Tengok nie, ada cerita sedih pasal perkhidmatan hospital kerajaan di Sarawak, bukan nak kata hospital kerajaan tak bagus, tapi cerita ini saya rasa bagus untuk dikongsikan bersama...
Hospital mesti prihatin layan pesakit barah
PADA awal Oktober lalu, kakak saya dirujuk ke Hospital Miri oleh Hospital Limbang kerana menghidap penyakit barah pangkal rahim peringkat dua. Pada masa sama, pihak Hospital Miri mengambil sampel tisu tulang belakang beliau untuk dianalisis.
Ketika menunggu keputusan ujian itu, untuk menjimatkan kos, kakak saya balik semula ke Limbang sementara menunggu janji temu seterusnya di Hospital Miri. Janji temu kedua ialah pada 29 Oktober lalu dan kakak saya sepatutnya menjalani imbasan.
Malangnya pada hari dijanjikan, mesin pengimbas di Hospital Miri rosak dan tidak dapat digunakan. Pihak Hospital Miri hanya mengambil sampel air kencing dan darah kakak saya pada hari berkenaan.
Kemudian kakak saya balik semula ke Limbang untuk menunggu janji temu berikutnya iaitu 18 November. Pada hari ditetapkan, kakak saya datang semula ke Hospital Miri untuk mengambil keputusan ujian darah dan air kencing serta untuk menjalani imbasan.
Malangnya, mesin pengimbas masih lagi rosak, manakala sampel air kencing dan darah kakak saya tidak dijumpai di Hospital Miri. Kakak saya diarah pula diambil sampel darah dan air kencing semula pada tarikh lain, di Hospital Miri.
Tetapi kakak saya yang dalam kesakitan meminta supaya sampel darah dan air kencingnya diambil di Hospital Limbang kerana amat payah untuk bergerak di samping kos yang amat tinggi bagi orang biasa seperti kami untuk berulang alik ke Miri dari Limbang.
Apa yang menjadi kekeliruan saya ialah;
Sepanjang berada di Hospital Miri kakak saya seolah-olah terbiar dan tidak dijaga serta tidak diberi ubat;
Bagaimana perkara seperti kehilangan sampel darah dan sampel air kencing boleh berlaku, dan
Penyakit barah pangkal rahim adalah penyakit berbahaya dan pembunuh nombor satu wanita di Malaysia, tetapi pihak hospital tidak mengendahkan kakak saya.
Untuk pengetahuan pembaca, suatu ketika kakak saya tidak dapat menahan sakit. Selepas perjalanan balik ke Limbang melalui Brunei menggunakan jalan darat, kakak saya memilih untuk pergi ke Hospital Kuala Belait, Brunei.
Dia mengatakan bahawa, di sana layanan serta jagaan yang mereka berikan amat baik, jauh berbeza daripada hospital kita sendiri. Lantaran kos yang tinggi, maka kakak saya memilih untuk menunggu di rumah saja.
Jika menurut salah seorang rakan yang bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital kerajaan di Sarawak, ramai pesakit barah di hospital mereka, tetapi mereka dalam keadaan baik dan boleh sembuh kerana ada tindakan dan pengesanan awal pihak hospital.
Kenapa tidak ada keseragaman di antara hospital kerajaan di negeri sama ini. Mohon penjelasan pihak Kementerian Kesihatan.
ADIK PRIHATIN,
Ulu Lubai, Limbang,
Sarawak.