ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SEBAHAGIAN kanak-kanak yang memeriahkan Festival Egrang di Kota Batu, Jawa Timur, baru-baru ini.
BATU, Jawa Timur - Kira-kira 1,300 kanak-kanak sekolah di Kota Batu mengambil bahagian dalam Festival Egrang yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan berwarna warni, di sini Rabu lalu.
Portal Merdeka.com melaporkan, mereka yang terdiri daripada murid lelaki dan perempuan dari sekolah-sekolah rendah di bandar ini berjalan menggunakan egrang bermula dari Alun Alun Kota menuju ke Balai Kota Batu menggunakan alat permainan tradisional itu.
Egrang sering dikenali sebagai permainan tradisional turun temurun diperbuat daripada buluh, namun murid yang mengambil bahagian dalam festival itu mempunyai idea lain iaitu menghasilkan egrang diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan papan termasuk besi.
Para peserta pula mengenakan pelbagai kostum sesuai dengan daya kreativiti masing-masing antaranya memakai kostum seperti seorang pejuang, zombie dan menggunakan karung guni untuk dijadikan kostum.
Peserta berkumpulan pula diberi kebebasan untuk menunjukkan kebolehan mereka berjalan dengan egrang dalam pelbagai formasi sama ada berputar-putar, berjalan mengelilingi rakan mahupun berjalan secara mengundur.
“Paling sukar bermain dengan alat ini adalah untuk menjaga keseimbangan. Permainan ini memerlukan kita berlatih untuk mengimbangkan diri,’’ kata seorang peserta, Abdul Aril yang membuat gaya jalan secara berundur.
Aril berkata, dia sudah biasa bermain egrang namun untuk Festival Egrang, dia berlatih selama dua minggu bersama rakan sekolahnya yang diajak untuk belajar menjaga keseimbangan semasa membuat formasi-formasi tertentu.
Seorang lagi murid, Rizky Saputa berkata, dia perlukan masa selama tiga hari sebelum dapat membiasakan diri berjalan menggunakan egrang.
“Agak susah untuk menjaga keseimbangan, saya tidak pernah jatuh cuma agak penat berjalan jauh,’’ kata murid Sekolah Dasar Kampung Sisir.
Festival Egrang adalah hasil ilham Pemerintah Kota Batu dalam rangka memperingati Hari Ulang Tahun Ke-70 Republik Indonesia dan diadakan bagi menanam semangat cintakan negara melalui permainan tradisional.