Situasi Semasa Influenza A (H1N1) 02 Mei 2010
Sehingga jam 8:00 pagi pada 2 Mei 2010, Kementerian tidak menerima laporan kejadian kluster baru ILI.
Sementara itu, sehingga jam 5:30 petang 1 Mei 2010, sejumlah 35 kes disahkan influenza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 13,744. Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 592 kes. Daripada jumlah tersebut, 76 kes (12.8%) telah disahkan positif influenza A(H1N1). Bilangan yang dirawat di ICU adalah tujuh (7) kes di mana lima (5) daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko. Tiada laporan kematian diterima, menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang.
Kementerian ingin menarik perhatian orang ramai bahawa majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan ( morbid obesity ). Mereka ini mudah mengalami komplikasi penyakit sedia ada atau jangkitan bakteria sekunder yang menyebabkan sepsis dan boleh membawa maut. Oleh itu, Kementerian Kesihatan ingin menggesa orang awam yang mempunyai faktor risiko seperti di atas, supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti Kementerian seluruh negara. Maklumat lanjut berkenaan influenza A(H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di
http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.
Sekian dan terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 02 Mei 2010
*sumber :
http://h1n1.moh.gov.my/KenyataanAkhbarTerkini.php