Geran Permulaan Perniagaan: Kerajaan lulus RM39.69 juta
25-06-2008 04:13:44 PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM39.69 juta untuk 1,817 permohonan di bawah Geran Permulaan Perniagaan SMIDEC setakat 31 Mei 2008, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin said.
Pada awal bulan lepas, katanya kerajaan juga telah mengumumkan had maksima bagi geran itu yang telah dinaikkan kepada RM100,000 daripada hanya RM40,000 untuk setiap permohonan.
Selain itu, Muhyiddin berkata SMIDEC juga menyediakan geran latihan sebanyak 80 peratus daripada kursus bagi membantu meningkatkan kemahiran pekerja enterpris kecil dan sederhana (EKS) bagi Skim Peningkatan Kemahiran.
"Program latihan ini ditawarkan oleh 42 pusat kemahiran dan penyedia latihan profesional yang dilantik oleh SMIDEC di seluruh negara bagi pelbagai jenis kursus teknikal, pengurusan dan pemasaran." Katanya di majlis penyampaian ijazah pelajar Kolej PTPL di sini.
Sehingga 31 Mei 2008, katanya seramai 23,597 pekerja di syarikat EKS telah menjalani latihan di bawah program itu dengan jumlah peruntukan yang telah disalurkan sebanyak RM22.72 juta.
Katanya, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan sektor EKS, di mana SMIDEC telah menyediakan program bagi menggalakkan penyertaan orang ramai dalam sektor ini khususnya graduan lepasan universiti.
Selaras dengan usaha itu, MITI melalui SMIDEC telah bekerjasama dengan universiti tempatan bagi melaksanakan Program Penempatan Pelajar Universiti di premis EKS, katanya.
"Program ini telah berjaya dilaksanakan oleh SMIDEC dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan SME Bank di mana seramai 20 orang pelajar telah ditempatkan di lima buah syarikat EKS," katanya.
Beliau yang menggalakkan lepasan universiti menceburi bidang keusahawanan turut menyarankan graduan menceburi sektor perkhidmatan, sama ada sebagai pekerja atau pun usahawan memandangkan potensi sektor tersebut terhadap ekonomi negara di masa hadapan.
"Kebelakangan ini, sektor perkhidmatan telah menjadi semakin penting. Ini boleh dilihat dari sumbangan sektor tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar yang berjumlah 53.4 peratus pada tahun 2007," kata Muhyiddin.
Katanya peningkatan sektor perkhidmatan telah mengatasi sektor lain termasuklah sektor perindustrian.
Di antara subsektor dalam perkhidmatan yang berpotensi termasuklah perkhidmatan profesional dan perniagaan, perdagangan pengedaran, pembinaan, pendidikan dan latihan, pelancongan, kesihatan, logistik dan juga perkhidmatan ICT, katanya.
BERNAMA