EG pemangkin konsep MLM dalam koperasi
Koperasi: Penggunaan MLM Sedang Dikaji
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang mengkaji untuk menggunakan sistem pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan jualan langsung bagi mempertingkatkan lagi aktiviti pemasaran koperasi di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Koperasi untuk membuat kajian mengenai perkara tersebut, termasuk nilai rantaian semua koperasi mengikut sektor.
"Dari situ kita boleh lihat potensi sebenar MLM dalam pasaran koperasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan geran pembangunan koperasi berjumlah RM2.29 juta kepada 14 koperasi bagi membantu program pemasaran mereka.
Mohamed Khaled berkata kementerian itu juga sedang mengenalpasti koperasi yang mempunyai prestasi yang baik dan berpotensi untuk diberikan bantuan modal bagi mengembangkan perniagaan mereka.
"Pemilihan koperasi-koperasi itu akan dibuat secara adil dan menggunakan sistem merit serta keupayaan pengurusan koperasi untuk menjalankan projek berskala besar," katanya.
Beliau berkata dengan adanya koperasi yang berdaya maju usaha untuk menjadikan mereka pengeluar pinjaman mikro-kredit kepada usahawan kecil yang ingin memulakan perniagaan dapat dilaksanakan.
Pada masa ini, pinjaman mikro-kredit hanya dikendalikan oleh Bank Rakyat, yang merupakan anak syarikat kementerian itu, menyebabkan tidak banyak pinjaman mikro-kredit boleh diluluskan kerana modal yang terhad.
"Ini adalah matlamat jangka panjang kementerian, bagaimanapun taraf kewangan koperasi-koperasi terbabit perlu dipertingkatkan," katanya.
Menyentuh mengenai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohamed Khaled berkata ia dijangka beroperasi pada 1 Jan tahun depan selepas segala urusan pendaftaran selesai.