ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Picasso
SEMENTARA pengeluar lain menghasilkan sebuah jentera MPV (kenderaan pelbagai guna) yang kelihatan normal dengan perkadaran seimbang. Lain pula bagi model yang satu ini.
Citroen tidak menghitungkan perkara berkenaan dalam membangunkan sebuah MPV. Bagi pengeluar Perancis itu tidak semestinya sebuah MPV perlu kelihatan klise. Tidak salah tampil berbeza dan unik. Sekurangnya penggayaan yang ditampilkan oleh Citroen Grand C4 Picasso jelas menunjukkan perekanya bermain dengan kreativiti.
Sebagai jenama yang mempunyai sejarah penuh dengan rekaan berani, tidak menghairankan Citroen mewujudkan MPV yang menonjol dalam segmennya. Ini adalah kereta yang kelihatan serius pintar dengan reka bentuk moden dan mewah.
Gril chevron dan lampu nyalaan siang hari LED yang tirus memberikan imej futuristik, manakala kaca yang lebar menambahkan kepada wajah moden. Perincian pintar melalui rekaan rel bumbung bermula dari tiang A seterusnya sepanjang garisan bumbung dan ditamatkan seperti satu lekuk pada tingkap belakang cukup berbeza. Melengkapkan imej itu, Citroen menyisipkan lampu belakang 3D yang elegan.
Malah cermin hadapan yang terbentang sehingga ke bumbung adalah satu pandangan yang luas. Namun begitu kesannya sedikit silau jika matahari begitu terik. Akan tetapi pelindung matahari di atas kepala boleh ditolak ke hadapan bagi melindungi mata. Satu ciri yang cukup intuitif. Bahkan reka bentuk perehat kepala yang melengkung seperti kerusi pesawat memberikan satu posisi rehat yang cukup selesa untuk perjalanan jauh.
Rekaan unik diteruskan pada kabin. Sebaik duduk di kerusi pemandu mata akan tertumpu pada dua skrin berwarna: paparan skrin 12-inci dan skrin sentuh 7-inci. Pereka Citroen menyembunyikan informasi teknologi, media dan kawalan keselamatan pada skrin 7-inci skrin yang memerlukan masa untuk menerokanya.
Namun, kabin yang dipenuhi dengan teknologi kadang merumitkan pengalaman memandu. Sebagai contoh, satu tugas yang mudah seperti melaraskan suhu pendingin hawa dengan hanya memutar butang kawalan tidak berlaku pada model ini. Ia memaksa anda mengalihkan pandangan daripada jalan kerana perlu mengemudi sub-menu di skrin sentuh.
Sebagai MPV keluarga ruang simpanan adalah satu ciri yang penting. Jumlah ruang simpanan yang banyak di papan pemuka, tepi pintu dan di bawah lantai satu bonus. Malah dengan adanya soket 12V mudahkan urusan mengecas telefon pintar penumpang di dalam kabin.
Keuntungan Enjin Diesel
Berada di balik kemudi, saya mampu mendapatkan posisi duduk cukup baik melihat ke depan. Rekaan tiang A yang landai tidak mengganggu pandangan ketika membelok. Cermin tingkap yang besar menawarkan pemandangan yang jelas. Ibarat kata seorang rakan seakan duduk di dalam sebuah akuarium.
Barisan kedua masih lagi memberikan keselesaan buat penumpang pada ruang lutut dan kaki. Namun, barisan ketiga lebih molek dihuni anak kecil kerana ruang yang terhad.
Menyentuh soal prestasi, model MPV itu dijana enjin 2.0 liter e-HDI diesel yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 370Nm. Ia cukup sempurna sehingga tugas menjanakan kereta dengan tujuh orang dalam kabin adalah mudah. Berbekal prestasi tersebut, MPV itu bergerak lincah di kepadatan lalu lintas apalagi melaju di jalan yang bebas trafik. Tendangan tork awal juga cukup untuk menakluki laluan berbukit.
Enjin diesel tentunya tidak dapat disangkal lagi dengan tawaran penjimatan bahan api. Cuma bunyi bising enjin tidak dapat dihindari terutamanya saat melahu.
Dengan maklum balas cepat melalui stereng, tukaran gear yang lincah dan jumlah olengan badan saksama menjadikan ia jauh dari sporty. Bahkan ketika melalui jalan beralun, ia memberikan tingkat rendaman cukup baik.
Apalagi saat melakukan parkir, pergerakan stereng sangat ringan berkat penggunaan Stereng Kuasa Eletrik (EPS). Bahkan nisbah itu juga banyak membantu ketika mengemudi di bandar. Lebih unik jentera Eropah itu didatangkan dengan gear yang diletakkan di tepi stereng.
Bukan satu kebiasaan, saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan posisi tersebut. Setiap kali ingin mengubah gear, tangan kiri pasti mencari tombol gear di konsol tengah.
Model Citroen ini memiliki kekuatan daripada segi ekonomi bahan api, keselamatan dan praktikaliti. Kualiti kabin dan penggayaan adalah selangkah ke hadapan berbanding pesaingnya.