Fairprice lancar inisiatif papar harga seunit di semua cawangan susuli program rintis
Seorang wanita memilih sayur-sayuran di sebuah pasar raya di Singapura. (Gambar fail: CNA/Lan Yu)
SINGAPURA: FairPrice melaksanakan inisiatif paparan harga seunit di semua cawangannya.
Menurut syarikat tersebut hari ini (13 Jul), ia menyusuli percubaan yang dijalankan di pasar raya utama sejak September tahun lalu.
IKLAN
Percubaan selama lapan minggu itu menyaksikan pasar raya yang mengambil bahagian memaparkan harga seunit bagi beberapa kategori barangan runcit terpilih.
Ini termasuk beras, daging, telur, minyak masak, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Para pelanggan dapat melihat harga mengikut unit ukuran, seperti sekilogram atau seliter.
Ini sekali gus memudahkan mereka membandingkan nilai antara saiz dan jenama produk yang berbeza.
FairPrice juga sedang berusaha untuk memperluaskan paparan harga seunit daripada 27 kategori asal kepada 40 kategori.
IKLAN
Ia akan diperkenalkan di semua cawangannya serta platform online.
FairPrice turut menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif itu di semua cawangannya akan membolehkan "pelanggan membuat keputusan pembelian yang lebih berhemah dan berasaskan nilai".
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 7 Julai bahawa program rintis paparan harga seunit akan diperluaskan pada lewat tahun ini.
"Pemerintah memulakan program rintis paparan harga seunit di pasar raya utama pada September 2025 dan telah menerima maklum balas positif bahawa paparan harga seunit membantu pengguna membandingkan harga antara jenama dan saiz bungkusan yang berbeza," kata Encik Gan, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
"Program rintis itu akan diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak cawangan fizikal dan platform online, serta pelbagai jenis barangan runcit pada lewat tahun ini.
IKLAN
"Pemerintah akan terus mengumpul lebih banyak data daripada pengguna mengenai keberkesanan paparan harga seunit, di samping mendapatkan maklum balas daripada pengendali bagi memahami pelaksanaan dari segi operasi serta kesannya terhadap perniagaan mereka sebelum memutuskan langkah seterusnya."
Encik Gan berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan Anggota Parlimen Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang), yang bertanya sama ada pemerintah menimbangkan untuk mewajibkan paparan harga seunit bagi barangan keperluan isi rumah menyusuli laporan mengenai amalan "shrinkflation".
Encik Yip turut bertanya sama ada undang-undang perlindungan pengguna sedia ada mencukupi untuk menangani kes syarikat menaikkan harga secara tidak langsung dengan menggunakan bahan yang lebih murah, mengurangkan saiz produk atau mengubah pembungkusan dan label.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) menyatakan pada 9 Julai bahawa pihaknya "rasa terdorong" dengan maklum balas awal terhadap skim rintis itu, yang dijalankan di cawangan terpilih NTUC FairPrice, Sheng Siong, Prime Supermarket, Cold Storage dan Giant.
Menurut CCCS, maklum balas awal menunjukkan pengguna mendapati paparan harga seunit berguna untuk membandingkan harga produk bagi saiz dan jenama yang berbeza, manakala pengendali pasar raya yang mengambil bahagian turut memberikan maklum balas membina mengenai pelaksanaan program tersebut.
IKLAN
"Kami sedang meneliti dapatan program rintis itu dan bekerjasama dengan pengendali pasar raya yang mengambil bahagian bagi fasa seterusnya. Program rintis yang diperluaskan akan meliputi lebih banyak barangan runcit yang sering dibeli serta saluran jualan tambahan, termasuk kedai fizikal dan platform online," katanya lagi.
"Sebarang langkah pada masa hadapan untuk menjadikan paparan harga seunit sebagai ciri tetap akan mengambil kira manfaat kepada pengguna, maklum balas industri serta daya maju dari segi operasi."
CCCS menambah bahawa butiran lanjut mengenai program rintis yang diperluaskan itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Sesetengah pasar raya yang mengambil bahagian meneruskan paparan harga seunit walaupun tempoh percubaan selama lapan minggu sudah berakhir.
Dalam jawapan bertulisnya di Parlimen, Encik Gan berkata pemerintah menggalakkan persaingan yang adil dan mempelbagaikan sumber bekalan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna serta memastikan harga kekal berdaya saing.
Syarikat-syarikat perniagaan yang membuat tuntutan palsu atau mengelirukan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil), manakala pengguna yang mengesyaki terdapat amalan perdagangan tidak adil digalakkan melaporkannya kepada Persatuan Pengguna Singapura (CASE).
Fairprice lancar inisiatif papar harga seunit di semua cawangan susuli program rintis
SINGAPURA: FairPrice melaksanakan inisiatif paparan harga seunit di semua cawangannya. Menurut syarikat tersebut hari ini (13 Jul), ia menyusuli percubaan yang dijalankan di pasar raya utama sejak September tahun lalu. Percubaan selama lapan minggu itu menyaksikan pasar raya yang mengambil