BTC USD 76,071.1 Gold USD 4,264.21
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Emas ke-10: Bukti pengorbanan dua tahun tidak sia-sia

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141

Emas ke-10: Bukti pengorbanan dua tahun tidak sia-sia​

3649380.webp

Para pemain meraikan kejayaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meraih pingat emas bola jaring SUKMA edisi ke-22 lalu.

SKUAD bola jaring wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) membuktikan status mereka sebagai kuasa besar bola jaring negara apabila berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 baru-baru ini.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut menyaksikan WPKL melakar sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan buat kali ke-10 dalam acara bola jaring wanita sejak sukan itu dipertandingkan di pentas SUKMA.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan dominasi WPKL yang sebelum ini turut muncul juara pada edisi 2000, 2004, 2006, 2010, 2011, 2013, 2018, 2022 dan 2024.

Di sebalik kejayaan tersebut, pengurus pasukan, Nora Idris menyifatkan pingat emas yang diraih bukan sekadar ganjaran hasil kemenangan di gelanggang, sebaliknya lambang kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan seluruh pasukan sepanjang hampir dua tahun persiapan.

Katanya, barisan pemain terpaksa mengharungi jadual latihan yang padat, kem latihan serta perlawanan persahabatan bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu.

"Bukan mudah untuk seorang atlet bertahan dengan latihan yang panjang, tekanan pertandingan dan pada masa sama perlu menyeimbangkan komitmen peribadi serta pelajaran atau kerjaya masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha kolektif seluruh pasukan dan tidak hanya bergantung kepada kemampuan pemain semata-mata.

"Pingat emas ini bukan milik 12 pemain sahaja. Ia milik seluruh pasukan yang bekerja keras di belakang tabir. Setiap individu memainkan peranan penting sehingga membolehkan kami mencapai sasaran yang ditetapkan," ujarnya.

Menurut Nora, kekuatan utama WPKL sepanjang kempen SUKMA kali ini adalah semangat berpasukan serta keupayaan pemain mengekalkan fokus ketika berdepan situasi mencabar.

Nora berkata, setiap pemain memahami tanggungjawab masing-masing dan meletakkan kepentingan pasukan mengatasi kepentingan individu.

"Sepanjang persiapan kami sentiasa menekankan soal disiplin, kepercayaan dan komunikasi dalam pasukan.

"Saya sentiasa mengingatkan pemain supaya fokus apabila berada di gelanggang, percaya kepada rakan sepasukan dan yakin dengan sistem permainan yang telah dibentuk sejak awal lagi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perjalanan menuju kejuaraan bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan setiap pasukan yang bertanding hadir dengan persiapan rapi dan misi tersendiri untuk memburu emas.

Bagaimanapun, katanya, pengalaman serta kesatuan yang terjalin dalam kalangan pemain menjadi faktor penting yang membantu WPKL mengharungi tekanan sepanjang kejohanan.

Malah, beliau mengakui aspek paling membanggakan bukan sekadar kejayaan meraih emas, tetapi perubahan positif yang ditunjukkan pemain sepanjang tempoh persediaan.

"Daripada sekumpulan atlet yang datang dengan latar belakang dan pengalaman berbeza, mereka akhirnya menjadi sebuah keluarga yang saling menyokong dan mempercayai antara satu sama lain.

"Itulah nilai paling besar yang kami peroleh daripada perjalanan ini," katanya.

Nora menambah, kejayaan mempertahankan emas dan meraih gelaran ke-10 itu juga perlu dijadikan pemangkin kepada pembangunan bola jaring di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, lebih ramai pemain muda perlu diberi peluang untuk diketengahkan agar kesinambungan kecemerlangan pasukan dapat diteruskan pada masa hadapan.

"Saya berharap kejayaan ini tidak menjadi penamat, sebaliknya permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.

"Pemain-pemain ini masih muda dan mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh serta mewakili negara di peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa segala pengorbanan yang dilakukan selama ini akhirnya membuahkan hasil.

"Orang ramai mungkin hanya melihat perlawanan selama 60 minit dan detik pemain menerima pingat emas.

"Tetapi di sebalik kejayaan itu terdapat pelbagai pengorbanan, termasuk latihan yang panjang, kecederaan, tekanan mental dan masa yang terpaksa dikorbankan bersama keluarga.

"Itulah kisah sebenar di sebalik pingat emas ini," katanya.

Dengan kejayaan di Selangor 2026, WPKL bukan sahaja mempertahankan kejuaraan, malah terus mengukuhkan reputasi sebagai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah bola jaring SUKMA.

Lebih penting, emas ke-10 itu menjadi bukti bahawa pengorbanan, disiplin dan semangat berpasukan kekal menjadi ramuan utama kejayaan mereka untuk terus berada di puncak.
 
Back
Top
Log in Register