok ke kanan.



“Eh, ini jalan nak ke Felda Labu.. macam mana pulaklah boleh sampai ke sini? GPS ni rosak ke?” bisik Haji Ali sendirian. Dia segera melakukan U-turn dan memberhentikan kenderaanya. Tangannya segera mengambil GPS itu dan memeriksanya.

“Kenapa bang?” tanya isterinya yang terjaga dari tidur.



“Entahlah… GPS ni. Abang ikut instruction dia, tapi sampai ke sini pulak. Ini jalan nak pergi ke Labu, bukan nak ke Kuantan,” terang Haji Abli sambil tangannya menunjukkan ke arah signboard di depannya.



“Turn right, turn right,” GPS tersebut memberikan arahan setelah dapat mengesan yang Haji Ali tidak membelok ke kanan. Haji Ali segera menekan butang off pada GPS tersebut dan kemudian menghidupkannya semula. Beliau sekali lagi menetapkan fungsi GPS untuk menunjukkan arah balik ke Kuantan.



”Calculating the route,” GPSnya kembali berfungsi.



“Drive 5 kilometer, then turn right.”

Haji Ali meneruskan perjalanan setelah meyakini GPS itu kembali normal. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1.30 pagi.



Setelah hampir 45 minit memandu dengan berpandukan GPS, sekali lagi Haji Ali merasa sangsi terhadap jalan yang sedang dilaluinya kerana di hadapannya tertera papan arah ke Alor Setar dan Bukit Kayu Hitam.



“Mustahil… takkan nak ke Kuantan kena ikut highway PLUS.”

Hatinya mula mengesyaki ada sesuatu yang tak kena. Sesampai di exit Sungai Buloh, Haji Ali terus masuk ke Plaza Tol Sungai Buloh.



“Make a U-turn, Make a U-turn, Make a U-turn...” Marah GPS tersebut kerana arahannya tidak diendahkan.



“Apa hallah benda alah ni. Menyusahkan saja,” marah Haji Ali kepada mesin tersebut.



“Dah tahu GPS tak boleh pakai, jangannlah ikut,” sampuk isterinya yang dari tadi asyik mendengar leteran suaminya.



Haji Ali terus memandu melalui Jalan Kepong dengan harapan dia akan sampai ke Gombak. Sekali-sekala beliau melihat arahan yang diberikan oleh GPS. Nampaknya GPSnya kali ini macam betul.



Kenderaan beliau meluncur laju membelah kegelapan malam. Apabilla melintasi Sri Gombak, GPS tersebut memberi arahan seterusnya. Oleh kerana tak biasa jalan di sekitar kawasan ini, Haji Ali mengikut sahaja arahan tersebut. Hasilnya, Haji Ali tiba di kawasan berhampiran Hospital Masyarakat Orang Asli Gombak.


1749226106581.jpeg



“Isshhh… sampai ke sini pulak dibawanya aku,” keluh Haji Ali.

Pada masa itu, beliau perasan ada sesuatu perkara pelik berlaku pada GPSnya. Garis-garis jalan yang tertera pada GPS itu bukan lagi berwarna biru atau merah jambu seperti yang biasa, tetapi bertukar menjadi warna merah pekat seperti warna darah yang mengalir.



“Ini dah main kasar ni. Tak boleh jadi ni.” Getus hati Haji Ali. Isteri dan anak-anaknya yang terjaga mula kehairanan. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.00 pagi.



“Bang, telefonlah Haji Rusdi. Mana tau kot dia boleh tolong,” gesa isterinya.



“Sekarang dah dekat pukul 3.00 pagi, nanti ganggu Tuan Haji pulak,” balas Haji Alli terhadap saranan isterinya.



“Habis tu, takkan abang nak biar kita sesat macam ni?” soal isterinya lagi.

Akhirnya setelah menemui jalan buntu, Haji Ali lantas mencapai telefon bimbinya untuk menelefon Haji Rusdi.



“Assalamualaikum Haji,” Haji Ali memulakan bicara.



“Waalaikumussalam. Ya Ali, ada apa hal?” balas Haji Rusdi.



“Minta maaf banyak ganggu Haji pagi-pagi buta ni. Saya ni ada masalah. Saya nak balik ke Kuantan dari LCCT Sepang. Tapi saya rasa macam kena main sesuatu je ni. Dari pukul 12.00 tengah malam tadi lagi saya sesat. Saya pakai GPS, tapi macam ada tak kena je… dihantarnya saya sampai ke Labu, ke Sungai Buloh… ni dah sampai kampung Orang Asli pulak,” adu Haji Ali.



“Macam nilah Ali. Awak tawassuf dulu kepada Rasullullah s.a.w dan lepas tu baca Fatihah, dan lepas tu cuba azan. Tengok apa kesannya,” jelas Haji Rusdi memberi panduan.



“Baik Haji, insyaAllah saya akan buat. Terima kasih, doakan saya ya,” ujar Haji Ali mengakhiri perbualan ringkasnya.

Selesai membaca surah Al-Fatihah, beliau lalu mengumandangkan azan sebagaimana yang dianjurkan oleh Haji Rusdi. Dengan tidak semena-mena, isteri beliau mengigil dan mengerang… seram-sejuk Haji Ali mendengarnya.



Beliau tetap meneruskan azan sehingga habis. Sebaik sahaja selesai melaungkan azan, isterinya kembali normal dan beliau sendiri terasa seloah-olah keluar dari kegelapan yang menyelubunginya. Belau mula nampak papan tanda untuk keluar ke Lebuh Raya Karak dan ke Kuantan.



Haji Ali menarik nafas lega. Dia termenung sejenak untuk mengenal pasti apa yang telah berlaku. Ketika itu, barulah Haji Ali teringat apa yang telah mereka lalui semasa berada di Langkawi.



Ketika mula-mula daftar masuk hotel, beliau telah diberikan satu=u bilik yang agak terpencil yang menghadap paya. Bilik tersebut agak suram, seolah-olah sudah lama tidak dihuni.



Sebaik sahaja memasuki bilik, anak bongsunya – Dalilah mula diserang gatal-gatal seluruh tubuh (atau gegata). Pada waktu malam pula, mereka sekeluarga mendengar riuh-rendah bunyi orang bertukang.




“Cuba ustaz fikir, mana ada orang bertukang malam-malam buta. Siang-siang takdela pulak. Macam-macam bunyi ada… bunyi orang menggergajilah, bunyi orang ketuk paku dekat dindinglah…. dan macam-macam lagilah… hiruk -pikuk. Sampai kami anak-beranak tak boleh nak tidur,” jelas Haji Ali ketika menceritakan peristiwa ini kepada beberapa jemaah masjid iaitu Haji Rusdi dan Ustaz Fared setelah selesai solat isyak.



“Bila dah masuk Lebuh Raya Karak, saya mula rasa mengantuk yang teramat sangat. Tak tahan sangat, jadi kejap-kejap saya berhenti tidur di tepi jalan. Bimbang takut eksiden kalau diteruskan. Ustaz tau saya sampai Kuantan pukul berapa? Pukul 12.00 tengahari baru sampai!” tegas Haji Ali.



“Huisshh.. lama betul,” balas Ustaz Fared. Bayangkan dari pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 12.00 tengahari … 12 jam perjalanan untuk jarak 270 kilometer.



“Saya rasa, kemungkinan gangguan yang awak alami itu ada kaitan dengan apa yang berlaku semasa di Langkawi. Maksud saya, makhluk yang mengganggu awak di Langkawi ikut awak balik. Iblis dan syaitan telah berikrar untuk menganggu anak Adam dan mereka akan guuna apa sahaja cara untuk menjayakan rancangan mereka,” jelas Haji Rusdi pula.



“Guru saya, Imam Ishak selalu berpesan – jika kita masuk ke suatu kawasan yang sudah lama tidak berpenghuni atau tempat asing yang ada hutan, paya, rumah lama… maka azankanlah tiga kali. InsyaAllah, makhluk -makhluk yang tumpang mendiami kawasan ini akan lari,” tambah Haji Rusid lagi memberikan panduan.



“Dulu, pernah juga pelajar-pelajar IKIP Yarmouk pergi berkelah di Hutan Lipur dekat Maran. Memang sudah diketahui wujudnya beberapa lokasi di situ yang dikatakan agak keras. Jadi saya menyuruh pelajar agar azan terlebih dahulu sebelum memasang khemah. Alhamdulillah, para pelajar dapat mengadakan aktiviti tanpa sebarang gangguan.“ cerita Ustaz Fared pula.



Ustaz Fared (sekarang bertugas sebagai pegawai atase Pahang di Mesir) yang menjadi pensyarah pengiring pada ketika itu juga menceritakan bahawa sebelum rombongan pelajar mula mendirikan khemah, beliau ada berjumpa dengan beberapa orang asli yang sedang memancing di kawasan tersebut. Mereka berpesan supaya berhati-hati kerana kawasan itu selalu berlaku gangguan. Menurut mereka, orang yang sedang berkelah selalu diganggu ‘penunggu’ di kawasan itu.



Ustaz Fared hanya mendiamkan perkara ini kerana bimbang para pelajar akan ketakutan . Alhamdulillah, dengan berkat azan yang dilaungkan, Allah menyelamatkan kami dari sebarang kejadian yang tidak diingini.



Apa yang berlaku kepada Haji Ali menjadi bukti bahawa iblis dan syaitan akan menggunakan segala taktik dan teknik untuk mengganggu dan menyusahkan anak Adam.



Jika tidak dapat digoda dengan cara halus, maka akan diguna pula cara kasar. Ada kalanya cara tersebut kelihatan mustahil dan tidak terjangkau dek akal sepertimana yan gtelah saya nyatakan di awal cerita ini.



Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-A’raf, ayat 16-17 yang bermaksud:

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menyebabkan aku tersesat, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalan-Mu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka dari kanan mereka dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedkit sahaja dari mereka yang bersyukur.”



“Seperkara lagi yang saya nak tambah – apabila kita hendak pulang ke rumah, biasanya akan ada syaitan yang mengekori kita sampai ke rumah. Jangan sekali kai kita masuk rumah tanpa memberi salam, sebab syaitan akan turut masuk sama.

Ketika hendak memasuki Masjid atau rumah yang tidak ada seorang pun di dalamnya juga disunnahkan mengucapkan salam dan membaca :

"Assalamualaina Wa'ala Ibadillahissolihin."

Kerana, kalau dalam rumah yang tiada orang, malaikat yang akan jawab salam kita. Tetapi, jika syaitan yang ada di dalam rumah kita, salam itu akan memedihkan telinga syaitan, dan membuatnya lari.”



Dalam Hadis Riwayat Muslim, dari Jabir bin Abdillah r.a, Rasulullah saw bersabda,

"Apabila salah seorang di antara kamu menyebut nama Allah ketika hendak masuk ke rumahnya dan menyebut nama Allah ketika hendak makan, maka syaitan akan berkata sesama mereka, "Kita tidak ada tempat tinggal dan tidak dapat makanan hari ini." Tetapi apabila dia masuk rumahnya tanpa menyebut nama Allah, maka syaitan berkata, "Kita ada tempat menginap.” Dan apabila seseorang tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, maka syaitan pun berkata, “Kita dapat makanan hari ini."



“Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama memohon agar Allah s.w.t menyelamatkan kita semua daripada tipu daya dan gangguan iblis laknatullah ini. Aamin!”




Sumber: Mastika, Jun 2011 oleh Dr. Mahyuddin Ismail.



 
Back
Top
Log in Register