ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Petikan daripada CCTV menunjukkan ahli Geng Capang merompak sebuah kedai emas di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 29 April - Polis menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun melibatkan kerugian lebih RM2 juta setelah sekumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Capang diberkas di sekitar ibu negara semalam.
Kumpulan terbabit juga merupakan suspek yang menyamun barang kemas bernilai RM300,000 di sebuah kedai emas Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini pada 10 April lalu.
Selain itu, kumpulan sama turut dipercayai terbabit dalam rompakan di sebuah kedai emas di Serdang, Selangor pada Disember tahun lalu yang melibatkan kerugian kira-kira RM1.7 juta.
Geng Capang sebelum ini juga disyaki terlibat dalam percubaan untuk menyamun sebuah kedai emas di Rawang dan kemudian menyamun di Jalan TAR pada hari sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Zainuddin Ahmad berkata, kumpulan tersebut dianggotai lapan individu termasuk seorang wanita yang tidak memiliki pekerjaan tetap berumur antara 22 hingga 30 tahun.
Katanya, dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun melibatkan kedai emas dan pembekal emas.
Tambah beliau, kumpulan itu juga dipercayai aktif melakukan jenayah ragut dan samun tepi jalan di Selangor dan ibu negara sejak setahun lalu.
“Operasi pada pukul 6.30 petang hingga 4.30 pagi itu dilakukan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan bantuan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman di sekitar Jalan Imbi, Jalan Ampang dan Bandar Tasik Permaisuri.
“Kumpulan ini diketuai seorang lelaki yang dipanggil Capang dan wanita yang ditahan itu merupakan teman wanita kepada ketua kumpulan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan TAR pada 10 April lalu, salah seorang suspek bertindak mengacukan pistol ke arah orang ramai yang lalu lalang di kawasan terbabit sebelum melarikan tujuh dulang barang kemas.
Mengulas lanjut, Zainuddin memberitahu, dalam operasi tersebut, pihaknya berjaya merampas semula sebahagian besar barang kemas yang disamun pada 10 April lalu.
Bagaimanapun, barang kemas tersebut telah dileburkan menjadi 11 jongkong emas seberat 100 gram setiap satu.
“Selain jongkong emas, polis merampas dua buah motosikal berkuasa tinggi dan dua buah kereta, Perodua Myvi dan Honda Jazz yang dipercayai dibeli menggunakan hasil rompakan terbabit,” ujarnya.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan dan mengesan empat hingga enam lagi ahli kumpulan terbabit yang masih bebas.
“Kesemua mereka direman selama lima hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” jelasnya.